
Lebih dua minggu berpuasa, pastinya buah kurma masih berbaki di dalam simpanan bukan? Mungkin ada yang sudah jemu menjamah buah kurma dan inginkan kelainan. Datin Ira Ghani, antara VIP yang sudi berkongsi menu ringkas yang boleh disajikan hanya menggunakan buah kurma dan enam bahan yang ringkas. Jom kita lihat resipi Kurma Tempura Goreng yang enak dinikmati ketika berbuka puasa!
KURMA TEMPURA GORENG
BAHAN-BAHAN:
- Buah Kurma|dibuang biji
- Tepung Tempura
- Serbuk Vanilla
- Chocolate Rice
- Garam
- Air
- Susu Kambing
CARA MEMBUAT:
- Masukkan tepung tempura ke dalam mangkuk. Jika tiada boleh gunakan tepung gandum dicampur tepung beras.
- Masukkan pula susu kambing dan gaulkan sehingga sebati.
- Tambahkan sedikit air, garam dan serbuk vanilla.
- Masukkan kurma yang telah dibuang bijinya. Gaulkan sehingga sebati.
- Panaskan minyak. Kemudian goreng sehingga kekuningan.
- Angkat dan hidangkan ketika masih panas.
‘Terliur’ Tengok Hidangan Lamb Chop Bersama Sos Bawang Putih Di RESTORAN QUATET, Kena Cuba Ni!

Aroma kopi yang sedang disediakan oleh barista dari ruang tengah kafe sudah cukup menarik perhatian kami sebaik memasuki Restoran Quatet yang terletak di Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur ini. Ditambah pula dengan alunan muzik perlahan, ia terus sahaja menjerat kami melayan secangkir kopi sembil meneliti menu yang disediakan.
Nuim, pengurus restoran memberitahu Quatet sudah beroperasi sejak tiga tahun lepas dan kini memulakan operasi perniagaan pada pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam sahaja. Selain popular dengan pelbagai cita rasa minuman sejuk dan panas untuk teh dan kopi seperti latte, cappucino dan mocca, minuman chocolate, soda dan jus. Restoran hanya menyediakan masakan barat untuk hidangan sarapan, tengah hari dan juga petang.
“Pelanggan yang datang awal pagi, boleh memilih menu sarapan lebih ringan seperti roti bakar yang boleh dinikmati dengan sapuan seperti mentega kacang, kaya, coklat dan strawberi. Bagi anda yang datang untuk sarapan lewat pagi , boleh memilih The Big Breakfast yang mengandungi telur, sosej kacang panggang, tumisan cendawan dan juga pilihan hirisan daging atau ayam panggang. Ia lebih besar dan boleh merangkap makan tenga hari. Set menu lain untuk sarapan ini termasuklah set Eggs Benedict, Smoked Salmon Bagel dan Beef Breakfirst Bagel.
“Jika datang selepas pukul 12.00 tengah hari, tidak ada lagi menu sarapan dihidangkan. Sebaliknya hanya menu tengahari kami sediakan. Antara menu pilihan ramai pelanggan di sini ia adalah Lamb Chop. Daging kambing panggang ini dihidangankan bersama sos bawang putih dan hidangan sampingannya kentangLamb goreng,” ujar Nuim.
Anda juga boleh mencuba set Grilled Chicken, The Chicken Sandwich The Beef Sandwich atau pelbagai jenis masakan spageti. Antaranya Carbonara, Aglio Olio dan Bolognese. Turut disediakan kudapan ringan, seperti kentang goreng, roti bakar, kek, brownies dan donut untuk pelanggan yang tidak mahukan hidangan berat.
Sesuatu yang menarik tentang Quatet, kebanyakan pelanggan yang datang adalah pelanggan tetap. Sebahagian besarnya dari kalangan kejiranan TTDI, mereka yang bekerja di TTDI. Malah ada yang sudah berpindah masih datang ke sini dan tidak kurang juga datang atas saranan kawan-kawan.
“Jika hari-hari bekerja, kebanyakan pelanggan yang masuk terdiri dari mereka yang bekerja di sini sama makan sendiri atau meraikan rakan bisnes mereka. Tidak kira pagi, tengah hari atau petang.
“Hari Sabtu dan Ahad, kebanyakan pelanggan dari kalangan kejiranan TTDI. Biasanya mereka datang selepas beriadah dan berjogging bersama ahli keluarga atau jiran-jiran sambil menjamu selera bersama di sini dalam suasana yang harmoni dan selesa tanpa gangguan,” cerita Nuim seronok bila bila pelanggan menzahirkan rasa puas hati bila keluar dari Quatet.
Ceritanya lagi, mereka cuba untuk memberikan kepuasan bukan selera makan, tetapi turut memberi keselesaan dan keseronokan pelanggan sepanjang menikmati hidangan seperti makan di rumah sendiri. Anda yang belum pernah datang, boleh masukkan Quatet dalam senarai restoran yang bakal anda kunjungi bersama famili dan rakan-rakan.
6 Idea Menu Sahur Ringkas Tapi Mengenyangkan! Mesti Cuba!

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur merupakan satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Ada yang memilih nasi sebagai menu bersahur, tetapi ada juga yang lebih gemar memilih menu ringkas untuk mengalas perut. Jom cuba beberapa menu sahur yang enak dan mengenyangkan ini!
HEALTHY SANDWICH
BAHAN-BAHAN:
1 buku roti bijan (dipotong nipis)
3 helai salad segar
Hirisan tomato dan bawang
Isi ayam (siap masak dan dihiris nipis)
1 biji telur goreng (digoreng dengan minyak zaitun)
2 keping keju ceddar
1 sudu sos tomato
½ sudu mayones (jika suka)
CARA MEMBUAT:
Bakar roti sehingga sedikit berwarna. Letakkan salad, tomato, bawang dan susun isi ayam bersama telur goreng serta keju. Kemudian letakkan sos tomato dan mayonis.
OMELETTE BAWANG DAN KEJU
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur ayam
50ml susu segar
Garam dan lada hitam secukup rasa
Sedikit mentega
½ biji bawang merah (dipotong dadu)
2 sudu besar keju mozarella
BAHAN HIASAN
Kentang goreng
Salad
CARA MEMBUAT:
Pecahkan telur ayam dan campurkan susu segar. Pukul dengan garpu sehingga sebati. Masukkan garam dan lada hitam. Ketepikan. Panaskan kuali dan masukkan mentega. Tumis bawang sampai naik wangi dan agak lembut. Masukkan telur dan kecilkan api. Kacau sedikit dan biarkan lapisan bawah sedikit masak. Letakkan keju dan lipat telur menjadi setengah iaitu keju di tengah-tengah. Terbalikkan telur dan masak sebentar sehingga bahagian dalam masak. Hidangkan bersama kentang goreng dan salad.
PANKEK STRAWBERI
BAHAN-BAHAN:
1 cawan tepung gandum
½ camca teh serbuk penaik
Secubit garam
½ cawan susu segar
Sedikit air
1 biji telur ayam
2 sudu besar gula melaka (diparut)
Sedikit minyak masak
BAHAN HIASAN:
2 biji strawberi segar
Jem strawberi
CARA MEMBUAT:
Campurkan tepung gandum, serbuk penaik dan garam dalam satu mangkuk. Masukkan susu segar, sedikit air dan telur ayam. Kacau sehingga sebati. Masukkan gula melaka dan kacau lagi sehingga hilang ketul-ketul. Panaskan kuali dan sapukan sedikit minyak masak. Tuang satu senduk bancuhan tepung dan masak setiap bahagian selama 2 minit dengan api sederhana. Susun di atas pinggan. Letakkan jem strawberi dan strawberi segar.
ROTI PITA KEJU
BAHAN-BAHAN:
10 gram yis roti
Sedikit air
1 liter susu segar
Gula dan garam secukup rasa
2 sudu besar minyak zaitun
500 gram tepung gandum
200 gram keju mozarella
CARA MEMBUAT:
Satukan yis roti dengan sedikit air dan biarkan selama 10 minit. Sediakan 500 ml susu. Masukkan gula, garam, minyak zaitun dan yis tadi. Kemudian masukkan tepung gandum. Uli tepung sambil masukkan lebihan susu. Masukkan sedikit demi sedikit. Pastikan tepung tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik. Rehatkan doh selama 30 minit sehingga tepung naik dua kali ganda. Uli kembali dan jadikan bebola tepung dalam anggaran 70 gram – 100 gram setiap satu. Ambil sebiji tepung ulian tadi dan buka sedikit dengan tangan. Masukkan keju dan tutup kemaskan kembali. Uli roti menjadi sedikit leper tetapi jangan terlalu nipis. Panaskan kuali tanpa minyak dan masak sehingga naik warna setiap bahagian. Potong dan terus makan makan panas-panas.
