Diam tak diam, hari ini genap setahun usia putera kesayangan Mira Filzah, Wan Khair Amir yang lahir pada 10 Mei 2022. Dilahirkan pada 9 Syawal tahun lalu, sudah semestinya Aidilfitri tahun ini bertambah meriah buat Mira Filzah dan suaminya, Wan Emir Astar yang meraikan Syawal dengan keletah anak tersayang.
“Selamat Ulang Tahun Pertama Anak Mama”. Posting Mira Filzah di Insta Story miliknya hari ini mengucapkan selamat hari lahir buat putera kesayangannya itu. Menyingkap mengenai makna di sebalik nama putera Mira Filzah itu, ‘Khair’ membawa maksud ‘baik’ atau ‘elok’ yang diambil daripada nama arwah bapa mentuanya, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar.
Sebagai ibu bapa, sudah semestinya pasangan ini mendoakan kesejahteraan hidup buat anak kesayangan mereka. Mira dan juga Emir turut berharap agar cahaya mata mereka dapat membesar dan menjalani kehidupan yang baik di dunia serta menjadi anak yang soleh.
Menyambut ulang tahun dalam bulan Syawal, sudah semestinya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman untuk bersama keluarga tersayang. Mira mengambil cuti dua bulan daripada sebarang aktiviti seni bagi meraikan Syawal.
“Ini Syawal pertama saya raikan bersama anak. Pada Hari Raya tahun lalu, saya masih mengandung. Jadi, tahun ini saya lebih teruja beraya dengan anak.
“Saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga. Ramadan lalu, jadual penggambaran saya sangat padat. Saya habiskan penggambaran drama selama dua bulan. Jadi, kesempatan Syawal ini saya ingin berehat seketika.
Saya dan suami merancang membawa anak kami bersiar-siar. Insya-Allah, kami pergi selepas Aidilfitri,” ujar Mira lagi.
Mira bernikah dengan Wan Emir pada 3 September 2020. Permata hati mereka, Wan Khair Amir dilahirkan pada 10 Mei tahun lalu.
This website uses cookies.