Sekuntum Mawar Putih Di Kerusi Tiada Penonton Undang Sebak. BUNGA CITRA LESTARI Luah Emosi Di Konsert!

Konsert BCL Blossom Intimate di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini meluahkan sejuta rasa yang sarat terkandung di jiwa dan sanubari empunya nama Bunga Citra Lestari.

Foto: Kredit @bangsawanpictures Bangsawan Pictures

Mana tidaknya, dalam setiap lantunan suara tatkala menyanyikan lagu-lagu yang banyak menyentuh kehidupan peribadinya, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra di sapa BCL tidak dapat menahan rasa sebak. Momen tersebut turut membuatkan kebanyakan penonton yang hadir berada sebak dan menitiskan air mata.

Lebih membuatkan ramai mengalirkan air mata apabila persembahan tersebut turut memaparkan koleksi foto momen indah Bunga bersama Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair.

Foto: @bangsawanpictures Bangsawan Pictures

Menurutnya yang mesra disapa sebagai BCL, lagu tersebut terhasil daripada semua memori pahit manis sepanjang 12 tahun bergelar isteri kepada Ashraf.

“Malam ini, saya ingin berbagi rasa indah dengan anda semua sepanjang 12 tahun kehidupan bersama Ashraf. Lagu ini bukan meratapi tetapi untuk merayakan kegembiraan yang Allah SWT beri selama 12 tahun terindah,” kata penyanyi berusia 39 tahun yang ternyata menahan sebak tatkala mendendangkan lagu hasil liriknya itu.

BCL sempat berkongsi perasaannya kembali ‘ke rumah Ashraf’ setelah hampir tiga tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia. Kepulangannya itu mengingatkan dirinya dengan pelbagai memori ketika arwah Ashraf masih bernafas.

“Datang ke Malaysia, sangat istimewa buat saya. Perasaannya berbeza, ianya bukan seperti datang ke sesebuah negara. Sebab Malaysia adalah rumah kedua. Bukan senang untuk ke tempat yang banyak memori bersama.

“Berada di sini tidak mudah tetapi demi anda semua, semangat saya terus melonjak. Konsert ini telah menyatukan semua rasa termasuk rindu, bahagia, sedih dan gembira. Terima kasih Malaysia,” katanya lagi.

Lensa kamera tersentuh melihat sebuah kerusi kosong tanpa penonton bersebelahan bapa Ashraf, Mohamad Anthony John Sinclair. Di kerusi tersebut, kelihatan sekuntum mawar putih diletakkan sebagai simbolik BCL untuk arwah suami tersayang.

Malah ketika BCL menyampaikan lagu Wanita Terbahagia dan 12 Tahun Terindah, sekali lagi lensa kamera menyorot reaksi bapa Ashraf,  Mohamad Anthony John Sinclair dan ibunya, Khadijah Abdul Rahman yang menyimpan pelbagai rasa.

Foto: Kredit @bangsawanpictures Bangsawan Pictures
Foto: @bangsawanpictures Bangsawan Pictures

Selain berkongsi momen sedih, penonton turut diberi kejutan apabila anak lelaki BCL, Noah Aidan Sinclair tampil menyanyi bersama ibunya untuk lagu terakhir, Dance Tonight.

Persembahan penuh tenaga menjadi ‘rapper’ untuk persembahan mengiringi ibunya, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 12 tahun itu juga dilihat lincah menari persis penari profesional sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton.

Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam, BCL menyampaikan lebih 20 buah lagu hitsnya sejak bergelar penyanyi sekitar tahun 2006.

Antaranya ialah Cinta Sejati, Sunny, Wanita Terbahagia, Karena Ku Cinta Kau, Ada dan Dirimu, Jangan Gila, Tentang Kamu, Ingkar dan Saat Kau Pergi.

@bangsawanpictures Bangsawan Pictures

BCL juga mengejutkan penonton apabila tampil berduet dengan Ariel menerusi lagu Menghapus Jejakmu dan Mencari Cinta meskipun vokalis kumpulan Noah itu tidak berada di Malaysia secara fizikal. Menurutnya, Ariel merakam video nyanyian tersebut khas buat penonton konsert di Malaysia.

Acara tersebut turut dihadiri keluarga Ashraf termasuk ibu dan bapanya iaitu Mohamed Anthony John Sinclair, Khadijah Abdul Rahman serta adik perempuan Allahyarham, Aishah Sinclair.

Ia turut dihadiri tetamu VIP iaitu Tengku Permaisuri Selangor,  Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman dan rakan selebriti antaranya termasuklah Anuar Zain, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Ella, Hanis Zalikha dan Puteri Aishah.

 

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu