9 Zulhijjah 1439 Hijrah atau bersamaan 21 Ogos 2018 merupakan Hari Wukuf Arafah yang menjadi kemuncak bagi ibadah haji tahun ini. Menjelangnya hari istimewa ini, seluruh umat Islam di seluruh dunia digalak memperbanyakkan ibadah memandangkan ganjaran yang bakal diterima sangat besar. Lakukanlah dengan penuh khusyuk, tawaduk dan hanya kerana Allah SWT.
Rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas. Meskipun belum dikurniakan rezeki untuk menjadi tetamu Allah dan melaksanakan rukun Islam kelima berkenaan namun kita semua tetap diberi ganjaran besar walaupun hanya menghambakan diri kepada-Nya di negara sendiri ketika detik ini. Mohon panjatkan kesyukuran dan perlindungan Yang Maha Esa agar keselamatan para jemaah haji yang berdepan ribut di Arafah terpelihara daripada segala insiden yang tidak diingini.
Antara kelebihan bagi mereka yang melakukan Puasa Sunat Hari Arafah, segala dosa yang dilakukan setahun lalu dan setahun akan datang akan dihapuskan. MasyaAllah, sesungguhnya Dia Maha Pemurah dan Maha Pengampun.
Selain menunaikan Puasa Sunat Hari Arafah esok, bulatkan niat untuk turut melakukan amalan ini.
1. Tidur awal (pada malam Selasa) dengan niat bangun awal untuk beribadah.
2. Bangun awal beberapa jam sebelum fajar dan lakukan Solat Tahajud. Tasbih dan witir, lanjutkan dengan doa munajat disertai linangan air mata taubat dan keinsafan akan kefakiran diri
3. Perbanyak istighfar agar termasuk dalam kalangan orang yang beristighfar pada waktu sahur.
4. Makan sahur secukupnya disertai niat berpuasa sunat kerana Allah.
5. Solat Subuh berjemaah, jangan lupa ucapkan takbir selepas solat.
6. Duduk di tempat solat hingga terbit matahari untuk membaca zikir ma’thurat, doa dan bacaan al-Quran, lalu laksanakan solat sunat Syuruq dua rakaat.
7. Sepanjang hari itu, perbanyak ibadat dan zikir, kurangkan ucapan yang tak bermanfaat, dan jauhkan diri daripada maksiat.
8. Apabila masuk waktu Asar, laksanakan solat berjemaah, lalu sibukkan diri dengan doa dan zikir hingga Maghrib. Mintalah kepada Allah agar tidak terbenam matahari sebelum semua dosa kita diampunkan dan semua hajat kita dimakbulkan.
9. Bersegera berbuka puasa sejurus masuk waktu Maghrib. Pada waktu berbuka terdapat peluang doa mustajab bagi orang yang berpuasa. Jangan lupakan ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia dan yang masih hidup, juga kaum muslimin yang tengah dalam kesusahan di seluruh dunia.
10. Memaafkan orang yang bersalah dengan kita.
11. Mendoakan orang yang menyakiti kita sama ada dengan kata-kata atau perbuatan.
12. Bersilaturrahim dengan orang yang cuba memutuskannya dengan kita.
Moga dengan amalan-amalan yang dilakukan ini mampu menghilangkan resah gelisah yang selama ini bersarang di dalam hati. Sekaligus mencetuskan rasa tenang, syukur dan gembira atas segala yang dikurniakan kepada kita semua. Semoga Allah menerima amal ibadah kita!