Isteri kepada pelakon terkenal Saharul Ridzwan iaitu Deena Emir memang jelita orangnya. Berkahwin pada 16 September 2016, pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata sebagai penyeri dalam rumahtangga.
Penampilan Deena juga sering menjadi tumpuan kerana walaupun dia berfesyen mengikut syariat agama, gayanya tetap kelihatan cantik dan elegan. Jom kita lihat!
Sejuk Mata Memandang..
Deena pandai menyuai padankan warna pakaiannya tanpa kelihatan serabut.
Deena juga mengusahkan jenama tudungnya sendiri iaitu Qaabila yang direka khas mengikut syariat Islam.
Sentiasa mengenakan stokin tangan, ini adalah satu perbuatan yang perlu wanita contohi kerana kadang-kala aurat kita kelihatan tanpa disedari.
Siapa kata kita tak boleh berfesyen mengikut shariah agamakan? Lihat sahaja stail Deena ini, tetap sopan dan ayu tanpa gaya yang berlebihan.
Memang menjadi inspirasi buat semua! Kepada para wanita yang sedar cuba untuk merubah penampilan ke arah yang lebih baik, perlahan-lahan ya? You can do this! InsyaAllah Tuhan akan permudahkannya untuk anda.
kredit: instagram @deenaemir
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Pupuk Semangat Patriotisme Di Kalangan Belia, DATUK ADI PUTRA Kini Ikon Pemuda BN Selangor
Pelakon versatil lagi berkaliber, Datuk Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera bin Halim yang popularitinya semakin meningkat naik selepas muncul dalam filem terbitan anak tempatan yang paling laris, Mat Kilau kini diangkat menjadi Ikon Pemuda BN Selangor.
Ini disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantarannya di Facebook yang berkata “Menerima kunjungan hero Mat Kilau pelakon tersohor yang juga merupakan sahabat saya Datuk Adi Putra. Banyak perkara dibincangkan termasuk cabaran mempelbagaikan pendekatan mencanai nilai patriotisme dikalangan anak-anak muda masa kini”.
Ujar beliau lagi, selain menjadi ikon, itu juga akan membantu jentera Pemuda BN negeri-negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Hikmah meletopnya filem Mat Kilau banyak membuka mata anak-anak muda untuk menelaah sejarah tanah air dengan penuh penghayatan. Adi Putra juga telah diangkat menjadi ikon Pemuda BN Selangor. Insya-Allah beliau bersedia lapangkan masa untuk bantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri menjelang PRU-15 nanti,” kata Asyraf di Facebooknya hari ini.
Selain itu, Asyraf juga memberitahu, Adi Putra tidak hadir ke pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini kerana berada di Tanah Suci. Adi Putra, 41, adalah bintang teraju utama filem yang diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu berjuang menentang penjajahan British seterusnya menjadiakan dirinya ikon paling sesuai bagi menebalkan semangat cintakan negara di kalangan belia.
Kredit Foto: Instagram @adiputra
Hanya RM8,000, Kedai Yang Kosong PENUH Dengan Barang HARDWARE. Mustajab DOA AYAH Dan IBU Ubah HIDUP JURURAWAT!
Kalau hendak berjaya, restu ibu dan ayah adalah punca utama. Kerana mahu beri kesenangan pada keluarga, Siti Fatimah berkorban tenaga dan akhirnya mampu miliki perniagaan yang jarang dimiliki seorang wanita, lebih-lebih lagi bumiputera.
Siti Fatimah Rasol tidak lahir dalam keluarga senang. Malah pernah ayahnya terpaksa menjual tanah kerana ingin menyara anak sambung pengajian. Siti bertekad untuk bawa keluarga dan adiknya yang disahkan sakit mental keluar dari kemiskinan.
Perkenalan secara tak langsung dengan seorang tukang rumah membuka pintu rezeki untuknya memiliki kedai hardware.
“Masa mula-mula nak kenal barangan binaan rumah, saya diperkotak-katikkan tokey kedai. Maklumlah, orang perempuan mana kenal jenis batang paip waima skru yang begitu banyak. Mujur hati saya kering. Berulang-alik juga saya di kedai tersebut sehingga segalanya selesai. Sejak itu saya mula mencari peluang untuk meneruskan kerjaya tetapi pada masa sama mencari duit lebih dengan mengambil upah mengubah suai rumah,” katanya.
Demi mak dan ayah, Siti teruskan niat dalam bidang ini.
“Niat saya satu, saya nak ibu, ayah dan adik saya tinggal bersama. Apa saya makan, mereka makan. Saya kecewa andai mereka susah di kampung, saya di sini tak tahu apa-apa. Biarlah saya susah, asalkan mereka ada depan mata. Mungkin kerana itu niatnya, Allah bantu saya dalam hidup. Dugaan? Tak pernah surut tetapi hikmah selepas itu yang begitu indah tak tergambar.
Nak dijadikan cerita, saya bawa ayah berjalan-jalan dan ada sebuah lot kedai yang ingin disewa. Ayah menjentik hati saya untuk menyewa kedai itu walaupun kami tak tahu apa yang ingin dilakukan. Wang simpanan yang dikumpul hasil kerja-kerja mengubahsuai rumah orang saya gunakan untuk membayar duit muka. Dan akhirnya, kami duduk dalam kedai tanpa ada apa-apa perancangan.
Saya menangis. Habis hiba saya panjatkan pada Allah agar membuka hijab rezeki buat kami. Beberapa hari selepas itu, seorang kenalan memberitahu ada kedai hardware yang ingin dijual. Bayangkan, sebuah kedai hardware yang besar, menempatkan barangan yang hampir bernilai RM40,000 ingin dilepaskan hanya dengan harga RM8,000! Tanpa fikir panjang, saya beli kesemuanya.” ujarnya.
Warisan Trading Sdn Bhd yang bertempat di Dengkil ini adalah satu-satunya kedai hardware milik bumiputera. Sehingga kini, Siti sendiri tidak menyangkan setiap apa yang ada di depan mata ini adalah miliknya dan keluarga.
“Kesusahan hidup benar-benar memberi saya kekuatan untuk menjadi lebih baik. bila saya susah, saya mengadu pada ayah. Bila perniagaan saya ditipu, kedai dilanda musibah, saya minta ayah pinjamkan telinga untuk mendengar. Kata ayah ringkas, berdoalah, kerana Allah Maha Mendengar.
Tangan mereka pernah saya genggam setiap hari dan menangis untuk melempiaskan kesedihan dan kekecewaan kala di uji tetapi Allah balas dengan cahaya yang cukup untuk menyinari kembali kehidupan,” gugur air mata Siti kala berbicara.
Tak ada apa-apa yang saya bawa. Saya hanya bawa ibu dan ayah dalam hidup saya. Depan saya, ibu dan ayah bersungguh-sungguh meminta pada Allah. Bagai magis, keuntungan perniagaan berganda, suami pula menjadi pendorong semangat untuk menghalang saya berundur,” katanya.
Menurut Siti, kejayaan kita bukan 100 peratus daripada usaha kita semata-mata. Sebahagian besarnya adalah hasil dari keberkatan dan doa ibu dan ayah. Tolong jaga ibu dan ayah, berikan mereka kasih sayang dan perhatian. Duit kiriman setiap bulan, waima setiap hari yang disampaikan tak sama dengan penjagaan kita terhadap mereka setiap masa. Ibu dan ayah tiada galang ganti. Mungkin tak bererti lagi harta yang ada andai tidak dikongsi bersama mereka.
Apa yang saya kecapi kini semuanya untuk mereka dan jihad saya kepada agama dan bangsa. Peluang yang Allah berikan kepada saya ini saya cuba gunakan sebaik mungkin supaya rezeki itu terus berkembang dan berpanjangan.” Ujarnya mengakhiri perbualan.
Belajar Protokol Istana Selepas BERKAHWIN DENGAN KERABAT, Kisah Che Puan Syamim Farid Ini Macam Mimpi Indah!
Siapa yang tidak kenal seraut wajah lembut yang menghiasi kaca televisyen ketika mengacarakan program HLive! suatu ketika dahulu. Wajah ayu ini juga mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan kala mengendalikan program GoShop pada awal penerbitannya.
Dianugerahkan bakat semula jadi dengan pakej seraut wajah manis, pasti menambat hati setiap mata yang memandang. Selepas lebih setahun melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, YM Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj, kehidupan berumah tangga banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat Che Puan Syamim Farid.
Bertanyakan tentang fasa kehidupan rumah tangga, kedua-duanya bersifat terbuka berbicara tentangnya. “Sebagai seorang suami, saya mahu melihat dia gembira melakukan apa yang disukainya. Menerimanya sebagai seorang selebriti, saya tidak pernah menetapkan syarat tertentu tetapi saya yakin dia tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri.”
Jatuh cinta pandang pertama bukan situasi yang luar biasa bagi pasangan yang bercinta. Daripada mata turun ke hati telah menyingkap detik pertemuan dua merpati sejoli ini.
Ketika diajukan tentang pertemuan pertama mereka, Tengku Ezrique sambil tersenyum memandang isterinya berkata, “Memori detik pertemuan kami sangat unik untuk diimbas kembali.
Pertemuan pertama kami telah diperkenalkan oleh abang Syamim sendiri dan juga sepupu saya. Merekalah yang mengatur pertemuan itu. Masa mula-mula berjumpa Syamim dia tak layan pun saya, asyik dengan telefon bimbit saja.
Dan selepas itu, kami tak berkawan lama-lama. Enam bulan berkenalan, saya ambil keputusan untuk meminang Syamim. Genap tiga bulan tempoh pertunangan, akhirnya kami pun melangsungkan perkahwinan,” tutur Tengku Ezrique lembut.
Balas Che Puan Syamim, “Memang mula-mula dulu saya agak jual mahal. Ketika itu saya sendiri tidak tahu Ezrique merupakan kerabat diraja. Sebab dia sangat merendah diri dan langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.
Kemudian abang saya bercerita tentang status Ezrique yang sebenarnya, terus saya jadi takut dan mula menjauhkan diri. Saya sedar hanya orang biasa dan takut untuk berkawan dengannya.
Tetapi apa yang saya bayangkan nyata berbeza dengan realiti. Kesungguhan Ezrique dan karakternya yang sangat merendah diri benar-benar menambat hati kecil saya untuk terus mengenalinya.
Namun ketika itu dia masih mengelak jika ditanya tentang keluarga. Selepas bertunang, barulah dia agak terbuka bercerita tentang hal-hal yang lebih peribadi,” ujar Che Puan Syamim yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini.
Keluarga Diraja
Masyarakat sering dijaja cerita dengan institusi diraja yang dikawal ketat dan ke mana sahaja kaki melangkah sudah pasti ada yang mengekori. Serba-serbinya mengikut adat dan istiadat. Tiada sesuatu pun boleh dilakukan sesuka hati dan kebebasan terkawal.
“Secara jujurnya kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sangat merendah diri dan menerima kehadiran saya dalam keluarga dengan tangan yang terbuka.
Kemesraan yang ditonjolkan dalam keluarga suami membuat saya mudah membiasakan diri dengan keluarga diraja. Adat dan protokol istana hanya berlangsung apabila menghadiri majlis yang melibatkan golongan istana.
Sebelum berkahwin ibu mertua sudah memberitahu serba sedikit apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Selepas berkahwin segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Malah sepanjang perkahwinan pun ibu mertua banyak memberi tunjuk ajar agar saya lebih memahami adat di dalam istana.”
Tambahnya, protokol istana yang agak sukar adalah cara menyembah dalam bahasa istana atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami adalah memberi salam. “Sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi takut melakukan kesilapan. Mungkin tidak timbul kesalahan tetapi nampak macam tidak biasa sahaja.
Kalau tiada majlis di istana, kami menjalani kehidupan macam orang biasa yang lain. Suami pula seorang yang merendah diri. Sikap yang ditonjolkannya membuat saya berasa selesa. Mungkin pada permulaan saya rasa agak janggal tetapi lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dan saya boleh menerima dengan baik sebarang perubahan dalam kehidupan ini,” terang wanita yang baru berusia 25 tahun ini.
Kesudian Tengku Ezrique yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini menjayakan sesi fotografi bersama merupakan suatu penghormatan. Walau jarang beraksi di depan lensa kamera tetapi kelihatan selesa dan tidak janggal lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan isteri tersayang yang sudah biasa dengan bidikan kamera.
Darah diraja mengalir di tubuh Tengku Ezrique setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YDM. Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj Tengku Seri Paduka Shahbandar dan Toh Puan Datin Siti Rahilah Mohd Hashim.
Moyang Tengku Ezrique merupakan Sultan Selangor kelima, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa Al-Haj. Manakala Y.A.M. Tengku Abdul Hamid Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah merupakan datuk kepada Tengku Ezrique. Hamizatul Maizan Mohamed