Nama selebriti Ashraf Muslim merupakan antara yang terawal dijangkiti virus COVID-19 iaitu sekitar Mei tahun lepas. Sebagai ‘COVID Fighter’, beliau banyak berkongsi hikmah di sebalik ujian tersebut. Pengalaman itu turut mendorong beliau memperbanyakkan amalan sedekah, antaranya menerusi misi kemanusiaan anjuran Islamic Relief Malaysia ini.
Dalam situasi semasa yang menguji penduduk dunia seluruhnya, Islamic Relief Malaysia bersama barisan Ikon Kemanusiaan saling berusaha keras menjalankan kempen dan aktiviti pengumpulan dana untuk meringankan beban mereka yang terjejas.
“Sebagai salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, saya anggap usaha menyebarkan semangat kemanusiaan dan inisiatif mengajak masyarakat melakukan kerja kebaikan merupakan tanggungjawab saya sebagai selebriti.
Saya berharap dengan inisiatif yang dilakukan ini, para peminat dan follower saya juga boleh turut serta menjalankan perkara kebaikan untuk manfaat dunia sejagat.
Islam juga menggalakkan kita untuk saling bantu-membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Pendekatan memberi manfaat itu tidak kira dalam apa jua bentuk pertolongan dan bantuan yang dihulurkan asalkan ia mendatangkan kebaikan kepada si penerima.
Mungkin dengan sekecil-kecil sumbangan yang kita hulurkan hari ini sebenarnya dapat memberi impak besar dalam hidup seseorang, siapa tahu,” kata Ashraf Muslim yang merupakan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
Meskipun padat dengan jadual penggambaran dan tugasan lain, Ashraf tetap berusaha untuk menjayakan kempen ini selain berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat untuk pesakit COVID-19.
Menurut Ashraf, tiada siapa yang meminta untuk diduga positif COVID-19. Justeru, dia menasihati masyarakat sekeliling agar memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang dikenali serta mengelakkan insiden-insiden kecaman berlaku.
Tambahnya, ujian ini adalah takdir yang telah ditetapkan Allah dan kita sebagai hamba perlu sabar, reda serta tabah mengharunginya.
Ashraf Muslim dan kumpulan nasyid Saujana telah mengambil langkah proaktif mengumpul dana dengan melancarkan kempen COVID-19 Emergency Appeal secara atas talian di platform crowdfunding Launchgood.
KONGSI REZEKI
Pelbagai luahan diterima dan terlalu banyak kisah sedih yang dikongsi. Ibu bapa runsing dengan komitmen kewangan juga perbelanjaan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup. Anak-anak pula menghitung hari untuk kembali ke sekolah persekolahan bagi menjalani pembelajaran secara fizikal seperti dahulu.
“Memandangkan kita semua terkesan, jadi sama-samalah kita berkongsi rezeki yang ada. Peka dan prihatinlah dengan orang-orang di sekeliling kita dan cubalah bantu semampunya.
Jika tidak mampu membantu dari sudut wang ringgit, bantulah dengan memberi sokongan moral atau lebih mudah bantulah kami sebarkan maklumat berkenaan kempen ini,” kata Suffian Amrin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
“Jika ada yang sering melemparkan persepsi juga kata-kata bahawa NGO di Malaysia banyak membantu penerima manfaat di luar negara, jadi dengan adanya kempen COVID-19 Emergency Appeal ini dapat mengubah pandangan mereka.
Islamic Relief Malaysia khususnya sentiasa berusaha membantu mereka yang memerlukan tanpa mengenepikan keperluan bantuan masyarakat kita sendiri.
Jadi, bantu kami dengan menyokong kempen ini kerana sedekah itu bukan amalan orang kaya sahaja tetapi ianya ibadah yang mampu menjemput rezeki menjadi melimpah ruah,” akhiri Azalinor Abdul Rahman, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.