Begini penampilan terkini anak sulung kepada selebriti terkenal Indonesia, Nia Ramadhani yang semakin cantik, langsing dan pandai bergaya! Ke mana tumpahnya kuah, kan?
Kecantikan dimiliki oleh Mikhayla Zalindra Bakrie saling tak tumpah seperti ibunya.
Malah, warna rambutnya turut diubah kepada ombre sekalius menyerlahkan gayanya sebagai gadis moden.
Sebelum ini, Mikhayla pernah mendapat perhatian warganet kerana cantik berhijab ketika mengerjakan umrah di tanah suci.
Mendapat perhatian ramai sejak kecil lagi, tidak hairanlah Mikhayla memiliki auranya yang tersendiri.
Rata-rata warganet teruja melihat penampilan terkini anak Nia Ramadhani dan Ardi Bakrie ini.
Untuk info, Mikhayla Zalindra Bakrie dilahirkan pada 2 Jun 2012. Manakala anak kedua bernama Mainaka Zanatti Bakrie dilahirkan pada 17 November 2015 dan anak ketiga, Magika Zalardi Bakrie dilahirkan pada 10 Mei 2017.
Nia Ramadhani atau nama penuhnya Prianti Nur Ramadhani, mula dikenali ketika melakonkan watak antagonis dalam sinetron berjudul ‘Bawang Merah Bawang Putih’. Namanya semakin terkenal apabila berkahwin dengan anak konglomerat, Ardi Bakrie.
Wajah Klasik Anak Datuk Zainal Abidin, Timur Gabriel Kenang Jasa Ibu Besarkan 2 Anak Lepas Bercerai!
Bukan hanya memiliki nama yang klasik tapi Timur Gabriel juga beruntung kerana dikurniakan raut wajah klasik dan menawan! Meniti usia 28 tahun, nama wanita ceria ini mungkin tidak begitu diketahui ramai.
Ini kerana Timur menjalani hidup sederhana dan ‘low profile’, jauh dari dunia glamor meskipun dia sebenarnya anak selebriti ternama.
Aktif di media sosial sebagai content creator, Timur merupakan anak kedua kepada pelantun lagu Hijau iaitu Datuk Zainal Abidin. Dia juga mempunyai seorang abang iaitu Mikhail berusia 30 tahun dan autisme.
Kedua-dua mereka ialah zuriat Datuk Zainal Abidin dan bekas isteri, Natasha Gabriel Abdullah.
Ketika sambutan Hari Bapa yang lalu, Timur memuat naik gambar dirinya bersama ibu tersayang di Instagram. Melihat wajah wanita cantik yang berada di samping Timur membuatkan kebanyakan followers mula mengetahui status personaliti ini sebagai anak selebriti.
Rata-rata mereka mengagumi kecantikan Natasha Gabriel atau Yvonne dan mula mengingati pesonanya suatu ketika dulu yang merupakan bekas model dan penari.
“Happy Father’s Day to the woman who single-handedly raised my brother and I. We had many downs but many ups too, and although it’s taking a bit of time, I hope that I can come back and give you the comfortable and happy life that you should’ve always had.
I can only imagine how difficult it must’ve been to be both mum and dad. But I’m sure it was worth it cause I’m great.”
Mewarisi darah seni dari kedua-dua ibu bapa, Timur Gabriel juga memiliki bakat sebagai seorang pelakon.
Ibu Timur yang kini berusia 64 tahun berkahwin dengan bekas vokalis kumpulan Headwind, Datuk Zainal Abidin atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mohamed pada 24 Mac 1987. Mereka bagaimana pun sah bercerai pada 12 Disember 2000.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/raut-wajah-lembut-bergelar-isteri-kecantikan-nadiah-anak-datuk-ramli-ms-raih-tumpuan/
Patung Mainan Barbie Perkenal Edisi BARBIE SINDROM DOWN. Usaha Tersebut Terima Pujian Ramai
Setiap kanak-kanak perempuan di seluruh dunia pasti mempunyai memori memiliki satu patung Barbie yang menjadi teman sepermainan di zaman kanak-kanak. Patung Barbie sememangnya sinonim dengan rupa paras yang cantik dan langsing.
