Gaya Hidup

Sejak Umur 15 Tahun Dah Tak Makan Nasi, PUAN SRI SHARIFFA SABRINA Dedah Petua Sihat & Ramping!

Terkejut dengar petua sihat dan ramping Puan Sri Shariffa Sabrina. Sebagai personaliti ternama dan langsing seperti anak dara, mesti ramai yang beranggapan wanita hebat ini sanggup berhabis wang untuk memiliki susuk tubuh menawan. Realitinya, terang pemilik nama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ini… sejak umur 15 tahun lagi beliau sudah mula tidak makan nasi!

Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona baru-baru ini, Puan Sri Sabrina yang merupakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) tetap ‘kaya’ dengan sikap ramah dan rendah diri. Masih sama seperti kali pertama mengenali figura Puan Sri Sabrina. Juga disifatkan seorang yang lantang menyuarakan pendapat dan berjiwa besar, pertemuan kami pagi itu lebih berkisar tentang kecantikan dan gaya hidup sihat yang diamalkan ibu kepada lima orang anak ini.

Gemar berkongsi kebaikan dengan masyarakat, Puan Sri Sabrina turut mendedahkan perwatakan beliau seorang yang lasak dan mencintai senaman. “Dah lebih dua tahun saya buat exercise di Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam. Setiap hari dari pukul 7.45 pagi kami akan berkumpul di sana dan lakukan senaman seperti Qi Gong. Memang ramai yang datang dan salah satu manfaat senaman ini ialah dapat kuruskan badan, melegakan lenguh badan dan macam-macam lagi.

Jujurnya saya tidak begitu menggemari zumba tapi saya suka menari. Boleh dikatakan semua jenis tarianlah. Paling saya suka, modern dance,” 

jelas pemilik Tanah Aina Cafe dan Tanah Aina Resort ini.

Puan Sri Sabrina bersama anak lelakinya
Bersama suami tercinta

Jika kebanyakan wanita bersikap skeptikal bila diajukan soal berat badan, Puan Sri Sabrina nyata berbeza. Enggan berselindung, dia lantas melontar bicara. “Berat saya sekarang 55 kg. Tinggi 5 kaki 5 inci. Zaman anak dara dulu berat badan cuma 50 kg je.”

“Puan Sri jenis tak kuat makan ke?” celah penulis. “Eh, saya suka makan. Cuma tak makan nasi.. itu je. Sebenarnya sejak umur 15 tahun sampailah sekarang saya tak makan nasi. So saya gantikan nasi tu dengan pengambilan roti, makan ubi.. macam ubi keledek dan ubi kayu.

Memandangkan umur saya dah 56 tahun sekarang.. maknanya dah 41 tahun saya tak makan nasi. Bagus kalau makan ubi ni sebab di Afrika contohnya, adalah negara di dunia yang paling kurang rakyatnya hidap kanser sebab mereka makan makanan dari sumber bawah tanah.”

Oleh sebab kecintaan beliau terhadap kecergasan dan sukan, Puan Sri Sabrina turut membuka Tanah Aina Fitness Centre di Shah Alam khas buat kaum wanita mengadakan aktiviti dan rutin senaman bersama-sama.

 

Share
Published by
Suzi