Setiap wanita disarankan untuk menjalani pemeriksaan mammogram secara teratur bagi mengesan risiko penyakit payudara seperti kanser daripada awal.
Namun sikap segelintir orang yang suka menakut-nakutkan, seperti mammogram itu sakit atau radiasinya punca kanser, sering menjadi alasan wanita lain menunda ujian pertama mereka.
Ads
Tenang. Jika anda tertanya-tanya bagaimana prosedur yang bakal dijalankan, berikut adalah hal-hal penting yang perlu diketahui tentang mammogram.
(1) Wanita hamil atau menyusukan anak dilarang membuat ujian
Sebelum menjalani mammogram pertama, pastikan anda telah memaklumkan pada doktor jika sedang hamil atau menyusukan anak.
Mammogram tidak seharusnya dilakukan pada anda. Doktor akan menyarankan teknik ujian lain seperti ultrabunyi.
(2) Lakukan seminggu selepas menstruasi
Jika diminta untuk menjadualkan ujian ini, pilih waktu ketika payudara anda tidak membengkak atau mengeras bagi mengurangkan rasa sakit dan mendapatkan hasil imbasan yang berkualiti.
Sebaik-baiknya, cuba hindari ujian seminggu sebelum atau selepas menstruasi anda.
(3) Jangan pakai deodoran, pewangi, bedak atau losen
Sebelum berangkat untuk ujian, jangan memakai sebarang deodoran, bedak, losen, krim atau pewangi di bahagian ketiak dan di sekitar payudara.
Kandungan bahan kimia atau logam yang terkandung dalam produk-produk ini akan menghasilkan imej tompokan kalsium pada gambar imbasan mammogram anda.
(4) Anda perlu menanggalkan baju dari bahagian pinggang ke atas
Ya, anda perlu membuka pakaian termasuk bra untuk mendapatkan gambar imbasan yang jelas. Lebih mudah jika anda memakai seluar panjang atau skirt kerana bahagian atas hanya akan ditutup dengan gaun hospital.
Cuba bertenang kerana sewaktu sesi mammogram berlangsung, hanya ada anda dan seorang jururawat wanita di dalam bilik tersebut.
Ads
(5) Payudara akan dilihat oleh jururawat
Mammogram adalah ujian pemeriksaan dada. Ini bermakna, anda bakal berada dalam situasi di mana payudara anda akan dilihat oleh jururawat selama menjalaninya,
Payudara seterusnya akan ditempatkan di atas plat besi yang terpasang di mesin mammogram. Sewaktu imbasan dibuat kira-kira 10 saat, plat ini akan diturunkan sebanyak dua kali iaitu dari atas ke bawah dan dari sisi ke sisi.
Cengkaman plat besi pada payudara seharusnya tidak bergerak bagi menghindari gambar kabur. Anda mungkin juga perlu menahan nafas setiap kali imej dirakamkan.
(6) Sakit untuk sebentar
Mungkin sewaktu payudara ditekan, anda berasa tidak selesa atau menyakitkan. Sebenarnya tujuan ia ditekan adalah untuk meratakan jaringan payudara hingga setipis mungkin untuk mendapatkan gambar yang jelas.
Ads
Maklumkan jika anda kesakitan. Pertimbangkan juga untuk mengambil aspirin, ibuprofen atau paracetamol sekitar satu jam sebelum mammogram bagi mengurangi rasa sakit.
(7) Sesi hanya mengambil masa yang singkat
Biasanya sesi mammogram hanya mengambil masa 20 – 30 minit sahaja. Anda boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa selepas sesi berakhir.
Namun jjika perlu, prosedur yang sama boleh diulang untuk mendapatkan gambar tambahan jika hasilnya kurang jelas atau meragukan. Jangan pelik, ini adalah perkara yang umum terjadi.
(8) Benarkah wujud radiasi dari ujian mammogram?
Mammogram hanya menggunakan sinar-X berdos rendah untuk mengambil gambar imbasan terperinci daripada jaringan payudara.
Setiap paparan radiasi datang dengan risiko kecil tapi ia jauh lebih rendah daripada risiko tidak melakukan ujian langsung.
(9) Keputusan boleh diketahui segera
Sekitar 96 daripada 100 wanita yang diuji mendapat keputusan yang normal. Namun jika anda tidak mengetahui keputusan dalam tempoh beberapa hari, hubungi tempat mammogram anda dilakukan.
Biasanya laporan lengkap dari hasil mammogram tersebut akan dihantar kepada doktor anda dalam masa 30 hari, atau secepat mungkin jika hasil mendapati kewujudan kanser. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila tiba bulan Oktober, rona merah jambu menjadi antara warna yang sinonim di mana-mana sahaja. Mana tidaknya, Oktober turut dijadikan bulan istimewa sempena Bulan Pencegahan Kanser Payudara.
Bagi Penerbit Eksekutif, Red Comunication Sdn Bhd, Lina Tan berjaya pulih daripada penyakit kanser payudara yang dihidapinya pada tahun 2013 merupakan satu keajaiban yang sukar digambarkan melalui kata-kata.
Menurut Lina, pengalaman melalui detik-detik bertarung dengan penyakit tersebut banyak memberi pengajaran kepadanya untuk menghargai kehidupan yang dilalui sekarang sebagai peluang kedua.
“Bercerita mengenai kanser payudara, umum sedia maklum bahawa saya merupakan salah seorang cancer survivor di mana saya disahkan menghidap kanser payudara tahap dua pada tahun 2013,” ujar Lina membuka bicara.
Kongsikan pengalaman anda ketika pertama kali doktor mengesahkan tentang penyakit ini.
“Tipu jika saya katakan saya tidak takut apabila doktor mengesahkan saya menghidapi kanser payudara tahap dua. Apabila menyebut sahaja perkataan KANSER, sudah tentu kecut-perut dan pelbagai perkara mula bermain di fikiran.
Tetapi yang perlu saya tekankan, saya bersyukur kerana kanser yang saya hadapi itu pada tahap dua. Pada tahap itu boleh dikatakan masih awal dan boleh diubati melalui cara rawatan kemoterapi dan saya mula belajar untuk kekal positif dalam menjalani kehidupan.
Apakah pengalaman paling berharga yang diperoleh daripada kejadian ini?
Pengalaman melalui detik-detik bertarung dengan penyakit tersebut banyak memberi pengajaran kepada saya untuk menghargai kehidupan yang dilalui sekarang sebagai peluang kedua. Mana tidaknya, jika dulu saya akui terlalu sibuk dengan kerja tetapi sekarang saya sangat menghargai kehidupan bersama keluarga dan menikmati hidup tanpa tekanan.
Banyak yang saya pelajari sejak empat tahun kebelakangan ini. Saya lebih menghargai kehidupan dan kini menitikberatkan soal pemakanan yang membantu mengatasi penyakit tersebut daripada terus merebak selain mengamalkan gaya hidup sihat.
Saya rasa Tuhan memberikan saya peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan saya dan bijak membahagikan masa antara kerjaya dan kehidupan peribadi termasuklah soal menjaga kesihatan dan hubungan dengan insan-insan di sekeliling saya.
Semoga perkongsian saya ini boleh dijadikan panduan untuk para pembaca NONA agar kekal positif dan menjadikan cubaan atau ujian ini untuk lebih berani dan menghadapinya dengan positif kerana penting untuk penghidap kanser hidup dalam keadaan positif dan tidak melalui tekanan.
Bagaimana anda boleh tergerak untuk membuat rawatan lanjut tentang penyakit ini?
Pada awalnya saya melakukan pemeriksaan sendiri payu dara atau PSP dan saya dapati ada benjolan pada payudara saya. Tapi saya tidak merasa sebarang kesakitan. Selepas itu saya terus membuat pemeriksaan. Saya terkejut apabila hasil pemeriksaan bersama dua doktor pakar mengesahkan saya menghidapi barah kanser payudara tahap kedua.
Berita ni memang tiba-tiba dan semasa doktor memberitahu perkara ini kepada saya, mulanya saya seperti tidak percaya dan menafikannya. Tapi mujur saya mendapat seorang doktor yang bagus. Saya percaya pada kaedah rawatan kepakaran doktor.
Mengapa anda memilih untuk menjalani rawatan kemoterapi? Tidakkah anda risau dengan kesan yang bakal menimpa?
Saya telah menjalani pembedahan membuang kanser tersebut. Sebagai rawatan susulan bagi memastikan kanser itu tidak berulang, saya memilih untuk melakukan rawatan kemoterapi. Perubahan paling ketara pada diri saya ialah sangat lemah dan hilang selera makan. Malah saya turut mengalami penurunan berat badan sebanyak 8kg. Saya memilih untuk menjalani rawatan kemoterapi walaupun saya tahu rawatan ini sangat berisiko.
Sebab rawatan ini membunuh bukan saja sel yang buruk dalam badan saya tetapi juga sel yang baik. Setiap tiga minggu sekali saya perlu jalani rawatan kemoterapi. Berat saya pernah turun sehingga menjadi 43kg berbanding dahulu 52kg. Rambut pun mengalami masalah keguguran dan saya mudah berasa penat.
Nasihat kepada para wanita di luar sana tentang bahaya kanser pembunuh nombor satu ini.
Meskipun pernah bertarung melawan penyakit itu, saya cuba menjalani rutin harian seperti biasa. Bahkan saya kini lebih peka dengan tahap kesihatan dan lebih mengamalkan cara hidup sihat. Sebelum ini memang saya amalkan cara hidup sihat. Saya bersukan, saya tidak merokok dan saya memang amalkan pemakanan sihat.
Tapi mungkin sebab saya kurang makan. Iyalah, kalau sudah sibuk dengan kerja tu memang sampai tak ingat nak makan. Dan kadang-kadang saya rasa stress disebabkan kerja. Mungkin faktor itu mendorong kepada penyakit ini.
Sekarang ni saya lebihkan makan sayur-sayuran. Saya dah kurang makan daging. Saya banyakkan minum jus. Saya dah tidur awal. Kalau dulu pukul 3 pagi baru nak tidur sebab nak siapkan kerja. Atas nasihat doktor, saya banyak berehat dan memberi perhatian yang lebih terhadap soal pemakanan, kesihatan emosi dan bersenam.
Setelah empat tahun berlawan dengan penyakit yang digeruni wanita, saya sudah sembuh dan kini masih meneruskan rawatan susulan dan menjalani kehidupan dengan lebih sistematik dan lebih mengutamakan kesihatan. Nasihat saya buat semua wanita, prihatin soal penjagaan kesihatan dan cuba kurangkan tekanan kerana ia menjadi antara penyebab penyakit ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat bersama untuk semua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Luaran nampak sihat, tapi dalaman tiada siapa yang tahu. Itulah sebabnya faktor diet dan pemakanan penting bagi menjaga kesihatan wanita, terutama sekali dalam mencegah risiko penyakit No. 1 iaitu kanser payudara.
Kanser menyerang organ manusia tanpa belas kasihan. Oleh itu, langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya adalah dengan mengambil makanan tinggi antioksidan untuk menentang radikal bebas.
Radikal bebas ini mengoksidakan sel dalam tubuh, mempengaruhi DNA dan pertumbuhan sel dalam tubuh serta akhirnya meningkatkan risiko kanser.
Kanser payudara merupakan pembunuh No. 1 wanita di seluruh dunia. Cara terbaik untuk membantu mencegahnya adalah mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan yang terbukti kaya dengan antioksidan.
Pilih makanan yang tepat untuk mencegah kanser. Antaranya tiga jenis buah-buahan ini iaitu durian belanda,buah tin dan buah delima.
(a) Durian Belanda
Buah durian belanda berwarna hijau, mempunyai kulit berduri lembut dengan isi yang berwarna putih, berperisa masam-masam manis serta tekstur lembut. Buah durian belanda ini sudah dikomersialkan dan semakin popular dijadikan jus minuman.
Buah durian belanda kaya dengan vitamin C, iaitu sekitar 20mg per 100 gram isi buahnya. Kandungan vitamin C yang tinggi menjadikan buah ini sebagai antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan tubuh.
Selain itu, durian belanda juga kaya dengan mineral, iaitu fosfor dan kalsium dengan berat masing-masing 27 dan 14mg per 100 gram. Kedua-dua mineral ini sangat penting untuk pembentukan jisim tulang sehingga elok untuk membentuk tulang kuat dan menghalang osteoporosis.
Kehebatan khasiat yang terdapat pada buah durian belanda boleh membantu menyerang sel kanser secara efektif dan semula jadi tanpa kesan sampingan. Malah ia melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah daripada jangkitan serta menambah tenaga berterusan sepanjang proses rawatan atau penyembuhan.
(b) Buah Tin
Buah tin mengandungi polifenol yang bertindak sebagai antioksidan bagi melawan sel kanser. Antioksidan amat penting untuk tubuh kerana berfungsi untuk menentang radikal bebas dalam badan yang menjadi punca kanser.
