Kari Kepala Ikan, Kuah Kacang Dal dan Masala Vadai kini bukan lagi hidangan asing buat masyarakat Malaysia. Bahkan bila sebut saja menu India, ramai yang terkenang rasa rempah-ratus yang pelbagai dan aromanya yang memikat.
Salah satu ‘rahsia’ besar yang digunakan untuk mendapatkan wangian dalam sajian India ialah dengan meletakkan daun kari. Sama ada dimasak bersama kuah atau digoreng begitu saja sebelum ditaburkan ke atas hidangan, ia adalah pelengkap masakan India.
Selain menerbitkan aroma semerbak, daun kari juga sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat untuk tubuh. Antaranya melancarkan pencernaan, melegakan keletihan dan mengawal kadar gula dalam darah sekali gus mengatasi penyakit diabetes.
Jadi, kepada anda yang mahu mendapatkan kembali tenaga yang hilang atau mengalami masalah pencernaan, malam ini mungkin boleh hidangkan dua menu India berikut untuk keluarga tersayang.
Kambing Varural
Bahan-bahan perapan:
500 gram daging kambing (dipotong kecil)
1 sudu besar serbuk kunyit diperap lebih kurang 15 minit
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Bahan-bahan utama:
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang besar (dimayang)
1 inci halia (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar cili giling
4 tangkai daun kari
Rempah 4 sekawan
Sedikit kicap manis
Garam
Gula
Air
Cara membuat:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk, daun kari, rempah 4 sekawan dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili giling dan serbuk kari daging. Kacau dan biarkan sedikit garing. Masukkan pula daging kambing. Tambah sedikit air dan masak hingga mendidih. Seterusnya, masukkan kicap manis, garam dan gula. Sesuaikan rasa ikut selera. Masak dengan api sederhana hingga mendapat kepekatan yang diinginkan.
Ayam Peratal
Bahan-bahan untuk ayam:
1 ekor ayam (dipotong saiz sederhana)
4 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar campurkan semua bahan & perap 20 minit
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk garam masala
1 sudu besar garam
Bahan-bahan lain:
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 biji bunga lawang
2 sudu kecil jintan manis
½ sudu kecil biji halba
3 biji bawang merah (dihiris)
3 biji tomato (dipotong dadu)
3 tangkai cili hijau (dihiris)
3 tangkai daun kari
2 sudu besar daun ketumbar (dicencang)
2 biji kentang (dipotong kiub)
1 cawan air
6 sudu besar minyak sapi
Garam
Cara membuat:
Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, jintan manis dan biji halba sehingga naik bau. Masukkan bawang merah bersama cili hijau dan daun kari. Tumis selama tiga minit. Kemudian, masukkan pula kentang dan ayam yang telah diperap. Masak atas api perlahan selama 10 hingga 15 minit dengan periuk bertutup. Sesekali kacau perlahan-lahan dan biarkan mendidih. Masak selama 10 minit sehingga kuah pekat. Seterusnya, masukkan tomato. Gaul dan biarkan mereneh. Akhir sekali, tabur daun ketumbar dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya. Sedia untuk dihidang. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI