Alhamdulillah, tahniah buat Dato’ Jamal Abdillah dan isteri Datin Zai Izatti yang selamat timang cahaya mata baharu. Berita kelahiran anak ketiga buat Datin Zai dan zuriat kelima bagi Raja Pop tanah air ini diumumkan menerusi platform media sosial milik pasangan berkenaan.
Proses kelahiran anak Dato’ Jamal dan Datin Zai kali ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Sebelum ini Dato’ Jamal mendedahkan isteri tercintanya bakal melahirkan bayi mereka pada tarikh 22 Februari 2022 memandangkan bersalin secara pembedahan dan berpeluang memilih tarikh tersebut.
Malah, Dato’ Jamal juga sudah mempunyai nama untuk bayi lelaki ini iaitu Iskandar Rayyan Yamani.
Syukur, semuanya dipermudahkan dan menerusi video yang dimuat naik kelihatan penyanyi lagenda negara ini melaungkan azan sebaik bayi dilahirkan.
Kongsi mereka, “Rabbanaghfirlanaa wa liikhwaninnalladziina sabaquunaa bilimaani wa laa taj’alfii quluubinaa ghilaa lilladziina amanuu rabbannaa innaka raufurrookhiimun.
Artinya: “Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara kami yang telah mendahului kami dengan membawa iman, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sungguh Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
Assalammualaikum.. Alhamdullilah telah lahir anak lelaki saya. Mohon doa semoga menjadi anak yg soleh. Amin …
Alhamdulilllah, selesai sudah. Gementar sehinggakan azan pun tersasul. Terima kasih semua.”
Dato’ Jamal mendirikan rumah tangga bersama Datin Zai Izatti pada April 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani.
Dato’ Jamal juga mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani.
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti
This website uses cookies.