Bilik tidur merupakan ruang untuk beristirahat setelah kepenatan dengan rutin seharian sekaligus menjadi tempat yang mendamaikan. Secara tidak langsung juga anda mendapat tidur yang cukup serta berkualiti.
Ruang bilik tidur yang tidak terurus seperti bau kurang menyenangkan, suasana yang membosankan atau udara yang kurang segar pastinya mempengaruhi jiwa serta mood penghuninya. Salah satu cara untuk mencetuskan suasana yang tenang pada ruang bilik tidur ialah dengan meletakkan beberapa jenis tanaman hiasan yang sesuai.
Ia dipercayai dapat mencetuskan suasana yang lebih segar, tenang dan cerah. Faktor ini turut dapat mengurangkan stres. Keberadaan tanaman hiasan juga mengurangkan kadar racun dan kelembapan udara dalam bilik tidur.
LAVENDER
Umum mengetahui bahawa lavender mempunyai aroma khas yang dapat menenangkan dan mengurangkan kadar kecemasan. Bahkan, salah satu khasiat aromanya ialah mampu mengusir nyamuk. Warna ungunya yang menarik juga dapat memberi kesan cerah dan segar sekaligus sesuai diletakkan dalam ruang bilik tidur.
ENGLISH IVY
Mudah tumbuh dan dirawat. English ivy juga dianggap sebagai pembersih udara yang baik. Mampu menurunkan kadar stres dan kecemasan. English ivy tergolong sebagai salah satu jenis tanaman untuk bilik tidur yang memberi pengaruh yang baik. Anda boleh menggunakan pasu berwarna warni yang diletakkan di atas rak atau pasu jenis gantung agar terlihat lebih ceria.
POKOK LIDAH BUAYA
Salah satu tanaman luar yang dapat meningkatkan kualiti udara. Pokok lidah buaya atau aloe vera dapat menyaring karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Jadi, semasa anda tidur udara akan lebih terjaga dan berkualiti. Merawatnya juga mudah kerana ia tidak perlu kerap disiram mahupun terdedah dengan matahari.
ROSEMARY
Warna hijau segar daripada tanaman rosemary mampu memberikan kesan yang baik pada kesegaran ruang bilik tidur. Selain itu, rosemary juga memiliki kemampuan untuk merangsang aktiviti otak menjadi lebih baik seterusnya membantu mengurangkan stres dan keletihan. Ia juga dipercayai dapat membantu mereka yang mengalami insomnia. AMY MOHD
This website uses cookies.