Buah tin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan antikanser iaitu benzaldehyde dan coumarins. Selain itu, buah tin juga dikenali sebagai pelancar, penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing.
Buah tin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian mendapati satu saiz hidangan buah tin (100 gram) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita.
(c) Buah Delima
Buah delima berwarna merah dan manis ini mengandungi enzim yang mampu membantu melemahkan kanser payudara dengan menghalang perkembangan estrogen.
Delima mengandungi fitokimia dan kaya dengan polifenol antioksidan. Buah delima terkenal dengan zat besi, kalsium, fosforus, vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mempunyai kadar vitamin K yang tinggi untuk membantu kesihatan tulang.
Malah vitamin B yang terdapat dalam delima boleh membantu tubuh memproses protein, karbohidrat dan lemak. Buah delima mengandungi manganese untuk membantu pembentukan struktur tulang semasa proses metabolik.
Buah delima boleh melindungi epidermis dan dermis kulit dengan membantu pertumbuhan sel kulit, menolong pembentukan semula tisu-tisu badan, penyembuhan luka-luka dan melancarkan peredaran darah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pasti anda seronok melihat watak Mindy Chen dalam drama siri popular Netflix, Emily In Paris yang dilakonkan oleh pelakon wanita berasal dari Glendale, California, Ashley Park.
Melihat raut wajahnya, pasti ramai meneka akstress tersebut berasal dari China. Tetapi telahan tersebut meleset sama sekali memandangkan pelakon berusia 29 tahun itu sebenarnya mempunyai darah keturunan Korea!
Dalam sibuk menguruskan kerjaya sebagai pelakon, Ashley Park pernah berkongsi kisah penderitaan apabila terpaksa menjalani rawatan kemoterapi akibat menghidap penyakit kanser darah atau leukemia sejak berusia 15 tahun. Ashley menderita penyakit Acute Myeloid Leukimia dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama 8 bulan.
Ashley juga merupakan salah seorang penerima hadiah istimewa dari Make-A -Wish Foundation ketika itu di mana dia dan keluarganya telah diterbangkan ke kotaraya New York untuk menonton persembahan Broadway A Chorus Line, The Lion King, Spring Awakening dan Wicked di sana.
Malah dalam salah satu temuramah dengan pihak media, Ahsley pernah berkata situasi berhadapan dengan kanser menjadi salah satu sebab dia melibatkan diri dalam bidang teater.
Malah selepas selesai menjalani beberapa rawatan kimoterapi dan kembali ke sekolah, Ashley menjadi salah seorang teraju utama di persembahan sekolah dan menjadi antara momen indah dalam hidupnya. Tidak hairanlah mengapa graduan University of Michigan pada tahun 2009 dalam bidang teater muzikal ini amat meminati bidang teater!
Ashley Park atau nama penuhnya Ashley Jini Park, 29 dipetik ,dia tidak kisah berkongsi cerita mengenai penyakitnya, Tetapi, sebagai pelakon, dia lebih selesa sekiranya para peminat lebih menghargai bakat yang dimilikinya berbanding bercerita soal pengalaman sewaktu dia melalui detik sukar tersebut.
Tidak dinafikan Ashley pernah cuba melupakan tentang bahaya dan kesan sampingan akibat rawatan kanser kerana tidak mahu perasaan negatif terus menguasai dirinya..
“Sering kali saya ditanya tentang penyakit saya, sejujurnya saya tidak kisah kerana saya tahu kepentingan dari perkongsian itu,memberi impak terhadap individu lain ” katanya.
Namun begitu, Ashley berkata dia tidak mahu dirinya diselubungi rasa takut memikirkan kesan penyakit yang berpanjangan itu kerana khuatir dirinya akan lebih lemah.Pasa 2019, Ashley pernah menerima penghargaan Cancer Support Community’Marin Mazzle Award for Empowerment di atas sumbangannya dalam menyampaikan mesej mengenai kanser. Lebih istimewa, dia merasakan penyakit itu menjadi pendorong dia untuk menjadi lebih yakin dan berani.
“Untuk terus ke depan, hidup ini perlu fikir tentang diri sendiri, bagaimana nak menjadi lebih baik, perwatakan yang digemari, penampilan yang ditonjolkan dan jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam diri, kita perlu cari jalan bagaimana untuk mengatasinya bukannya terus jatuh,” katanya.
SUMBER: Daily Mail
Foto:@ashleyparklady
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...