Melalui episod duka dalam kehidupan tatkala peristiwa kehilangan pesawat MH370 menjadi salah satu dugaan yang harus ditempuhi oleh empunya diri, Intan Maizura Othaman dalam kehidupan. Hari ini, 8 Mac 2018, genap empat tahun menanti jawapan yang pasti. Sebagai isteri kepada kru pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan, dia reda dengan ketentuan Yang Maha Esa terhadap apa yang dilaluinya kini.

Ads

Walaupun wajah mengukir senyuman, namun di sebalik senyuman tersebut tersimpan seribu makna yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Mahu bangkit dari kepiluan sejak insiden itu, Intan kini lebih yakin mengorak langkah menceburkan diri dalam aktiviti lasak pilihannya, memanjat gunung.

Menurut Intan, aktiviti mendaki menjadi pilihan dirinya selepas mendapati ia merupakan satu aktiviti fizikal yang bukan sahaja menguji dari segi fizikal, malah turut melibatkan daya ketahanan mental yang tinggi. Aktiviti mendaki gunung kini menjadi antara aktiviti riadah yang menjadi kegemaran golongan masyarakat kota yang inginkan aktiviti yang berbeza dan melegakan tekanan jauh dari kesibukan ibu kota.

“Mendaki boleh dianggap sebagai aktiviti yang ekstrem kerana ia memerlukan stamina fizikal dan mental yang kuat, namun ia bukan penghalang untuk saya sebagai orang yang baru berjinak-jinak untuk menyertainya tanpa mengira jantina,” ujar Intan yang mula jatuh cinta dengan sukan ekstrem ini sejak kebelakangan ini.

Dek kepopularan aktiviti berkenaan, beberapa tahun kebelakangan ini, mendaki dikatakan telah menjadi ‘trend’ wajib bagi setiap orang  yang sanggup memperuntukkan masa untuk melakukan aktiviti mendaki baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Sekian Lama Berendam Air Mata, Hari Ini Genap 4 Tahun Tragedi MH 370 INTAN MAIZURA Temui Penawar Duka!

Ads

Kali pertama mencuba aktiviti mendaki bersama suami tersayang sekitar tahun 2013. Ketika itu, dia dan suami mencuba mendaki Bukit Tabur yang terletak di Melawati. “Kali pertama Intan mencuba aktiviti mendaki bersama arwah pada tahun 2013. Ketika itu, kami berdua sekadar mencuba aktiviti berkenaan tanpa persediaan yang lengkap. Bayangkan, dengan hanya berbekalkan air minuman yang sedikit serta kasut dan peralatan mendaki yang terhad, kami berjaya mengatasi cabaran tersebut walaupun arwah bukanlah seorang yang gemarkan aktiviti luar.

Walaupun kami berjaya mencuba aktiviti tersebut, tetapi banyak perkara yang kami abaikan. Bayangkan, selepas turun dari bukit tersebut, saya google dan dapati ia adalah kawasan yang berbahaya. Tetapi Alhamdulillah, ia mengukir kenangan manis bersama arwah,” ujar Intan mengenang kembali saat manis mencuba aktiviti mendaki di samping suami tersayang.

Ads

Sekian Lama Berendam Air Mata, Hari Ini Genap 4 Tahun Tragedi MH 370 INTAN MAIZURA Temui Penawar Duka!

Ditanya mengenai perasaannya sekarang setelah empat tahun peristiwa pilu itu berlaku, Intan akui semakin kuat berhadapan rasa sedih yang membelenggu diri.

“Harapan saya semoga satu hari nanti kebenaran akan menjadi kenyataan. Alhamdulillah Iman, anak sulung kami sudah semakin memahami situasi ini tetapi tetap merinduinya papanya. Muhammad pula walaupun tidak berkesempatan bertemu papanya, namun saya sentiasa bercerita mengenai arwah kepada mereka. Biar ‘rasa’ itu dekat di hatinya,” ujar Intan mengakhiri perbualan.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI