Lebih dua minggu berpuasa, pastinya buah kurma masih berbaki di dalam simpanan bukan? Mungkin ada yang sudah jemu menjamah buah kurma dan inginkan kelainan. Datin Ira Ghani, antara VIP yang sudi berkongsi menu ringkas yang boleh disajikan hanya menggunakan buah kurma dan enam bahan yang ringkas. Jom kita lihat resipi Kurma Tempura Goreng yang enak dinikmati ketika berbuka puasa!
KURMA TEMPURA GORENG
BAHAN-BAHAN:
- Buah Kurma|dibuang biji
- Tepung Tempura
- Serbuk Vanilla
- Chocolate Rice
- Garam
- Air
- Susu Kambing
CARA MEMBUAT:
- Masukkan tepung tempura ke dalam mangkuk. Jika tiada boleh gunakan tepung gandum dicampur tepung beras.
- Masukkan pula susu kambing dan gaulkan sehingga sebati.
- Tambahkan sedikit air, garam dan serbuk vanilla.
- Masukkan kurma yang telah dibuang bijinya. Gaulkan sehingga sebati.
- Panaskan minyak. Kemudian goreng sehingga kekuningan.
- Angkat dan hidangkan ketika masih panas.
4 Menu Lauk Pauk Kampung Must Try Untuk Sajian Keluarga
Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan, pasti ramai ibu-ibu buntu memikirkan menu untuk keluarga apatah lagi masuk hari ke 9 ini kan!Jika anda masih tercari-cari resipi yang mudah untuk disediakan sebagai sajian makan tengah hari atau malam, menu di bawah boleh dijadikan panduan untuk hidangan keluarga tercinta. Selamat mencuba!
IKAN ASAM PEDAS KUALA
BAHAN-BAHAN:
1kg ikan tenggiri
50gm cili kering|dikisar
10gm kunyit hidup|dikisar
5gm halba |dikisar
5gm lada hitam|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih|dikisar
1 inci belacan |dibakar dan dikisar
1 batang serai|dititik
10 helai daun kesum
500gm air asam
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Tumis sehingga ia menjadi garing dan wangi.Masukkan ikan dan daun kesum. Didihkan dengan menggunakan api yang perlahan. Masukkan air asam mengikut citarasa. Masukkan garam dan hidangkan.
GULAI DAGING SALAI CILI PADI ATUK
BAHAN-BAHAN (PERAPAND DAGING):
1kg daging batang pinang
2 sudu kecil cili boh
2 inci kunyit hidup |dikisar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
BAHAN-BAHAN:
20gm cili padi|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
3 keping asam gelugor
2 helai daun kunyit |dimayam
500gm susu cair dan susu pekat
Garam secukup rasa
Air secukupnya
CARA MEMBUAT:
Gaul bahan-bahan perapan dan perap daging semalaman. Salai daging tersebut sehingga ia menjadi separuh masak. Kemudian hiris nipis daging tersebut. Panaskan air dan campurkan santan cair. Masukkan serai yang telah diketuk dan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Biarkan sehingga ia mendidih. Masukkan daging dan asam gelugor dan perlahankan api. Masukkan pula santan pekat dan daun kunyit. Tambahkan garam secukup rasa sebelum dihidangkan.
PAJERI TERUNG BONDA
BAHAN-BAHAN:
1 kg terung bulat |dibelah dua
30gm cili kering|dikisar
4 biji bawang besar|dikisar
3 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
50gm udang kering |dikisar
20gm serbuk kari ikan
5 gm biji sawi
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 helai daun kari
3 sudu besar kerisik
100ml santan
30gm gula melaka
3 sudu kecil cuka
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak.Kemudian goreng terung sehingga garing.Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga lawing dan biji sawi sehingga naik baunya. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar dan kemudian masukkan serai yang telah dititik sehingga garing. Tumiskan rempah kari sehingga pecah minyak. Masukkan terung dan gaul sehingga rata. Masukkan pula gula Melaka, daun kunyit, cuka makan, santan dan kerisik. Biarkan ia mendidih dan masukkan pula garam secukup rasa.
PECAL KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
200gm kangkong|dicelur
200gm daun ubi kayu |dicelur
200gm daun meranti |dicelur
200gm pucuk paku|dicelur
200gm timun |dihiris Panjang
200gm sengkuang|dihiris Panjang
200gm taugeh |dicelur
2 biji tauhu |digoreng dan potong dadu
2 biji tempe |digoreng dan dipotong dadu
BAHAN UNTUK KUAH PECAL
400gm kacang tanah |digoreng
20gm cili kering |direbus dan goreng
5gm cili padi|digoreng
4 biji bawang kecil|digoreng
2 inci belacan |digoreng
50ml air asam
3 inci akar cekur |digoreng
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Hiris dan celur bahan-bahan asas seperti sayur-sayuran kampung dan asingkan seketika. Untuk menyediakan kuah kacang pula, kisar bahan-bahan yang telah digoreng terlebih dahulu. Kemudian masukkan air suam, air asam dan gula. Pastikan ia tidak terlalu oekat dan tidak terlalu cair. Untuk mendapatkan tahap kepedasan pula, terpulang kepada citarasa individu. Hidangkan Bersama sayur-sayuran kampung yang telah dicelur terlebih dahulu.
Credit Resipi: Hotel Tamu Kuala Lumpur
Nak Buat Begedil Kentang Yang Sedap? Kuncinya Kena Tahu Pilih KENTANG BERKUALITI. Ini Tipnya
Kentang goreng atau french fries merupakan sajian kentang yang paling mudah dan digemari masyarakat. Kebiasaannya, kentang goreng disajikan bersama hidangan Barat dan sering menjadi menu pelengkap diet harian.
Selain kentang goreng, ubi kentang juga mampu menghasilkan pelbagai juadah makanan lain seperti begedil kentang, wedges, kentang putar dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai snek.
Cara Memilih & Mengelakkan Kerosakan Kentang
Pun begitu, anda harus bijak memilih kentang yang benar-benar berkualiti agar kandungan khasiat di dalamnya terpelihara. Berikut beberapa tip yang perlu diteliti sewaktu membeli bahan makanan ini.
- Pilih kentang yang bersih dan berbentuk sempurna. Sebaiknya bertekstur padat dan tiada kesan retakan. Kentang yang cacat dari segi bentuk akan cepat rosak. Begitu juga yang berkeadaan lembik.
- Pastikan kulit kentang berwarna kuning muda atau putih kekuningan. Elakkan memilih kentang yang sudah berwarna kehijauan kerana telah terkena lebihan sinar matahari.
- Masih keras dan belum bertunas. Kentang yang ditumbuhi tunas menunjukkan ia kurang berkualiti dan sudah lama.
- Pisahkan segera kentang yang telah rosak bagi mengelak daripada mencemari kualiti kentang lain.
- Hindarkan menyimpan kentang dalam peti sejuk kerana akan lebih cepat rosak. Untuk menjaga kualitinya, letakkan kentang dalam suhu bilik dan usah dicuci.
- Elakkan simpan bersama bawang besar. Gas yang dilepaskan bawang besar mempercepat proses kerosakan kentang.
- Untuk memastikan kentang tidak menjadi lebam ketika dikupas, letakkannya di dalam air sejuk sehingga sedia untuk dimasak. Air sejuk boleh melindungi bahagian luar kentang daripada bertukar warna gelap atau lebam.
Jenis-Jenis Kentang
Di Amerika Syarikat terdapat lebih 100 jenis kentang dijual di pasaran. Namun, hanya tujuh kategori kentang yang popular di sana antaranya kentang russet, kentang merah, kentang putih, kentang kuning, kentang ungu, fingerling dan petite. Kebanyakan kentang yang ada di Malaysia adalah dari kategori kentang kuning.
(a) RUSSET
Bentuk : Bersaiz sederhana dan besar, berbentuk oblong atau bujur. Berkulit mulis dan isi putih atau kuning pucat.
Rasa : Mengandungi jumlah gula yang sederhana dan manis.
Cadangan penyediaan : Sesuai dibakar, digoreng, dilecek atau dipanggang.
(b) MERAH
Bentuk : Bersaiz kecil, sederhana dan agak bulat. Mempunyai kulit nipis berwarna merah dan isi putih.
Rasa : Kurang mengandungi gula namun masih punya rasa manis.
Cadangan penyediaan : Dipanggang dan dilecek. Sesuai dihidang bersama salad atau sup.
(c) PUTIH
Bentuk : Bersaiz kecil dan sederhana. Mempunyai bentuk bulat dan panjang, kulit serta isi berwarna putih.
Rasa : Kandungan gula yang sedikit namun masih rasa manis.
Cara penyediaan : Dilecek, digoreng, dikukus dan sesuai untuk dihidang bersama salad.
(d) KUNING
Bentuk : Bersaiz besar, bulat dan berbentuk oblong. Kulit yang perang keemasan dan isi berwarna kuning.
Rasa : Kandungan gula yang sederhana dan kaya dengan rasa kentang semula jadi.
Cara penyediaan : Dipanggang, dilecek, digoreng dan sesuai dijadikan salad.
(e) UNGU
Bentuk : Bersaiz kecil dan sederhana. Kulit dan isi berwarna ungu dan biru.
Rasa : Kandungan gula yang rendah dan sedikit tawar.
Cara penyediaan : Dipanggang, gril, dibakar dan juga sesuai untuk dijadikan salad. Suziana Abu Daud
Anda Peminat Tempoyak? 2 Resipi Ini Jamin Buat Anda Kecur Liur Sekarang. Cubalah!
Di kalangan masyarakat Pahang dan Perak, pasti aroma tempoyak menjadi bahan utama dalam setiap menu masakan. Tapi berdasarkan penelitian, tempoyak dipercayai mengandungi jumlah kalori yang besar selain padat dengan protein, karbohidrat, kalsium dan zat besi.
Jika anda bingung untuk menyediakan juadah seisi keluarga, apa kata anda cuba dua sajian berasaskan tempoyak yang kami kongsikan ini. Selamat mencuba!
PAIS TEMPOYAK IKAN PATIN BAKAR
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan patin (saiz sederhana dipotong 2 & dikelar)
- 15 tangkai cili padi
- 2 cawan tempoyak
- 1 inci kunyit hidup
- 2 helai daun kunyit
- 5 tangkai daun kesum
- 4 helai daun kaduk
- 2 batang serai
- Garam
- Gula
Cara membuat:
Kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Masukkan tempoyak, garam dan gula secukup rasa. Kisar hingga sebati. Hiris halus daun kunyit, serai, daun kesum dan daun kaduk. Kemudian, masukkan ke dalam tempoyak tadi bersama daun kesum yang telah direlai. Gaul hingga sekata.
Seterusnya, lumurkan campuran tempoyak ke seluruh ikan patin. Letakkan di atas daun pisang dan balut kemas. Akhir sekali, bakar ikan hingga masak.
SAMBAL TEMPOYAK PUCUK UBI KAYU
Bahan-bahan A:
- 1 genggam pucuk ubi
- ½ genggam daun kaduk
- 5 helai daun kunyit
- 5 batang serai (dihiris halus)
- 1/3 cawan petai (dibuang kulit)
- ½ cawan terung pipit
- 1 liter santan
- 1 keping asam gelugur
- 1 genggam ikan bilis (dibersihkan & dicuci)
- 3 sudu besar tempoyak
- Garam
- Gula
Bahan-bahan untuk dikisar halus:
- 8 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- ½ cawan cili padi kampung (dicampur hijau & merah)
- 1 inci kunyit hidup
Cara membuat:
Hiris halus pucuk ubi dan daun kunyit serta dimayang petai yang telah dibuang kulit. Bersihkan ikan bilis dan toskan sebelum ditumbuk kasar. Seterusnya, panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan yang dikisar bersama tempoyak, ikan bilis dan santan. Kacau rata hingga mendidih dan kelihatan pekat dengan api sederhana.
Kemudian, masukkan petai dan biarkan ia masak sebentar. Masukkan pula pucuk ubi, daun kaduk, daun kunyit, terung pipit dan serai serta digaul sebati. Akhir sekali, masukkan asam gelugor dan perasakan garam serta gula secukup rasa. Masak dengan api sederhana. Apabila sudah pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.
Resipi: TERIMA KASIH MARINA KHAIRUDDIN, MM CATERING ENTERPRISE, KUANTAN, PAHANG