Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menitipkan ucapan penghargaan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dijadualkan bersara wajib Jumaat ini, selepas 35 tahun menabur khidmat dan bakti dalam bidangnya.
Ahli Parlimen Sekijang itu menyifatkan tempoh pengalaman Dr Noor Hisham amat bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia supaya setanding dengan negara luar.
“Saya percaya khidmat Tan Sri tidak terhenti di sini, bahkan khidmat terbabit masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.
Banyak penglibatan dan pencapaian YBhg. Tan Sri sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global, menunjukkan 35 tahun perkhidmatan yang begitu bermakna dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia agar setanding dengan negara luar,” jelasnya menerusi hantaran di Instagramnya.
“Saya mewakili pihak Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan yang beliau sumbangkan sepanjang perkhidmatan di Kementerian ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dr Noor Hisham dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus Covid-19. Mula menjawat sebagai Ketua Pengarah sejak 2013 dan sepanjang tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlangnya, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19.
Sumber: Berita Harian
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Disahkan Menghidap Kanser Tahap Ke-4 Sebelum Konvokesyen, DR ANIS MARDIANA Berjaya Genggam PhD!
Usaha tangga kejayaan! Biarpun menghidap kanser kolon atau usus tahap empat sejak dua minggu lepas, ia bukan halangan buat Dr Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Anis Mardiana, 45, yang dikhabarkan tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, tetap mengagahkan diri berdiri ketika menerima skrol PhD dalam bidang pengangkutan dan logistik daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Penerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) itu berkata, dia enggan menggunakan kerusi roda kerana tidak mahu menyusahkan orang lain malah masih merasakan mampu berdiri walaupun dalam tempoh sekejap. “Saya tidak sangka dapat anugerah ini (dalam keadaan kesihatan tidak menentu). Alhamdulillah segalanya berjalan lancar (konvoksyen).
“Semasa sambung belajar, tiada simptom teruk, ada sikit-sikit termasuk tangan menggeletar bila menulis… saya ingat stres belajar tetapi sekarang ini baru saya tahu keadaan kesihatan saya agak teruk.
“Selepas tamat belajar, saya buat pemeriksaan..doktor sahkan kanser tiroid. Saya ingat setakat itu saja tetapi keadaan kesihatan masih tidak baik, jadi dua minggu lalu selepas buat pemeriksaan, saya didiagnosis kanser kolon tahap empat,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen itu, hari ini.
Katanya, dia akan meneruskan rawatan dan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, minggu depan. Mengulas mengenai pengajiannya pula katanya, pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Kewangan amat membantunya, begitu juga sokongan keluarga terutama suami dan anak tunggalnya.
“Kepada adik-adik yang sedang meneruskan pengajian PhD, jangan putus asa. Mungkin ramai beranggapan apabila membuat PhD ini umpama ‘lonely journey’.
“Sebenarnya adalah mudah apabila kita mencari kawan dan baik dengan penyelia kita dalam menyelesaikan tugasan,” katanya.
Sumber: Harian Metro dan Berita Al Hijrah
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Fenomena Wanita Besi, Program Pencarian Nona Superwoman Bakal Perkasakan Usahawan Wanita, Cetus Inspirasi!
Selepas tercetusnya fenomena majlis ‘Nona Superwoman Award’ yang mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang anjuran Majalah Nona pada tahun 2018 dan 2020, buat julung kalinya kesinambungan misi pencarian untuk memperkasakan kaum Hawa kini dikembangkan serta diangkat sebagai program realiti TV.
Program Pencarian Nona Superwoman ialah sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Ia sekaligus memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.
Musim pertama Pencarian Nona Superwoman menyaksikan kerjasama strategik di antara pihak Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan saluran Astro Prima selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi.
PENGIKTIRAFAN
Mengulas lanjut mengenai penganjuran program Pencarian Nona Superwoman, Norzeha
Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima berkata,
“Sumbangan besar kaum wanita kepada pembangunan dan ekonomi negara tidak dapat disangkal dan sememangnya telah lama diiktiraf.
Seperti yang kita dapat lihat, penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan pada hari ini juga sudah semakin meluas, bahkan banyak bidang perniagaan kini didominasi oleh kaum Hawa.
Selaku penganjur bersama, Astro menyambut baik inisiatif penerbitan program Pencarian Nona Superwoman kerana wanita juga wajar diberikan peluang dan sokongan terutamanya sewaktu era pandemik yang serba mencabar dan kompetitif ini.
Semoga penganjuran Pencarian Nona Superwoman dapat mengukuhkan lagi pengaruh jenama Nona sebagai sebuah platform pencarian komersial dan segala perkongsian dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di luar sana.”
“Program realiti ini memberi peluang kepada usahawan B40 dan M40 yang terjejas pandemik untuk berkembang, menambah ilmu niaga dan merebut hadiah lumayan yang ditawarkan.
Ini adalah platform terbaik untuk para usahawan wanita yang diserap sebagai peserta untuk terus melebarkan empayar mereka. Dalam setiap episod, para peserta dan penonton dapat belajar melalui pelbagai cabaran, dorongan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan,” ujar Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak.
SAMBUTAN
Seramai 250 calon peserta telah menghadiri sesi uji bakat yang dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian pada bulan Mei lalu. Penyertaan terbuka kepada golongan usahawan wanita kumpulan B40 dan M40 yang berusia di antara 25 ke 45 tahun.
Calon peserta juga perlu mempunyai perniagaan sendiri sama ada sepenuh atau separuh masa. Daripada jumlah tersebut, seramai 12 finalis terbaik telah berjaya terpilih untuk menyertai musim pertama.
12 finalis Pencarian Nona Superwoman yang terpilih untuk menyertai musim pertama ialah SYU RAMLI (33, Melaka), FAZSFAOZI (35, Perak), LINDA ROOS (36, Kuala Lumpur), ANA NAJIA (26, Perak), RINA HASHIM (35, Kelantan), AYU OMAR (28, Kuala Lumpur), SYAMIMI KHALIL (32, Kelantan), JIEJIE (26, Sabah), AYDA AZLAN (30, Kelantan), EMMA BEE (37, Selangor), SARAH ISMAIL (34, Kuala Lumpur) dan FAZLIA AKMA (37, Kuala Lumpur).
Nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri profesional. Mereka akan dinilai mengikut kriteria utama termasuklah elemen keyakinan diri, kebijaksanaan, keluasan pengetahuan am, kreativiti, personaliti dan karisma yang menarik.
Selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan yang juga merupakan penerima anugerah ‘Nona Best Strategic Business Thinker’ di Nona Superwoman Award 2020 telah diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab selaku juri tetap yang bakal mengadili pencarian Pencarian Nona Superwoman musim pertama.
Selain daripada mereka, barisan personaliti popular juga bakal diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu sebagai juri jemputan.
BARISAN PESERTA
Rancangan program Pencarian Nona Superwoman akan bersiaran secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.
Program berbentuk kapsul berjudul Profil Peserta Pencarian Nona Superwoman menerusi paparan 12 buah episod akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 5.55 petang mulai 6 September 2021.
Program utama Pencarian Nona Superwoman pula bakal bersiaran selama lapan episod pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 22 September 2021.
Juara akan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi. Manakala peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.
Program Pencarian Nona Superwoman turut diperkasakan oleh USANITA selaku penaja
utama. Misi USANITA dilihat selari dengan objektif Majalah Nona dalam memperkasakan
ekonomi wanita Malaysia.
“Kami Bertugas Tanpa Full Protection Macam Frontliners Lain” Puteri Dedah Pengorbanan Pramugari Hadapi COVID-19
Selain golongan frontliners di darat, satu lagi kerjaya saf depan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 adalah krew udara. Tugas pramugari atau anak kapal yang terdedah dengan beratus-ratus penumpang dalam persekitaran kompak, sebenarnya cukup berisiko tinggi lebih-lebih lagi tanpa pakaian perlindungan yang sesuai.
Pengalaman Puteri Erma Edlinda atau Puteri, isteri kepada bintang Akademi Fantasia 7 Aril Pilus ini jelas menceritakan situasi yang mereka alami. Puteri telah berkhidmat sebagai anak kapal selama 10 tahun dan kini bertugas untuk sebuah syarikat penerbangan di Malaysia.
Menceritakan pengalaman terakhirnya sebelum diarah bercuti, Puteri, 34 tahun, telah berlepas ke Hong Kong dan kembali semula pada 30 Mac lalu. “Memang industri penerbangan banyak berubah. Penerbangan-penerbangan dibatalkan dan yang beroperasi cuma 10% saja. Kebanyakan negara menutup pintu sempadan mereka dan jumlah penumpang pun menurun akibat wabak COVID-19.
Bulan ni sepatutnya saya berlepas ke Dhaka dan Taipei, tapi tak jadi. Sekarang saya dan anak kapal lain cuma on standby menunggu arahan. Kali terakhir di KLIA, suasana sangat lengang dan suram. Semua kedai bebas cukai ditutup dan beratus-ratus kapal tersadai di luar.
Saya ada post di IG Story, rakaman video waktu kami meninggalkan airport Hong Kong. Bayangkan airport yang sangat besar tapi landasan mereka penuh dengan kapal. Bersusun-susun di sepanjang runway, terlalu banyak nak dihitung. Itulah petanda yang sangat merisaukan saya.