TELUR SCRAMBLE DENGAN BACON DAGING
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur ayam
50 ml susu segar
Garam dan lada sulah secukup rasa
Mentega
Roti toast
Bacon daging
CARA MEMBUAT:
Pecahkan telur ayam dan campur bersama susu segar. Pukul dengan garpu sampai sebati. Kemudian masukkan garam dan lada sulah. Panaskan kuali dan masukkan mentega. Kemudian tuang semua bancuhan telur. Sambil masak, kacau telur sampai 70 peratus masak. Kacau sampai sedikit hancur. Tuangkan di atas roti toast. Hidangkan bersama bacon daging panggang, salad atau kentang jika suka.
6.TORTILA KELEDEK MANIS
BAHAN-BAHAN:
Doh roti pita
1 biji keledek sederhana besar (direbus)
1 biji kentang (direbus)
½ biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 tangkai daun kari
2 biji cili merah (dihiris nipis)
Sedikit biji sawi
Sedikit serbuk kunyit
½ sudu besar serbuk cili
½ sudu besar serbuk ketumbar
Hirisan daging siap masak
CARA MEMBUAT:
Ambil sebiji dok roti pita dan uli sampai leper, nipis dan bulat. Masak atas kuali panas. Tumis bawang merah, bawang putih, biji sawi, daun kari dan cili merah sampai naik wangi. Kemudian masukkan kunyit, serbuk cili dan serbuk ketumbar. Masukkan pula keledek dan kentang yang telah dilenyek terlebih dahulu. Masak dan kacau semua bahan sehingga sebati.
Datuk Chef Wan Tak Lokek Ilmu Masakan, Siap Kongsi Dua Resipi Enak Lagi

Sebut sahaja Chef Wan, semua peringkat usia dan bangsa rakyat Malaysia mengenali beliau. Malah populariti beliau melebihi para artis dan ahli politik, namun semua kehebatan yang dimiliki tidak pernah mengundang riak insan berhati luhur bernama Datuk Redzuwan Ismail.
Hari ini Chef Wan bukan hanya pakar dalam masakan, tetapi beliau juga seorang penulis buku masakan, hos program masakan dan travelog dalam dan luar negara dan ikon yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu rahsia kejayaan untuk anak bangsanya
Lebih daripada 3 dekad dalam dunia kulinari dan melalui pelbagai pahit maung dalam perjalanan kerjaya sebagai chef. Kewibawaan beliau telah merentasi dunia, setanding dengan nama besar seperti Jamie Oliver Bakes dan Martha Stewart.
Namun untuk menggapai kejayaan seperti hari ini, Chef Wan tidak gentar meninggalkan kerjaya lumayan hanya kerana minat memasak dan mahu menjadi seorang chef profesional. Berbekal kesungguhan dan minat terhadap dunia masakan, beliau sanggup ke luar negara demi mencari ilmu masakan tanpa kenal erti jemu dan tidak pernah rasa bosan memasak.
“Bila saya belajar dan melakukan sesuatu yang saya suka, saya akan buat bersungguh-sungguh sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Bila menjadi ia memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga, terutama bila mendapat pujian. Sebab itu, saya suka bereksperimen dengan perkakasan dapur, mengolah bahan, menyediakan masakan dan menghasilkan resipi baru di dapur.
Demi ilmu saya juga sanggup keluar negara dan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk belajar pelbagai ilmu masakan. Sebenarnya, ilmu masakan semakin diterokai semakin seronok kerana ada sahaja perkara baru boleh dipelajari,” ujar Chef Wan yang tidak pernah kenal istilah pencen dalam kerjaya yang diminatinya ini.
Katanya, selain minat dan mencari keseronokan dengan memasak, beliau mahu menjadikan masakan sebagai agen perpaduan di kalangan masyarakat dan mengharumkan nama negara.
“Sekurang-kurangnya dengan aktiviti memasak, saya boleh menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan, masyarakat, bangsa, agama dan negara saya sendiri kerana ini kemahiran saya,” tegas Chef Wan yang mendapat Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academi, San Francisco, Amerika Syarikat .
Luar biasanya Chef Wan, bukan hanya mempunyai kepakaran dalam masakan tetapi beliau juga mempunyai karisma tersendiri sebagai hos program sama ada program masakan mahupun travelog di dalam dan di luar negara. Celoteh spontan sering menjadikan penonton tersenyum dan tertawa. Sehingga ada yang tertunggu-tunggu program yang dihoskan olehnya.
“Masakan telah membawa saya menjelajah ke merata dunia. Daripada pengalaman ini saya melihat masakan bukan hanya sebagai agen perpaduan sesuatu masyarakat dan bangsa tetapi ia juga adalah sumber khazanah budaya. Kerana daripada masakan kita mengenal sesuatu bangsa dan sesebuah negara.”
NEW YORK CHEESE CAKE
BAHAN-BAHAN:
Adunan Dasar Kek:
3 cawan serbuk biskut (cracker crumbs)
2 sudu teh serbuk kulit kayu manis
226gm mentega | cair dan sejukkan
Inti Kek:
680gm krim keju
¼ cawan gula kastor
6 biji telur | asingkan kuning dan putihnya
2 cawan sour cream
1/3 cawan tepung Jagung
2 sudu teh esen vanila
2 biji lemon | parut kulit kuning sahaja & perah jusnya
Sos Ceri:
1 sudu besar tepung jagung
1 tin besar Pitted Dark Cherries dengan sirap
1 sudu besar mentega
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan adunan dasar kek: Oles mentega ke dalam bekas bersaiz 22 cm. Campurkan semua bahan adunan dasar kek menggunakan sudu kayu. Masukkan adunan dalam loyang dan tekan sehingga padat, kemudian panaskan dalam ketuhar lebih kurang 15 minit dengan suhu 180 C. Atau letakkan dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit. Untuk menyediakan inti kek, pukul krim keju hingga halus, tambahkan gula sedikit demi sedikit dan teruskan memukul sehingga ringan dan gebu. Tambahkan kuning telur satu persatu. Masukkan sour cream, tepung, esen vanila, jus lemon dan parutan kulit lemon. Di dalam mangkuk yang berasingan, pukul putih telur sehingga kembang kemudian gaulkan dengan krim keju. Tuangkan adunan inti kek ke atas lapisan dasar dan bakar di dalam ketuhar selama 1 jam, 15 minit dengan suhu 165C. Akhir sekali cara menyediakan sos ceri: Campurkan tepung jagung dengan pitted Dark Cherries dan masak sehingga mendidih. Setelah pekat, tutup api. Masukkan mentega. Kacau dan biar sejuk. Tuang atas kek keju dan hidangkan.
KAFTA BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
Bebola:
500gm daging cincang
1 biji bawang besar | dadu halus
2 ulas bawang putih | cincang
4 sudu makan daun parsli | cincang halus
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu besar serbuk paprika
2 sudu teh garam
2 sudu besar minyak zaitun
Kuah:
60ml minyak zaitun
1 biji bawang besar | cincang halus
3 ulas bawang putih |cincang halus
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu teh serbuk jintan kasar
1 sudu makan paprika
2 biji tomato | ramas halus
2 sudu besar daun parsli | cincang halus
2 biji telur
Garam, gula dan serbuk lada putih secukupnya
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan bebola daging. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk, gaul rata dan bentuk menjadi bebola daging. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga ke perangan dan ketepikan. Untuk menyediakan kuah, panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar dan putih hingga wangi. Masukkan jintan halus dan kasar, paprika dan buah tomato yang telah diramas. Masukkan bebola daging, daun ketumbar, parsli, garam, gula dan serbuk lada sulah. Masak lagi di atas api perlahan selama 15 minit. Kemudian pecahkan telur ke dalamnya dan masak lima minit lagi.