Janna Nick dikejar rezeki. Itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan ganjaran Tuhan terhadap hamba-Nya yang berkorban demi keluarga. Ya, kali ini pertemuan Nona dengan gadis bernama Nurul Jannah Muner itu jujurnya cukup membuka mata. Betapa dalam usia sebegitu muda, dia sudah kelihatan lebih dewasa dan matang merencana segalanya.
Pada usia 24 tahun, tak ramai yang tahu Janna Nick sanggup berkorban zaman remaja dengan bekerja dan berhabis wang untuk keluarga tercinta. “Saya betul-betul sayangkan keluarga saya. Tak pernah sekali pun rasa terbeban melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak. Saya bahagia dapat bantu mereka, malah saya percaya sebagai anak yang menyara keluarga, itulah cara menjemput rezeki dan rahsia keberkatan dalam hidup.
Lagi banyak kita membantu, lagi berkat dan murah rezeki kita. Secara tak langsung, peranan ‘ketua keluarga’ juga mengajar saya supaya lebih bertanggungjawab. Mungkin bila saya dah ada keluarga sendiri nanti, saya dah bersedia dari segi fizikal dan mental,” akui anak kedua daripada empat adik-beradik tersebut.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal umur 16 tahun, aktres drama My Coffee Prince itu semakin bijak mengatur langkah. “Saya mula urus kewangan ketika berhasrat beli rumah dulu. Masa tu saya berjaya capai impian beli rumah pertama pada usia 21 tahun. Dan sejak itulah, saya berazam untuk kumpul lebih banyak aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka shopping tanpa sebab dan terlalu memandang jenama,” ujar Janna yang bakal membeli sebuah rumah lagi pada tahun ini.
Selain bakat lakonan, dia juga gemarkan aktiviti lasak seperti berlumba kereta. Janna terlibat secara langsung dalam Toyota Gazoo Racing sejak musim pertama, malah menjadi juara di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang tahun lalu.
Kalau dulu Janna kurang cerewet soal penjagaan baju, hari itu tiba-tiba persepsinya berubah apabila diperkenalkan dengan TOP PLUSH Kondisioner Fabrik Ultra Konsentrasi. Bayangkanlah, hanya satu penutup kecil pelembut fabrik ini saja mampu hilangkan segala bau peluh dan buat baju-bajunya jadi lebih wangi serta segar semula jadi.
“Wanginya! Saya suka aroma pelembut fabrik ini, umpama bangun pagi mata disajikan dengan keindahan panorama pantai, udara segar dan deruan ombak yang mendamaikan (ketawa). Bukan buat-buat ya, tapi memang bila gunakan TOP PLUSH, tiba-tiba saya rasa yakin dan bersemangat. Bau hapak dan bakteria pun terhapus, so baju-baju sukan saya semua bau wangi dan fresh!” kongsinya sambil tersenyum membelek-belek baju di almari.
Amboi, macam cerita drama pula tengok Janna jatuh cinta dengan pelembut fabrik TOP PLUSH ni. Bila penulis cium sendiri baju-baju yang dipegang, tak sangka memang lembut dan selesa sungguh. Patutlah ramai pengguna berebut-rebut dapatkan TOP PLUSH sekarang, rutin mencuci bagai tak lengkap tanpa pelembut fabrik hebat tu!
SELEKTIF
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan. “Tahun ini saya agak memilih watak kerana kejarkan kualiti, bukan kuantiti. Dulu saya hanya cari duit tapi sekarang ini saya mahu kualiti bakat yang dinilai peminat.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk tambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam itu
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Sesungguhnya kejayaan Janna Nick sebelum berusia 30 tahun amat dicemburui ramai. Semoga usahanya terbayar dengan rezeki yang lebih banyak dan seterusnya, menyuntik inspirasi kepada semua gadis muda agar mencontohinya. Nona sendiri tak sabar nak tengok pencapaian demi pencapaian Janna Nick, berkat kerja keras dan niat mulia membantu keluarga tercinta.
This website uses cookies.