Selalu Dengar Tapi Tak Pernah Buat, Ini Yang Perlu Anda Ketahui Bila Jalani Mammogram Buat Pertama Kali

Setiap wanita disarankan untuk menjalani pemeriksaan mammogram secara teratur bagi mengesan risiko penyakit payudara seperti kanser daripada awal.

Namun sikap segelintir orang yang suka menakut-nakutkan, seperti mammogram itu sakit atau radiasinya punca kanser, sering menjadi alasan wanita lain menunda ujian pertama mereka.

Tenang. Jika anda tertanya-tanya bagaimana prosedur yang bakal dijalankan, berikut adalah hal-hal penting yang perlu diketahui tentang mammogram.

(1) Wanita hamil atau menyusukan anak dilarang membuat ujian

Sebelum menjalani mammogram pertama, pastikan anda telah memaklumkan pada doktor jika sedang hamil atau menyusukan anak.

Mammogram tidak seharusnya dilakukan pada anda. Doktor akan menyarankan teknik ujian lain seperti ultrabunyi.

(2) Lakukan seminggu selepas menstruasi

Jika diminta untuk menjadualkan ujian ini, pilih waktu ketika payudara anda tidak membengkak atau mengeras bagi mengurangkan rasa sakit dan mendapatkan hasil imbasan yang berkualiti.

Sebaik-baiknya, cuba hindari ujian seminggu sebelum atau selepas menstruasi anda.

(3) Jangan pakai deodoran, pewangi, bedak atau losen

Sebelum berangkat untuk ujian, jangan memakai sebarang deodoran, bedak, losen, krim atau pewangi di bahagian ketiak dan di sekitar payudara.

Kandungan bahan kimia atau logam yang terkandung dalam produk-produk ini akan menghasilkan imej tompokan kalsium pada gambar imbasan mammogram anda.

(4) Anda perlu menanggalkan baju dari bahagian pinggang ke atas

Ya, anda perlu membuka pakaian termasuk bra untuk mendapatkan gambar imbasan yang jelas. Lebih mudah jika anda memakai seluar panjang atau skirt kerana bahagian atas hanya akan ditutup dengan gaun hospital.

Cuba bertenang kerana sewaktu sesi mammogram berlangsung, hanya ada anda dan seorang jururawat wanita di dalam bilik tersebut.

(5) Payudara akan dilihat oleh jururawat

Mammogram adalah ujian pemeriksaan dada. Ini bermakna, anda bakal berada dalam situasi di mana payudara anda akan dilihat oleh jururawat selama menjalaninya,

Payudara seterusnya akan ditempatkan di atas plat besi yang terpasang di mesin mammogram. Sewaktu imbasan dibuat kira-kira 10 saat, plat ini akan diturunkan sebanyak dua kali iaitu dari atas ke bawah dan dari sisi ke sisi.

Cengkaman plat besi pada payudara seharusnya tidak bergerak bagi menghindari gambar kabur. Anda mungkin juga perlu menahan nafas setiap kali imej dirakamkan.

(6) Sakit untuk sebentar

Mungkin sewaktu payudara ditekan, anda berasa tidak selesa atau menyakitkan. Sebenarnya tujuan ia ditekan adalah untuk meratakan jaringan payudara hingga setipis mungkin untuk mendapatkan gambar yang jelas.

Maklumkan jika anda kesakitan. Pertimbangkan juga untuk mengambil aspirin, ibuprofen atau paracetamol sekitar satu jam sebelum mammogram bagi mengurangi rasa sakit.

(7) Sesi hanya mengambil masa yang singkat

Biasanya sesi mammogram hanya mengambil masa 20 – 30 minit sahaja. Anda boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa selepas sesi berakhir.

Namun jjika perlu, prosedur yang sama boleh diulang untuk mendapatkan gambar tambahan jika hasilnya kurang jelas atau meragukan. Jangan pelik, ini adalah perkara yang umum terjadi.

(8) Benarkah wujud radiasi dari ujian mammogram?

Mammogram hanya menggunakan sinar-X berdos rendah untuk mengambil gambar imbasan terperinci daripada jaringan payudara.

Setiap paparan radiasi datang dengan risiko kecil tapi ia jauh lebih rendah daripada risiko tidak melakukan ujian langsung.

(9) Keputusan boleh diketahui segera

Sekitar 96 daripada 100 wanita yang diuji mendapat keputusan yang normal. Namun jika anda tidak mengetahui keputusan dalam tempoh beberapa hari, hubungi tempat mammogram anda dilakukan.

Biasanya laporan lengkap dari hasil mammogram tersebut akan dihantar kepada doktor anda dalam masa 30 hari, atau secepat mungkin jika hasil mendapati kewujudan kanser. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina