Saat penduduk China dan dunia amnya bimbang dengan penyebaran wabak coronavirus, pasangan suami isteri yang juga selebriti ternama China iaitu Angelababy dan Huang Xiaoming tanpa berlengah menghulurkan sumbangan semampu mereka bagi mengekang virus tersebut terus dijangkiti ramai. Khabarnya, bantuan yang diberikan mereka bukan sedikit… sebaliknya melibatkan sejumlah wang yang besar iaitu 200,000 yuan atau bersamaan RM117,700!
Wang derma berkenaan adalah sebagai bantuan membeli surgical mask untuk diagihkan kepada petugas perubatan di Wuhan yang ketika ini diserang wabak coronavirus atau 2019-nCoV. Walaupun tidak menguar-uarkan bantuan mereka kepada umum namun usaha murni Angelababy dan Huang diketahui ramai apabila China Siyuan Project Poverty Alleviation Foundation yang menerima wang derma tersebut mendedahkan sumbangan pasangan selebriti ini menerusi platform Weibo.
Sebaik menyedari post yang dibuat yayasan itu, Huang lantas menyatakan penghargaannya terhadap petugas perubatan di Wuhan yang sanggup bergadai nyawa demi merawat mangsa terlibat. Katanya, “Semua staf perubatan ini adalah hero kami.”
Angelababy dan Huang antara beberapa selebriti China yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap situasi yang sedang melanda bandar Hubei di Wuhan. Pasangan romantis
ini pernah menarik perhatian dunia apabila mencipta sejarah perkahwinan termahal di negara tembok besar itu dengan kos majlis resepsi mencecah tidak kurang USD31 juta!
Malah, cincin perkahwinan Angelababy sahaja dianggarkan bernilai lebih USD1.5juta. Walaupun perkahwinan mereka berlangsung pada tahun 2015 namun ia masih diperkatakan hingga ke hari ini kerana diadakan dengan penuh gilang-gemilang.
Selain Angelababy dan suami, seorang lagi aktor popular Hong Kong turut mendapat perhatian peminat di seluruh dunia apabila Louis Koo mendermakan wang sebanyak RM5.85 juta kepada Wuhan Benevolent General Association untuk membeli segala keperluan perubatan di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, beberapa media tempatan di China turut memaklumkan hospital di Wuhan mengalami kekurangan bekalan surgical mask dan sut keselamatan hingga mencetuskan kebimbangan khususnya dalam kalangan petugas perubatan di sana yang terdedah risiko jangkitan semasa merawat pesakit yang terkena coronavirus.
Sumber: Malay Mail
This website uses cookies.