Selain Ketupat Rendang, Hidangkan 5 Buah-Buahan Tinggi Air Ini Untuk Keluarga Di Hari Raya

Tubuh badan kita sangat memerlukan air untuk berfungsi secara normal. Tanpa hidrasi secukupnya, pelbagai gangguan seperti keletihan, pening kepala, kejang otot, tekanan darah rendah, masalah kulit dan degupan jantung yang laju akan berlaku.

Menjelang ketibaan Syawal ini, golongan ibu pasti sudah sibuk di dapur menyiapkan juadah wajib seperti ketupat dan rendang. Meskipun hanya menjamu ahli keluarga kecil, namun kesibukannya tetap sama. Bezanya mungkin pada saiz masakan yang lebih sedikit berbanding dulu.

Walau bagaimanapun, inilah masanya menyajikan hidangan yang lebih berkhasiat pada pagi raya. Selain juadah wajib, apa kata anda tambahkan buah-buahan sebagai hidangan sampingan? Selain minum lapan gelas air sehari, sebenarnya anda juga boleh mendapatkan cecair daripada buah-buahan.

Jom semak lima jenis buah dengan kandungan air tertinggi ini untuk dinikmati.

(1) Nenas

Buah nenas mengandungi 86% air dan mampu membekalkan banyak nutrisi seperti vitamin B, vitamin C, magnesium, kalium serta mangan.

Ia juga mengandungi bromelain iaitu enzim yang bersifat anti-inflamasi. Bromelain juga baik untuk meredakan sinus, osteoartritis dan masalah pencernaan.

 

(2) Pic

Buah pic mengandungi 90% air dan padat dengan nutrisi. Ia juga kaya dengan serat, vitamin dan mineral penting seperti vitamin A, B, C dan kalium.

Menurut Journal of Medicinal Food, pengambilan buah pic bukan saja mengenyangkan malah sesuai untuk menurunkan berat badan jika dimakan dengan kulitnya.

 

(3) Strawberi

Strawberi mengandungi 91% air, tinggi antioksidan, vitamin C, folat dan mangan. Kajian oleh Journal of Agricultural and Food Chemistry mendapati bahawa pengambilan buah strawberi secara teratur dapat mengatasi radang, melindungi dari penyakit jantung, diabetes, Alzheimer dan mengurangkan risiko kanser.

 

(4) Limau Bali

Limau bali mengandungi 88% air dan tergolong buah sitrus yang sangat baik untuk kesihatan. Ia juga padat dengan serat, antioksidan, vitamin A, kalium dan folat.

Dengan menambah limau bali ke dalam diet harian dapat membantu dalam mengurangkan berat badan, merendahkan kolesterol, tekanan darah dan kadar gula darah.

 

(5) Tembikai

Akhir sekali, sudah pasti buah tembikai harus dimasukkan ke dalam senarai ini kerana ia mengandungi air tertinggi iaitu 92%. Ini juga menjadikan tembikai sebagai pilihan paling rendah kalori.

Tembikai kaya antioksidan sekaligus mampu mengurangkan masalah kerosakan oksidatif pada sel seperti yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung dan diabetes.

Share
Published by
Norzalina