Selendang, bawal, awning, half moon dan instant shawl… semua itu antara jenis tudung yang menjadi pilihan para hijabi. Tidak kiralah apa juga jenis yang digayakan, tujuannya tetap satu iaitu untuk menutup aurat seorang wanita muslimah daripada pandangan bukan mahram.
Selaku wanita muslimah dan selebriti berhijab yang dikenali masyarakat, Uyaina Arshad punya pandangan tersendiri tentang pemakaian hijab. Tidak bermaksud bait-bait pantun nukilannya ditujukan kepada segelintir pihak… Nona percaya apa yang dikongsikan wanita cantik ini adalah sebagai peringatan buat diri tentang betapa tingginya martabat bergelar seorang wanita.
Ada apa dengan sehelai kain?
Yang digunakan untuk menutupi mahkota,
Kerna letaknya di kepala,
Darjatnya juga harus tinggi bertahta,
Indahnya wanita bertutup,
Disulami akhlak yang manis,
Dalam Quran sudah temaktub,
Memuliakan peribadi si gadis,
Sekali dipakai, jangan pernah ragu,
Jangan dibuka, jangan keliru,
Indahnya wajahmu, seindah tudung yang membaluti rambutmu,
Muliakan ia, dan ia akan memuliakan kamu.
Uyaina atau nama sebenarnya Shaidatul Naseha Uyaina Arshad mula menngasah bakat pengacaraan pada tahun 2015 dan merupakan graduan Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM). Meniti usia 27 tahun, Uyaina yang berasal dari Perak ini juga merupakan Juara Puteri Muslimah Asia 2018 yang berjaya menewaskan gadis-gadis muslimah berbakat dan berilmu dari Indonesia, Turki, Singapura, Brunei dan Timur Leste.
Selain petah berbicara, kerjaya seni Uyaina juga semakin berkembang sejak memenangi pertandingan yang berlangsung di Indonesia itu, tahun lalu. Memandangkan popularitinya yang kian meningkat naik di sana, Uyaina turut mendapat tawaran menjadi pengacara bagi program televisyen di Indonesia… menjadikan dia sebaris dengan pengacara popular di negara jiran tersebut.
Di Malaysia, nama Uyaina tidak kurang hebatnya dan semakin mekar bergelar pengacara dan pelakon. Terbaru, dia turut terlibat membintangi sebuah drama popular dan bakat lakonan Uyaina nyata tidak menghampakan dan mendapat pujian ramai.
Semoga kejayaan dan penampilan sopan Uyaina terus menjadi inspirasi kaum wanita sama ada di dalam dan luar negara.
Kredit: Instagram Uyaina Arshad
This website uses cookies.