Tawakal
Sebagai anak kapal, sudah tentu saya risau setiap kali keluar bertugas. Dari pintu KL Sentral lagi, saya dah jumpa orang dari pelbagai tempat then di KLIA, jumpa orang dari pelbagai negara sampailah naik kapal dan tiba ke destinasi.
Macam-macam perasaan ada bila nak melangkah keluar. Kadang saya rasa, ‘Ya Tuhan, ini tak selamat untuk aku. Aku ada keluarga, ada suami, ada anak kecil.’ Tapi kerana tugas, saya terpaksa lawan kerisauan tu walaupun suami selalu susah hati bila saya ke luar negara.
Anak-anak kapal ni frontliners juga sebab tugas kami sangat dekat dengan penumpang. Pekerjaan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 dan bayangkan kami bekerja tanpa full protection seperti frontliners lain di hospital.
Tanpa sut perlindungan diri, apa yang kami mampu buat hanyalah pakai topeng hidung dan mulut, guna hand sanitizer, sarung tangan dan kerap basuh tangan. Walaupun sebolehnya we try to distant ourselves, tapi dalam kapal yang kecil tu tetap akan dekat juga dengan penumpang.
Ragam Penumpang
Bagi saya semua orang mencurigakan. Walaupun sesama anak kapal sendiri pun saya kurang percaya. Pernah satu hari, saya dapat panggilan dari ibu pejabat bertanyakan kesihatan saya. Ada batuk atau sesak nafas ke. Saya jawab sihat dan mereka nasihatkan supaya ke hospital kalau ada simptom. Terkejut sangat sebab dalam flight saya tu rupanya ada satu kes penumpang disahkan positif COVID-19.
Sebenarnya kami sendiri pun susah hati. Dari dalam briefing room lagi, kami dah amalkan social distancing, elak bersalaman sesama krew dan duduk berjauhan. Kita tak tahu sesama kami sendiri sudah ke negara mana dan jumpa siapa. Mungkin kita tak ada simptom tapi virus tu ada dalam badan. Semua orang faham keadaan ni dan kami tak ambil hati kalau ada rakan sekerja buat benda yang sama.
Waktu wabak merebak, penumpang pun ada bermacam ragam ketika naik kapal. Ada yang lengkap full equipment, pakai rain coat, face shield, topi full face, mask. Ada juga yang bawa plastik untuk lapik apa yang patut dan risau nak duduk sebelah-menyebelah dengan penumpang lain.
Satu lagi, bukan senang nak kesan penumpang yang sakit. Dalam kapal yang dinaiki beratus-ratus penumpang, susah untuk kesan siapa yang kurang sihat, demam atau batuk. Kadang mereka batuk perlahan-lahan supaya orang tak dengar.
Sebagai anak kapal, kami mesti buat laporan dan maklumkan pihak airport untuk tindakan kalau ada penumpang yang sakit. Kapal mungkin dikuarantin sementara agar saringan dapat dijalankan. Ini bagi mencegah dan mengawal pandemik agar tidak menular ke destinasi tersebut.
Sewaktu bertugas dalam flight, saya pakai topeng muka dan hidung sepanjang masa, selalu basuh tangan dengan sabun, pakai hand sanitizer, sembur sanitizer spray pada baju, kasut dan beg-beg. Seboleh-bolehnya saya elakkan dari menyentuh apa-apa permukaan dari awal lagi.
Balik dari bertugas, saya dah maklumkan pada keluarga, kita jangan jumpa dulu. Bagi saya jemur beg-beg kerja, handbag dan trolley bag semua di balkoni untuk 8 ke 12 jam. Lepas tu terus masuk bilik air dengan uniform dan segala benda yang dipakai, rendam dalam air panas dan gunakan sabun pembasmi kuman.
Selepas mandi dan bersyampu bersih-bersih, beberapa jam kemudian barulah saya yakin untuk jumpa suami dan anak. Punyalah lama nak dapat peluk dan cium mereka. Tapi demi kesihatan dan keselamatan semua, itulah yang terbaik bagi petugas frontliners macam kami ni.
Sekarang saya cuma duduk di rumah kerana telah diminta untuk bercuti oleh majikan (force leave). Cuti saya banyak belum berguna dan syukurlah, gaji masih berjalan. Inilah waktu terbaik untuk luangkan masa dengan suami dan anak di rumah. Sambil tu saya cuba tambah amalan, solat berjemaah dan mengaji, yang mana sebelum ni mungkin tak sempat dibuat kerana sibuk bekerja.
Tip Puteri
- Bila basuh tangan, nyanyi lagu Happy Birthday dua kali.
- Sambil nyanyi, saya ikut rules yang sepatutnya, cuci 20 saat dan sental kuku-kuku.
- Pakai hand sanitizer dengan kadar 70% alkohol.
- Jangan sentuh mata, hidung, mulut atau telinga kerana virus masuk melalui rongga-rongga badan kita.