
Ilmu itu ibarat air, berkatnya terus melimpah selagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain. Masih terngiang-ngiang nasihat yang disampaikan para asatizah sempena Majlis Ilmu VIP XCESS KE SYURGA yang berlangsung semalam. Antaranya daripada penceramah yang kami panggil Ummi, Dr Robiah K Hamzah.
Berusia 73 tahun, kehadiran Ummi serasa menambah keserian majlis. Manis berbaju merah jambu, Ummi seperti biasa muncul dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Dalam kelembutan itu, rupa-rupanya mampu mengejutkan para hadirin sebaik Ummi berucap di pentas.
Menerusi topik ‘VIP XCESS KE SYURGA’, sesi talk bersama Moderator Datuk Hajah Rozzana Rahmat ini dihadiri oleh tiga panel hebat iaitu Dr Robiah K Hamzah, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
Antara perkongsian paling menarik yang melekat di fikiran penulis adalah sewaktu segmen Ummi menjawab soalan Moderator, tentang bagaimana menjadi VIP ke syurga.
Allahu cukup bagus penerangannya sehingga memberi keinsafan kepada setiap pendengar. Paling suka kata-kata Ummi semalam…
“Selagi kita mempunyai perasaan memiliki, kita tak mampu rindu Allah dan berserah pada Allah. Kerana semua isi langit dan bumi, Allah yang urus. Allah yang bagi….”
Tonton video penuh di sini…
Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 dan Ramadan Al-Mubarak, pihak Majalah Nona bersama rakan sinergi PEKAWANIS, My #InfaqIhsan, Warisan Ummah Ikhlas dan Angel Group Creative Financial Solution sukacitanya menganjurkan Majlis Ilmu NONA VIP XCESS KE SYURGA.
Majlis yang bertemakan rona putih dan pink dengan sentuhan Timur Tengah ini diadakan bertujuan untuk menyebarkan motivasi kepada para Muslimah, selain memantapkan ibadah dan persiapan rohani menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Turut disampaikan, Anugerah Ikon Muslimah NONA kepada enam personaliti dakwah yang disegani ramai iaitu Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Dr Robiah K Hamzah, Datuk Hajah Rozzana Rahmat, Dr Rukhaidah Abd Karim dan Fatin Nabila Ahmad Zainuddin.
2 Tahun Aktif Jadi Sukarelawan, Isteri DATO’ SRI EIZLAN Kini Bergelar Kapten!

Wah, tumpang bangga atas perkhabaran gembira isteri Dato’ Sri Eizlan Yusof yang kini menerima pelantikan sebagai Kapten! Akhirnya, penglibatan aktif Datin Sri Natasha Rosa Boudville dalam aktiviti kesukarelawanan sepanjang dua tahun ini mendapat perhatian dan pengiktirafan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Pastinya insan paling bahagia menerima berita baik tersebut ialah Dato’ Sri Eizlan yang turut melibatkan diri dalam badan persatuan sama!
Berkongsi foto terbaharu di media sosial masing-masing sejak semalam, jelas kelihatan wajah teruja pasangan romantis ini. Sambil memuatnaik majlis penganugerah dan pingat yang diterima, Dato’ Sri Eizlan berpeluang menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan isteri tercinta. “Congrats my yayang @sashaboudville. Finally! Setelah hampir 2 tahun berbakti sebagai sukarelawan.”
Ternyata, Datin Sri Natasha bukan hanya memiliki rupa paras yang cantik bahkan beliau juga seorang wanita berjiwa penyayang dan sedia turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Ini dibuktikan pada situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara, Datin Sri Natasha bersama Dato’ Sri Eizlan sama-sama memerah keringat membantu petugas barisan hadapan menangani wabak berkenaan.
Malah, pembabitan beliau dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga sudah bermula sebelum berkahwin dengan aktor kacak tersebut lagi.
Ujar ratu hati Dato’ Sri Eizlan yang setia berkhidmat untuk masyarakat sepanjang Covid-19 ini turut melahirkan penghargaan kepada frontliners terlibat. “Terima kasih KKM dan PDRM atas dedikasi dan pengorbanan anda semua supaya kami dijaga dan selamat. Tidak dilupakan juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya yang tidak putus semangat dan tenaga bersama Eizlan Yusof, Adam Shahz dan Dato’ A. Aida.”
Mengimbas kembali pembabitan Dato’ Sri Eizlan bersama APM, bapa kepada tiga anak ini menerima pentauliahan Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam pada April 2018.
Sejak pengurniaan lantikan tersebut, beliau aktif berkhidmat bersama APM dan tahun lalu Dato’ Sri Eizlan bersama Adam Shahz serta pasukan APM telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas mengharungi laluan laut sepanjang 718.57 kilometer. Ia merupakan pelayaran Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi selama enam hari membabitkan 133 peserta.
Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019.
Datin Natasha merupakan wanita anggun berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Moga perkahwinan selebriti romantis ini berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi dalam usaha mengajak masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan serta kebajikan.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pelancaran CDERT disempurnakan oleh Timbalan Menteri JPM (Tugas-Tugas Khas) Pesuruhjaya Kehormat (PA) YB Datin Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid. Pelantikan yang diterima Datin Sri Natasha sekaligus membawa gelaran Kapten Bersekutu.
“Saya Tak Perlu Tayang Kecantikan Untuk Dihormati,” Wardina Safiyyah Tentang MAKNA HIJAB Buat Dirinya

Apakah lagi yang mahu dibicarakan tentang hijab? Sehelai kain di atas kepala, dililit, disarung, dibungkuskan… aduh, sekarang memang sudah macam-macam! Macam-macam gaya, warna dan rupa. Tudung, hijab, skarf atau apa sahaja yang anda mahu panggil adalah ‘identiti diri’ buat wanita Islam.
Malah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59, Allah berfirman agar wanita beriman (Muslim semestinya) untuk melabuhkan hijab supaya apa? Supaya ‘dikenali’ kerana ia lebih baik bagimu. Jadi pertamanya memakai hijab adalah ‘untuk dikenali’ sebagai wanita beriman dan keduanya kerana ia lebih baik bagi kita. Ya, LEBIH BAIK. Siapa kata? Allah Rabb kita!
Mari kita hafal dan ingat bahawa antara ayat yang menyuruh wanita berhijab adalah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang membawa maksud, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (tudung/hijab) ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu.”
Saya sering memberi penekanan bahawa sebelum nak bercakap tentang tudung atau hijab… satu perkara yang perlu difahami oleh semua wanita berhijab adalah untuk mengetahui dengan sepenuh hati, menghafal dan memahami, untuk tidak lupa membaca dengan sendiri ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita berhijab.
Amat memalukan sekiranya ada yang bertanya, “Ayat mana yang menyuruh kita berhijab?” Dan tiba-tiba seorang wanita yang berhijab tidak tahu menjawabnya. Berhentilah kita dari terus-menerus ‘tidak tahu’, marilah mencari ilmu. Satu lagi ayat adalah dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31.
Sering juga dinasihatkan oleh guru saya, mengingatkan saya dan semua wanita di luar sana agar memahami satu hakikat ini. Kita tidak berhijab untuk lelaki atau suami atau ayah kita. Tidak. Kita berhijab kerana Allah semata-mata.
Kita juga tidak berhijab untuk menjaga iman para lelaki. Iman orang lelaki, maaf tapi mereka perlu urus dan jaga sendiri. Saya juga amat yakin mereka mampu menjaganya. Get that straightened out first! Kita berhijab semata kerana Allah sahaja.
Dan ya, ia sepatutnya satu simbol ketakwaan. Jika seorang rahib dibenarkan untuk menzahirkan cinta mereka kepada tuhan dengan berhijab, maka seharusnya wanita Islam juga begitu. Tidak, hijab ini bukan simbol kita di diskriminasi tapi satu simbol liberalisasi!
Saya bangga dengan sehelai kain ini, kain di atas kepala ini lambang saya cintakan agama saya. Saya tidak malu berjalan dan dikenali sebagai wanita Islam.
Namun saya mengingatkan diri bahawa kain ini mempunyai makna yang lebih dari hanya sekadar imej. Kain ini, sepatutnya menzahirkan satu kecantikan yang lain dari hanya kecantikan fizikal iaitu kecantikan dalaman, kecantikan intelek dan adab. Sekiranya dengan memakai hijab kita masih tidak beradab dan berilmu, maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dulu.
Setelah memakai hijab saya mula memberi fokus kepada kecantikan dalaman saya, bukan hanya tertumpu pada kecantikan luaran semata-mata. Saya menutup badan saya, namun saya terpaksa mengeluarkan satu lagi kecantikan – itulah dia kecantikan dalaman.
Itulah yang seharusnya. Saya tidak lagi memfokuskan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Seperti yang sering saya sebutkan, menghijabkan hati lebih sukar sebenarnya.
Kenapa saya kata hijab itu simbol liberalisasi? Kerana saya berjaya membebaskan diri dari menjadi mangsa fesyen! Dunia fesyen yang dikuasai industri fesyen yang hanya tertumpu pada kecantikan fizikal.
Saya sudah bosan dihormati hanya kerana saya cantik! Takkanlah itu saja yang ada pada saya? Takkanlah saya hanya disukai kerana fizikal saya saja! Maka bermulalah satu perjalanan menyelami kecantikan intelek dan rohani serta adab yang saya sebutkan tadi.
MasyaAllah saya tahu perjalanan saya masih jauh dan berliku. Saya pasti akan berbuat salah, namun akan saya bangkit kembali sehingga saya temui satu kebebasan yang baru. Satu kecantikan yang InsyaAllah akan kekal. My self worth… harga diri saya tidak bergantung pada barangan material, namun siapa saya tanpa barangan material itu.
Saya tidak perlu ‘buka’ dan tayangkan kecantikan zahir saya untuk membuatkan orang suka, sayang, bercakap dan hormat pada saya.
Al-Quran menyebut dalam surah Al-A’raf 7:26 bahawa kecantikan atau pakaian yang terbaik adalah takwa. Tapi malangnya takwa tidak diiklankan dan dijual merata-rata. Hanya orang tertentu yang bertuah akan menjumpainya! Dan InsyaAllah berhijab adalah permulaan untuk kita menyelami keindahan takwa ini.
Selamat menyelami dan mencari apa dia sebenarnya makna sehelai kain di atas kepala anda. Saya masih mencari… dan perjalanan ini amat indah sekali!
Salam sayang,
Wardina Safiyyah
Nurida Suraya Azam Mahu Jadi Contoh Terbaik Buat Anak! Kenang Titik Tolak Terima ‘Hidayah’ Allah

Hidayah milik Allah S.W.T. Penghijrahan itu kadang-kala hadir dalam hidup manusia tidak mengenal waktu dan ketika. Setiap kisah perubahan seseorang itu mencurah hembusan inpirasi kepada yang lain untuk memperbaiki diri dan terus menjadi yang terbaik dari semalam.
Nurida Suraya, seorang usahawan dan model yang memiliki rupa paras cantik dan menawan, juga isteri kepada pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin berbicara tentang imej terbarunya.
Hati Dijentik Saat Memikirkan Cahaya Mata Sulung Rizqaa
Pada awalnya saya berniat untuk berhijab selepas anak kedua. Namun Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan Lagi Maha Mengetahui. Alhamdulillah, hati dijentik kebih awal dan seruan untuk berhijab itu hadir segera dari apa yang saya rancang,” kongsinya.
Tambahnya lagi, hatinya dijentik untuk berubah saat dia memikirkan tentang cahaya matanya, Rizqaa. Maka dari situlah bermulanya diari perjalanan baru ini.
“APABILA BERGELAR IBU, SEMESTINYA KITA INGIN MENJADI CONTOH YANG TERBAIK. SAYA PERCAYA SETIAP APA YANG DILIHAT OLEH ANAK-ANAK KITA ITU, ITULAH PANDUAN UNTUK DIRI MEREKA.”
PERMULAAN HIJRAH
Menyoal tentang punca dirinya berubah ke imej yang baru (berhijab), Nurida menyatakan bahawa ia merupakan sebuah proses yang panjang. Menurutnya, dia cuba untuk berhijab sebelum ini, tetapi hati dan jiwanya masih belum bersedia.
“IA MERUPAKAN PROSES YANG MEMATANGKAN DIRI DAN MENGAMBIL MASA YANG LAMA UNTUK SAYA BENAR-BENAR NEKAD DAN YAKIN DENGAN IMEJ INI.SAYA JUGA MINTA TOLONG PADA SUAMI, RIZMAN UNTUK MENUKAR REKAAN BAJU RAYA DENGAN KONSEP YANG LEBIH MESRA HIJAB. ALHAMDULILLAH, SEHINGGA KINI ALLAH MASIH MEMELIHARA SAYA DARI IMEJ YANG LAMA.”
KEKAL ISTIQOMAH
Untuk kekal istiqomah bukanlah perkara yang mudah. Apabila berbicara soal dirinya untuk kekal istiqomah, Nurida menyatakan bahawa keputusan penghijrahan ini wujud dari hatinya sendiri dan sentiasa percaya bahawa itu adalah petunjuk dari Allah SWT.
“Doakan saya terus beristiqomah. Biarpun saya tidak menghadapi sebarang cabaran dari saat awal saya menyarungkan hijab tetapi saya jauh di sudut hati, saya seringkali berdoa kepada-Nya untuk memelihara diri saya dari segala keburukan.”
Reaksi suamianya juga saat dia mula ingn berhijab amat positif. Suaminya, Rizman juga tidak pernah lelah dan penat dalam memberi sokongan kepada dirinya. Keceriaan juga terpancar pada sinar wajahnya saat mengetahui tentang hajat isteri tercintanya itu.
“RIZMAN BEGITU MENYOKONG KEPUTUSAN SAYA DAN SEHINGGA HARI INI, DIA TIDAK BERHENTI UNTUK MENJADI PENASIHAT DALAM PEMAKAIAN SAYA UNTUK LEBIH SOPAN DAN MENUTUP AURAT. BAGI KELUARGA SAYA PULA, ketika SAYA KONGSIKAN BERITA GEMBIRA INI, SEMUANYA SANGAT GEMBIRA DAN SENTIASA MENDOAKAN YANG TERBAIK PADA PERUBAHAN INI.”
KOMEN NEGATIF?
Manusia kadang berkata tanpa menggunakan akal. Cuma kita yang menerima harus bijak dalam mengawal emosi. Sebagai individu yang dikenali, pastinya setiap apa yang dilakukan menjadi tumpuan lensa kamera serta perhatian netizen. Sudah pasti komen negatif itu tidak bisa lari dalam diari kehidupannya.
Menurut Nurida, saat dia tampil dengan imej terbaru ini, ada sahaja komen yang dicurahkan oleh masyarakat terutamanya dari segi cara pemakaian dan gaya hijab yang disarungkan.
“Antara komen negatif atau kecaman yang saya terima adalah seperti komen berkaitan dengan cara pemakaian hijab yang nampak leher dan dada. Mereka juga mengatakan bahawa sebagai individu yang sudah mula berhijab, ia adalah perkara yang harus dibaiki. Namun, saya tidak mudah melatah kerananya.”
HARAPAN
“Imej terbaru ini menjadikan saya lebih tenang dan selesa dengan pemakaian hijab. Harapan saya agar Allah SWT sentiasa memberi kekuatan pada iman dan hati saya dan sentiasa istiqomah dalam menjalani hari-hari saya dengan imej terbaru ini. InsyaAllah dengan adanya sokongan suami dan keluarga serta kehadiran cahaya mata memberikan saya lebih kekuatan untuk terus berjalan ke jalan yang diredhai-Nya. Nasihat saya kepada mereka yang ingin berhijba, berhijab ini perlulah bersedia dari segala aspek dan niat itu haruslah datang dari hati.
“JANGAN SEKALI BERHIJAB KERANA MENGIKUT TREND SEMATA-MATA ATAU MENGIKUT ORANG LAIN. INSYAALLAH NIAT MULIA ITU AKAN DIPERMUDAHKAN ALLAH SWT. KEPADA SIAPA YANG INGIN BERHIJAB SAYA AKAN SENTIASA DOAKAN ANDA DIBERIKAN HIDAYAH DAN KEKUATAN UNTUK TERUS ISTIQOMAH. INSYAALLAH.”
Sumber gambar: Koleksi peribadi Nurida Suraya & Instagram Nuridasuraya