S: Bagaimana caranya seorang wanita itu yang sudah berubah dan memilih untuk berhijab sepenuhnya agar kekal dalam istiqamah? Seterusnya dapat menjaga aurat dalam penampilan diri sebagai wanita Muslimah iaitu memakai stoking tangan dan kaki, menyarungkan pakaian labuh dan longgar serta melabuhkan tudung di bahagian dada dan punggung. Bagaimana pula perubahan itu boleh dilakukan agar tidak terlihat drastik?
J: Ketaqwaan dalam menjalankan ibadah kerana Allah SWT adakalanya terhalang sehingga menjadi tidak istiqamah. Dan di sinilah kita sebagai umat Islam sebaiknya sentiasa menjaga dengan istiqamah dalam beribadah.
Istiqamah yang goyah adalah disebabkan beberapa masalah yang menimpa seseorang. Contoh lainnya, masalah peraturan melarang memakai hijab atau tudung contohnya di tempat kerja. Ada juga yang kadangkala menjadi berat untuk ingin istiqamah dalam menutup aurat kerana sering dipandang sebagai ekstrem jika bertutup litup.
Jika seorang wanita tidak mampu mempertahankan keyakinannya, wanita tersebut terpaksa menanggalkan hijabnya sekaligus membuka aurat. Ia satu perkara yang sangat ditakuti iaitu perlanggaran perintah Allah. Nauzubillah.
Buat Muslimah yang Insyaallah masih diberi kesempatan untuk beristiqamah, secara umumnya istiqamah bermaksud menempuh jalan yang lurus, tidak berpaling ke kanan mahupun ke kiri. Selain itu, istiqamah juga bermaksud tetap patuh menjalani perintahNya serta menjauhi segala laranganNya. Di dalam berhijab pun kita dianjurkan untuk istiqamah. Tidak dinafikan untuk tetap istiqamah bukannya satu perkara yang mudah. Berikut beberapa panduan agar istiqamah dalam berhijab kekal terjaga.
Mengamalkan dua kalimat syahadah. Kita sebagai umat baginda Rasullah SAW haruslah sentiasa membanyakkan belajar dan mengetahui ilmu tauhid tentang Islam. Sibukkan diri dengan belajar agama serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Insyaallah ilmu itu akan menjaga kita untuk tetap istiqamah.
Seterusnya ialah bergaul orang-orang yang soleh. Dengan menyertai kegiatan keagamaan membuatkan kita lebih yakin bahawa dengan berhijab dan menutup aurat akan lebih mengeratkan tali persaudaraan, memantapkan lagi keyakinan diri seterusnya Allah SWT pun sentiasa dekat dengan kita. InsyaAllah mudah mudahan perjalanan kita dalam menjadi orang yang ingin semakin dekat dengan Allah SWT mendapat keredhaan dariNya di dunia dan akhirat.
Perbanyakkan berdoa agar sentiasa diberikan kekuatan untuk terus istiqamah. Ketahuilah bahawa kekuatan doa adalah berpengaruh sebagai penanam rasa percaya bahawa Allah SWT akan memakbulkan doa kita itu. Sesungguhnya doa adalah senjata mukmin.
Untuk istiqamah juga haruslah sentiasa berusaha untuk menambah ilmu agama antaranya ialah dengan membaca kisah-kisah orang soleh. Di samping itu, luangkan juga waktu untuk membaca buku-buku berkenaan agama Islam dan status sosial media yang membahas tentang keutamaan berhijab dan menutup aurat.
Selain membaca kalam suci Al-Quran kita juga digalakkan untuk mengkajinya. Membaca dan memahami Al Quran dapat meneguhkan hati orang-orang yang beriman. Seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 102.
Akhir sekali untuk mengekalkan istiqamah ialah dengan menetapkan illtizam atau tekad pendirian. Luangkan waktu sejenak untuk melengkapi solat lima waktu kita yang masih tidak diperkukuhkan dengan kelazatan solat, membaca Al Quran, melaksanakan ibadah sunnah seperti solat dhuha dan tahajud. Biarpun hanya sedikit meluangkan waktu untuk beribadah namun tetap konsisten InsyaAllah ianya menjadikan kita semakin yakin dengan perubahan yang dilakukan.
This website uses cookies.