Sekecil-Kecil Janji Kalau Dimungkiri Boleh Jadi KESILAPAN BESAR Dalam Perkahwinan. Amalkan 5 IKHTIAR Ini Untuk Pulihkan Konflik

Perkahwinan mana yang bebas masalah? Hakikatnya ramai yang berhadapan dengan sengketa perkahwinan. Antara masalah paling kerap berlaku ialah melibatkan kewangan, tiada masa bersama, masalah komunikasi, perbezaan pendapat dan pasangan kurang romantik.

Berikut teknik-teknik yang boleh diikhtiarkan bagi membantu menyelesaikan kemelut rumahtangga.

JANGAN MENGUNGKIT

Tak kiralah apa jua masalah yang berlaku dalam perkahwinan, penting untuk anda dan pasangan berbincang serta menyelesaikannya secara bertolak-ansur. Perselisihan pendapat mungkin akan terjadi namun harus berlaku dalam keadaan terkawal. Tak perlu bersikap terlalu mempertahankan diri. Jangan sesekali ungkit kesilapan pasangan. Fokus dan bincang isu yang sedang berlaku saja, bukan isu-isu lama yang diungkit semula.

SELESAIKAN DENGAN BIJAK

Perbezaan pendapat kadangkala bagus untuk menjadikan perkahwinan lebih baik dan matang. Tapi, berselisih pendapat dalam keadaan yang tidak adil atau mengikut nafsu amarah hanya membawa perasaan negatif terhadap pasangan. Apabila berbincang dengan aman dan adil, komunikasi antara pasangan lebih terbuka seterusnya masing-masing sedar akan kesilapan.

MEMAAFKAN & TERBUKA

Ketika berselisih faham berusahalah untuk menyelesaikan, memaafkan dan melupakan masalah itu. Bincangkan masalah semasa saja, bukan terbawa-bawa dengan masalah lampau. Saling berfikiran terbuka semasa berbincang. Setelah penyelesaian dipersetujui, lupakan masalah itu dan bermaafanlah.

JANGAN MUNGKIR JANJI

Mungkir janji adalah satu kesilapan besar. Jika tak ditangani dengan betul masalah ini akan mengganggu kesejahteraan perkahwinan. Maka, penting untuk menepati janji walaupun sekadar berjanji untuk keluar makan bersama. Ingat, janji-janji kecil yang tak ditepati boleh mengakibatkan kemusnahan hubungan.

ATUR TEMU JANJI

Jadikannya seperti pertemuan pertama. Teknik ini akan mengimbas semula kenangan anda berdua ketika mula-mula jatuh cinta. Anda akan ingat bagaimana rasanya detik-detik pertemuan pertama. Selalulah bercakap tentang kegembiraan, kebahagiaan, kehidupan dan masa depan keluarga. Ia pasti akan memberi perubahan besar dalam perkahwinan.

 

 

Share
Published by
Amy Mohd