Pembuat mainan Mattel julung kalinya memperkenalkan Barbie versi Sindrom Down dalam usaha menjadikan rangkaian anak patungnya lebih inklusif. Sekaligus, usaha tersebut membolehkan kanak-kanak Sindrom Down bermain dengan permainan tersebut tanpa rasa berbeza dengan penampilan mereka.
Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Barbie & Dolls Mattel, Lisa McKnight, pihaknya menjalin kerjasama dengan Persatuan Down Sindrom Kebangsaan di Amerika Syarikat (AS) untuk menghasilkan patung yang memiliki rangka lebih pendek dan badan lebih panjang, berbanding rangkaian Barbie yang lain.
Katanya lagi, wajah anak patung baharu itu juga berbentuk bulat, selain memiliki mata bundar, telinga lebih kecil dan hidung yang pesek.
“Tapak tangan patung itu juga memiliki ciri yang sering dikaitkan dengan individu mengalami sindrom down,” katanya dalam satu kenyataan rasmi Mattel baru-baru ini.
Patung berkenaan mengenakan gaun lengan gelembung dengan motif rama-rama berona kuning dan biru yang sering dikaitkan dengan kempen kesedaran sindrom down. Setiap 21 Mac, dunia akan meraikan individu yang Sindrom Down dengan menjadikan tarikh itu sebagai Hari Sindrom Down Sedunia.
Lisa berkata, patung itu turut dihiasi rantai dengan tiga chevron ke atas yang mewakili tiga salinan kromosom ke-21 serta ortotik di buku lali dengan kedua-dua perhiasan itu dibuat dalam merah jambu.
“Matlamat kami untuk membolehkan semua kanak-kanak melihat diri mereka dalam Barbie, selain menggalakkan mereka bermain dengan patung yang seperti mereka,” katanya. –
Sumber: REUTERS
Masih Cantik Di Usia 67 Tahun, Kagum Tengok Kulit Mulus Ibu DATO’ FAZLEY!
Pertemuan dengan Datin Umi Kalsom Abdol Latif sekitar awal Mac lalu sememangnya sukar dilupakan. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup menyenangkan kerana sangat mesra, penyayang, berjiwa besar dan cantik dalam kelas tersendiri. Meskipun baru pertama kali bersua namun sepanjang berada bersama ibu Dato’ Fazley Yaakob ini bermacam-macam petua dan pengalaman hidup dikongsikan Datin Umi kepada penulis. Yang pasti, beliau tidak lokek berkongsi rahsia!
Melihat susuk tubuh dan raut wajah Datin Umi pasti ramai yang tidak menyangka ibu empat anak ini sebenarnya sudah pun berusia 67 tahun pada 13 April lalu. Bersandarkan
rupa paras cantik dan pesona anggun yang dimiliki, Datin Umi dilihat jauh kelihatan muda daripada usia sebenar. Apatah lagi beliau masih kekal cergas dan bijak bergaya. Sambil mengaku gemar berfesyen tetapi masih berpegang kepada penampilan sopan seorang muslimah, Datin Umi terbuka berkongsi rutin harian.
Saat ditanya petua cantik yang diamalkan hingga mampu keelihatan menarik pada usia lewat 60an, ini jawapan jujur beliau. “Mungkin sebab jiwa saya tak suka simpan apa-apa. Maksudnya, ada orang kalau ada sesuatu yang tidak kena… mereka suka simpan dan pendam tapi saya tak. Saya orangnya cukup terbuka tidak kira sama ada dengan arwah suami ke, anak-anak mahupun kawan-kawan. Kalau saya ada rasa kurang senang dengan sesuatu perkara, saya akan cakap dan tak simpan.
Dari situ, tiada lagi perasaan curiga dan mungkin salah satunya juga… saya tak kata yang saya alim tapi saya amal baca Al-Quran hari-hari. Tambahan lagi bila arwah suami dan emak dah tak ada. Bayangkan, lepas satu bulan suami meninggal dunia selang dua minggu kemudian emak pula pergi menghadap ilahi.
Kalau saya pergi luar negara pun, saya ada apps yang membolehkan saya sentiasa mengaji. Sejak arwah tak ada, saya mula catit berapa banyak kali saya dah khatam selama empat tahun ini. Dalam sehari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sejam untuk baca Al-Quran dan target berapa lama saya boleh habis baca satu Al-Quran.
Selain mengamalkan rutin itu sebenarnya tak ada pun petua lain sebab saya tak makan jamu. Saya ingat lagi arwah suami pernah pesan dulu. Katanya, “Ibu, biar ibu setua tu. Jangan ‘cucuk-cucuk’, bapak tak bagi. Kalau ibu buat facial, itu tak apa.”
Ujar Datin Umi lagi, “Masa muda-muda saya rajin juga buat jus. Paling saya suka ialah jus tomato dan carrot tapi saya minum berselang-selang. Tapi selepas arwah meninggal, saya kena asid refluks sebab trauma, murung dan depress kerana terkejut dengan pemergian suami. Saya tak boleh tengok makanan dan masuk dapur selama setahun. Padahal saya suka masak dan selalu masakkan untuk keluarga dan anak-anak. Saya tak boleh buat semua tu sebab teringat arwah sampaikan tak lalu makan dan masuk hospital.
Pada mulanya doktor ingat saya gastrik tapi lepas buat prosedur, asid refluks rupanya. Alhamdulillah, dah berkurang 10 peratus cuma saya tak boleh minum jus seperti tomato dan nanas macam dulu. Ikutkan masa muda, semua jus saya buat sendiri termasuk pucuk pegaga tapi sekarang kena kawal.
Memang saya teliti dan jaga pemakanan, tak ambil makanan manis, minuman kafein dan susu. Hanya jus tertentu je boleh dan banyak minum air kosong. Nasi pun makan sedikit. Apa-apa pun saya bersyukur sebab mewarisi gen cantik daripada arwah mak. Arwah dulu walaupun dah 82 tahun tapi kulit dia cantik.”
Bercerita mengenai rutin harian pula, Datin Umi menjelaskan beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Namun terpaksa berhenti kerja kerana mahu memenuhi permintaan anak sulungnya, Dato’ Fazley Yaakob. “Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun tapi berhenti kerja bila anak saya, Fazley balik dari belajar luar negara. Dia anak pertama saya dan waktu tu saya baru 40an. Fazley kata dia jemu tengok saya bekerja dan berkorban untuk anak-anak jadi dia mahu saya berehat.
Bila dah berhenti, saya isi masa dengan aktiviti yang saya suka seperti masuk kelas memasak, belajar mengait, buat flower arrangement dan decoration. Sekarang, hobi saya
ialah tanam bunga orkid. Awal dulu memang saya tak pandai tanam tapi lepas beli buku dan belajar alhamdulillah pokok orkid saya kalau berbunga boleh bertahan sampai
3 hingga 4 bulan. Bila anak-anak dah besar, saya sibukkan diri dengan benda yang saya minat macam mengait, menyulam dan tanam pokok. Waktu bekerja dulu, balik je rumah saya akan buat makanan seperti piza, kek, roti dan masak semuanya sendiri. Jarang beli di luar.”
Mengakui budaya wanita hari ini yang lebih berdikari dan memiliki kerjaya sendiri, Datin Umi bagaimana pun menitipkan pesan berikut kepada seluruh wanita demi mengimbangi
kehidupan berkeluarga. “Ibu saya ajar, macam mana tinggi pangkat kita sebagai seorang wanita tapi bila kita dah berkahwin dan ada di rumah… kita adalah isteri dan ibu. Sebagai seorang wanita, macam mana sibuk kerjaya sekalipun menjaga suami dan anak-anak juga adalah tanggungjawab. Paling penting, pastikan anak-anak dapat didikan agama,” akhirinya.
Sesuatu yang menarik untuk kaum wanita di sini.