“Sekian Lama Nak Ada Rumah Rehat Atas Bukit, Tepi Sungai. WhiteBrick Mountain House My Weekend House” MONA DIN

Semestinya, menjadi impian setiap orang untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang selepas bersara tanpa perlu lagi terikat dengan komitmen kerjaya. Masa akan lebih banyak dihabiskan untuk diri sendiri, keluarga serta amalan-amalan ibadah.

Ikon usahawan industri fesyen Muslimah, Mona Din yang sudah pun bersara dari dunia perniagaan, gemar meluangkan masanya dengan menulis di Facebook berkongsi tentang nasihat, tip serta kaunseling buat para pengikutnya.

Mona Din.
Bersama suami tersayang.

Baru-baru ini, Mona Din berkongsi beberapa foto menunjukkan progres terkini rumah hujung minggu miliknya (weekend house) yang terletak di Janda Baik, Pahang. Rumah yang diberi nama WhiteBrick Mountain House ini diberi sentuhan dekorasi berkonsepkan ala ‘English classic home’.

Rona putih melatari segenap ruang rumah ini dengan elemen-elemen klasik mencetuskan ketenangan.

Apatah lagi, dengan persekitarannya yang menghijau dan berbukit bukau menjadi terapi jiwa. Biarpun belum siap sepenuhnya namun rumah ini kelihatan cukup sempurna dan selesa.

Sebelum ini, Mona Din yang mesra dengan panggilan Mokji di kalangan pengikutnya di Facebook pernah berkongsi kepada majalah Nona, beliau mencari hartanah untuk dibuat weekend house. Sudah serata negeri dijejaki namun akhirnya tanah di Janda Baik ini menjadi rezekinya. Selain harga yang memuaskan, struktur tanahnya juga sangat cantik serta selamat.

Kongsi Mona Din, rumah ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana banyak kekangan termasuklaah terpaksa berhadapan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perjalanan yang panjang dari mencari sekeping tanah. WhiteBrick Mountain House Janda Baik my weekend house bagi memenuhi angan-angan. Sekian lama nak ada rumah rehat atas bukit, tepi sungai.

“Akhirnya Allah telah mengizinkn impian saya menjadi kenyataan. Sebuah cottage atas bukit yang dikelilingi kehijauan. Di kaki bukit mengalir sungai yang jernih airnya. Subhanallah!”

Mona Din bersyukur dengan segala yang diaturkan Allah yang sentiasa mendengar detik hatinya sebagai seorang hamba.

“Allah Maha Mendengar. Selalu memberi apa yang terdetik di hati walau saya tidak mengangkat tangan berdoa untuk meminta.

“Akhirnya, Allah beri tanah melalui agent yang saya suka akhlaknya. Allah beri tanah terbaik dengan harga yang bila orang dengar pun akan ternganga. Allah mahu memberi yang terbaik. Tanah bukit Janda Baik ini tak begitu jauh dari rumah saya maka mudah untuk dikunjungi.

“Proses pembelian pun berjalan sangat mudah. Tak sampai 2 bulan terus dapat geran, syukur Alhamdulillah.”

Untuk info, Mona Din merupakan pengasas butik Hajaba, Women of Jannah, Umrah Hajj, serta produk Leesa Formula dan Serenity Spa.

Mona Din juga antara yang memperjuangkan nasib anak istimewa bernama Bella yang menjadi mangsa penderaan sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella

Keluarga besar Mona Din.

Kredit Foto: Facebook Mona Din

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad