Tutur bicaranya jelas, tersusun kemas dan menenangkan. Setiap ungkapan yang terpacul dari bibir wanita inspirasi ini juga sarat dengan kata-kata motivasi, dakwah yang mendekatkan hambaNya dengan Sang Pencipta dan nasihat yang begitu meruntun jiwa. Tidak hairanlah, penyampaian Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa sentiasa ‘melekat’ di hati pendengar dan memberi kesan terhadap kehidupan mereka. Ternyata beliau memiliki aura tersendiri!
Terkenal dengan kepetahan dan lontaran suara penuh kelembutan, Ustazah Datuk Dr Norhafizah menjelaskan penglibatan beliau di pentas dakwah dan motivasi bermula sejak hampir 24 tahun yang lalu sejurus pulang dari Jordan. Waktu itu beliau sedang mengikuti perlatihan korporat sebagai master trainer dan bernaung di dua buah syarikat iaitu Airborne Discovery dan DMA Training & Consultant.
Ujarnya, antara faktor utama yang membuatkan beliau terdetik untuk menceburi bidang ini adalah kerana minat. “Alhamdulillah, minat dan keazaman untuk menyebarkan ilmu memang tinggi dari awal lagi. Saya memang suka tengok orang memberi inspirasi dan ceramah. Ia buat saya turut rasa ada idea untuk bercakap. Saya juga didorong dengan rasa kasih dan ingin membantu. Saya percaya kata-kata boleh jadi hikmah yang membina azimah, bukan setakat kata-kata tapi solusi untuk membantu cara berfikir yang baik dan membina keyakinan yang sahih dalam diri.
Dari situ, semuanya akan terus mendaki kepada perkara lebih baik. InsyaAllah. Saya juga suka membaca, kalau pergi kedai buku rasa macam-macam buku nak beli. Juga suka dengar ceramah para sheikh dalam Youtube. Kalau zaman dulu saya beli CD dan kaset. Jadi rasa nak sangat sharing dengan orang ramai apa yang kita tahu, kita fahami dan kita dengar. Macam mana semua itu membantu saya untuk menjalani kehidupan, demikian jugalah saya harap orang lain akan dapat manfaat.”
Allahu, ‘cantiknya’ hati dan niat murni Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa. Pendek kata, apa sahaja ilmu yang diperoleh… beliau mahu berkongsi kebaikan tersebut dengan lebih ramai orang.
Dalam pertemuan ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award yang lepas, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa mengakui minatnya dalam bidang seni suara. Tak sangka, beliau rupa-rupanya berbakat menulis lirik lagu nasyid. Siap memperdengarkan salah satu lagu ciptaannya kepada team Nona!
Ujar wanita berjiwa besar ini, “Jiwa seni dalam diri saya agak kuat. Dari kecil lagi dah suka dengan seni suara. Masuk nasyid, qasidah, berzanji, musabaqah tilawah Al-Quran hingga kebangsaan dan alhamdulillah masa Tingkatan 3, saya menjadi juara kebangsaan kategori menengah perempuan. Saya suka mengamati sesuatu. Mungkin dek sebab itu mudah rasanya menulis lirik lagu. Jadi minat pula mencipta lirik, Menyusun melodi lagu. Alhamdulillah.
Tapi taklah beriya sangat. Cuma baru ni, saya buat program online, Mihrab Coaching. Jadi setiap course ada tema yang berlainan. Jadi lahirlah lagu-lagu tema seperti Mihrabku, Ku Seru NamaMu, Qalbun Saleem, Till Jannah, Kerinduan Ya Rasulullah dan lagu Madinatul Huffaz juga. Bila dengar lagu atau nasyid, saya nak dengar kedalaman liriknya diadun dengan keindahan melodi.”
Yang pasti, individu paling banyak memberi pengaruh besar dalam hidup Ustazah Datuk Dr Norhafizah sehingga berjaya hari ini ialah kedua-dua ibu bapa beliau sendiri. “Mak abah sentiasa bagi galakan. Dari kecil saya dah dibiasakan menyertai macam-macam pertandingan termasuklah pertandingan bercerita, baca berita, nasyid, syarahan Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab. Memang stress masa kecil dulu sebab asyik duduk depan orang ramai.
MashaAllah, rupa-rupanya itu latihan dan didikan terbaik untuk saya. Mak abah akan sentiasa bimbing saya untuk berada di hadapan khalayak. Malah mengajar doa untuk tenangkan hati dan tak putus-putus bagi nasihat serta teguran positif.”
Di samping bergelar pakar motivasi dan pendakwah, Ustazah Datuk Dr Norhafizah juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penasihat Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz. Komitmen beliau membangunkan modal insan berkualiti mendapat perhatian banyak pihak. Tanggal 1 Februari 2018, beliau menerima perkhabaran gembira sekaligus melakar pencapaian membanggakan apabila terpilih menjadi penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan.
Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tersebut, isteri kepada Ustaz Dr Azahar Yaakub ini menerima penganugerahan Darjah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun sama juga beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Jempol, Negeri Sembilan.