Sekali Cuba Pasti Mahu Lagi, Ini Dia Tarikan MASAKAN KELANTAN! Jom Cuba

Jamu selera keluarga hujung minggu ini dengan juadah popular dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Selain terkenal dengan sos budunya, resipi kali ini khas buat anda yang berasal dari Kelantan dan tinggal di perantauan.

Sambil beristirahat hari ini, boleh cuba resipi Ketupat Sotong dan Gulai Kawah. Selamat mencuba!

KETUPAT SOTONG

Bahan-bahan:

  • 1 kg sotong bersaiz sederhana dan segar
  • ½ kg santan pekat
  • 3 ketul gula Melaka
  • 1 cawan beras pulut
  • 10 helai daun pandan
  • Garam
  • Gula
  • Pencungkil gigi / lidi

Cara membuat:

Bersihkan sotong, buang bahagian kulitnya yang berwarna hitam dan toskan. Basuh beras pulut dan rendamkan seketika dengan sedikit santan dan garam. Seterusnya, ambil sotong yang telah dibersihkan tadi. Dengan menggunakan sudu kecil, masukkan beras pulut tadi sehingga separuh badan sotong. Pastikan ia tidak diisi penuh untuk mengelak menjadi keras dan mentah. Kemudian, ambil kepala sotong dan masukkan ke dalam badannya yang berisi beras pulut tadi. Cucukkan pencungkil gigi di bahagian depan dan belakang. Di dalam periuk, lapik bahagian dasarnya dengan daun pandan sehingga melitupi permukaan periuk. Susun sotong memenuhi ruang dasar dan tindan perlahan-lahan. Masukkan pula santan pekat bersama sedikit garam dan gula Melaka. Hidupkan api paling kecil dan tutup periuk. Masak selama 30 hingga 45 minit atau hingga pulut dalam sotong masak.

GULAI KAWAH

Bahan-bahan:

  • 500 gram daging lembut (campur urat, perut, rusuk dan ekor)
  • 2 sudu makan kerisik
  • 500 ml santan pekat
  • 2 sudu makan gula merah / perang
  • 20 gram ketumbar (dikisar)
  • 20 ml budu
  • 2 keping asam keping
  • Rempah 4 sekawan
  • Garam secukup rasa

Bahan-bahan kisar:

  • 20 tangkai cili kering / serbuk cili
  • 1 sudu makan rempah kari daging
  • 2 sudu makan rempah gulai darat
  • 7 ulas bawang putih
  • 3 cm halia
  • 2 cm lengkuas

Cara membuat:

Panaskan minyak dan tumis rempah empat sekawan sehingga wangi. Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan juga ketumbar. Tumiskan sehingga naik bau. Seterusnya, masukkan daging dan kacau rata. Tuang sedikit air dan kacau sekali lagi. Apabila masakan sudah naik minyak, masukkan santan, kerisik, budu, garam secukup rasa dan gula merah. Biarkan ia mereneh sehingga mendidih. Kemudian, masukkan asam keping dan hingga pekat. Angkat dan hidangkan.

Resipi: TERIMA KASIH CEF OTHMAN ABU BAKER, SWISS-GARDEN RESIDENCES & HOTEL KUALA LUMPUR (www.swissgarden.com)

Share
Published by
Suzi