
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu pengumuman tergempar. Memetik laporan portal The Guardian, perkara mengejutkan itu diumumkan menerusi mesyuarat kaukus tahunan parti pada Khamis. Jelasnya, pengumuman tersebut menyusul selepas Ardern merasakan sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri kerana tiada keupayaan lagi untuk menjalankan tugas itu.

Ujarnya, jawatan yang disandangnya itu datang dengan tanggungjawab yang berat. “Saya meletak jawatan kerana tugas ini memerlukan tanggungjawab, iaitu mengetahui adakah saya orang yang tepat untuk mempimpin dan menyedari bila masanya untuk berundur.
“Saya tahu apa yang diperlukan dalam menggalas jawatan ini. Dan saya tahu saya tiada lagi keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab tersebut. Ia semudah itu,” ujarnya. Susulan pengumuman itu Ardern menghubungi tunangnya Clarke Gayford bagi mengajaknya berkahwin. “Mari kita berkahwin akhirnya,” tulisnya.

Ardern meletak jawatan pada usia 42 tahun, selepas lima tahun lebih memegang jawatan tertinggi negara itu. Sebelum ini beliau menjadi pemimpin kerajaan wanita termuda di dunia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2017 pada usia 37 tahun.
Pentadbirannya turut menyaksikan kepimpinannya semasa menempuh pandemik COVID-19, beberapa bencana dan tragedi besar seperti kejadian serangan masjid di Christchurch dan letusan gunung berapi White Island. Untuk rekod, tempoh jawatan yang disandangnya itu akan berakhir selewat-lewatnya 7 Februari.
Kredit foto: Mark Baker/AP/Shutterstock | Sumber: ASTRO Awani
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang Yang Pemalu & Cemerkap, Ini Sisi Lain Anda Patut Tahu Tentang FARAH ANN ABDUL HADI

Nama Farah Ann Abdul Hadi, 23, sekali lagi meniti bibir rakyat Malaysia. Kemenangannya meraih pingat emas dalam acara gimnastik kategori senam lantai wanita dalam temasya Sukan SEA 2017 hari ini cukup membanggakan negara.
Bukan hanya dikenali kerana kelincahan aksi di gelanggang tetapi gadis kelahiran Subang Jaya ini juga mempunyai seraut wajah manis yang sentiasa menjadi tumpuan penggemar sukan gimnastik tanah air.
Buat pengetahuan anda, Farah Ann dan adik-beradiknya telah diberi pendedahan sukan sejak kecil lagi oleh ibu bapanya, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon.
Memandangkan kedua ibu bapanya juga datang dari latar belakang yang sama, mereka berhasrat untuk menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.
“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi.
Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina sekarang merupakan atlet renang berirama negara.

Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” kata Farah Ann.
Kenapa gimnastik… “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.”
Kemenangan Farah Ann dalam temasya Sukan SEA 2015 di Singapura turut menjadi kenangan manis buatnya. Katanya, paling membanggakan tentulah melihat ayahnya sendiri yang merupakan pengurus pasukan pada masa itu.

“Tapi selain itu, kemenangan tahun ini melakar kenangan yang paling istimewa berbanding di tempat lain sebab emas ni saya dapat di Malaysia dan untuk negara kita.”
Tentang kenangan pahit? “Saya pernah mengalami kecederaan di bahu dan tulang belakang sewaktu menjalani latihan gimnastik. Ia memerlukan jangka masa lama untuk pulih sehingga menyebabkan saya terlantar di hospital hampir dua minggu serta terpaksa berehat di atas katil selama sebulan.”
Akui Farah Ann lagi, ada dua sisi lain tentang dirinya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya saya seorang yang pemalu dan clumsy,” katanya sambil tersenyum.
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.
Tip Kecantikan Farah Ann
- Minum air kosong secukupnya.
- Amalkan diet sihat dan seimbang.
- Jangan malas untuk bersenam untuk kekal awet muda. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Bila Ramadan Bertandang… Kelibat Babah Paling Dirindu” Anak Bongsu AZMIL MUSTAPHA

Siapa yang tidak kenal dengan figura yang bernama Azmil Mustapha. Suatu nama yang kekal harum sebagai anak seni tiada galang ganti. Terkenal dengan watak nakal dalam filem Ali Setan dan berubah 360 darjah setelah mendapat hidayah dari Allah SWT. Dijemput Ilahi pada usia 65 tahun, 14 Februari lalu, kehilangan lelaki ini benar-benar memberi kesan kepada ahli keluarganya terutama anak bongsunya, Alya Iman.

Alya Iman, mungkin nama yang agak asing bagi peminat industri seni tanah air tetapi begitu popular di kalangan pengusaha butik Muslimah tempatan. Memiliki rupa paras yang menarik dengan ketinggian 170cm membuat dirinya sering menjadi pilihan sebagai model peragaan butik Muslimah.
Baru berusia 17 tahun tetapi apabila berada di sisinya, nyata kematangan dirinya jelas terpancar. Alya merupakan anak yang paling rapat dan paling manja dengan ayahanda tercinta, Haji Azmil Mustapha. Gadis cekal ini tidak mahu menghapuskan setiap momen indah yang tercipta bersama insan tersayang yang digelar Babah.
“Saya adalah antara anak yang paling terasa dengan kehilangan beliau. Setiap pagi Babah adalah orang yang paling sibuk akan mengejut saya untuk bangun sahur dan menyediakan juadah bersahur. Begitu juga ketika berbuka puasa. Kalau dia tak rajin nak masak kami akan keluar ke pasar Ramadan membeli juadah berbuka. Air jus mangga adalah antara kegemaran beliau, begitu juga dengan ikan bakar,” tutur Alya sambil menyeka mata yang berkaca.

Alya beruntung kerana merupakan orang terakhir dipandang oleh bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir. “Hari terakhir berjumpa adalah ketika pagi sebelum arwah pergi buat selamanya. Babah kejut saya untuk bangun solat subuh. Kerana terlalu mengantuk saya tidur kembali selepas solat subuh.
Kemudian saya nak tumpang mandi dalam bilik air Babah, lalu saya kejut dia tanya nak makan apa. Lepas tu dia bangun dan jawab, lepas ni Babah akan pergi beli makanan. Kemudian saya masuk bilik mandi dan lepas mandi keluar tengok kenapa Babah tak bergerak macam lain macam jer. Saya kejut namun Babah tak bergerak juga lantas meninggalkan kami buat selama-lamanya,” tutur Alya sambil mengelap pipi yang basah.

Walaupun masih muda tetapi gadis yang ramah ini begitu bertanggungjawab menjaga ayahnya yang sering sakit sebelum dijemput Ilahi. Sukar dilihat nilai jati diri anak muda sepertinya ketika ini. “Seminggu sebelum Babah meninggal dunia, arwah minta saya mandikan dia kerana tangan dah tak sampai nak gosok belakang badan. Tiba-tiba masa sedang mandikan dia, dia menangis. Dia cakap rindukan anak-anak dia. Selalunya saya ada di rumah dengan dia tetapi sejak akhir-akhir ada banyak job yang terpaksa saya penuhi.
Babah cakap dia rindu saya dan terus menangis. Saya adalah orang yang paling rapat dengan Babah. Kalau sakit memang saya yang akan teman di hospital. Mandi, masak dan bangun malam memang saya yang jaga. Walaupun masih lagi muda semangat bekerja saya hanya untuk Babah. Saya sanggup berhabis untuk menggembirakannya.
Saya suka melayan Babah makan mengikut keinginannya. Babah suka makan sushi, kami akan keluar berdua makan sushi bersama-masa. Benda yang paling buat babah happy sebelum babah meninggal apabila saya dapat tukar cadarnya yang telah usang. Katil dia dah keras jadi saya sendiri rasa tak selesa. Saya banyak berhabis beli tilam baru, alas tilam baru, bantal baru, dan sarung bantal. Walau hanya seminggu babah dapat menikmati hasil titik peluh saya bekerja namun saya tidak berasa ralat,” ujar Alya.

“Namun, saya cuma terkilan kerana tidak dapat membawa Babah bercuti seperti yang pernah saya janjikan. Saya sudah mengumpul dunia hasil memperagakan pakaian Muslimah dan mahu membawa arwah bercuti bersama selepas raya nanti. Tiada rezeki untuk saya bercuti bersama arwah babah buat kali terakhir,” ungkap gadis yang bersemangat tinggi mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Raja Permaisuri Agong Simpan Semua Surat Cinta Yang Dikirim Oleh Yang di-Pertuan Agong

Pertabalan Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah suatu momen yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata.
Istiadat yang bakal berlangsung esok turut menyaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal menemani Yang di-Pertuan Agong duduk di atas singgahsana.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan pertabalan tersebut seolah-olah bersanding balik selepas 33 tahun. Pasangan diraja ini juga sering mendapat perhatian rakyat dan menyifatkan baginda berdua sebagai pasangan romantik.

“Dalam mana-mana perkahwinan, kita kena jadi kawan yang baik. Mesti boleh berkomunikasi. Itulah Tuanku dan saya,” titahnya.
Mengimbas kembali perkahwinannya yang disifatkan separa diatur, Tuanku Azizah bertitah pertemuan pertama berlaku di padang polo di Johor ketika usianya 12 tahun dan Sultan Abdullah pula berusia 13 tahun.

Selama 13 tahun berkawan dan bercinta, hanya surat, aerogram dan telefon yang menjadi penghubung setiap minggu. Istimewanya, semua surat itu masih tersimpan rapi sebagai kenangan berharga percintaan jarak jauh baginda berdua.

“Ayahanda saya dulu sangat tegas, betul-betul ikut cara Islam, mana boleh keluar bersama, pergi tengok wayang atau minum kopi. Ya, kami tidak pernah. Apatah lagi pegang tangan. Setiap kali Tuanku nak jumpa saya, kena buat temujanji dan makan tengah hari bersama ayahanda saya.
Nenda saya dan nenda Tuanku mahukan perkahwinan ini. Melihat ayahanda saya yang begitu tegas, nenda saya selalu ajak Tuanku datang Johor untuk bermain polo. Jadi dapatlah kami berjumpa di padang polo, itu pun dengan semua orang keliling.

Saya ingat ketika umur saya 23 tahun, Tuanku pernah tanya adakah saya mahu menjadi isterinya satu hari nanti. Saya jawab, adakah Tuanku anggap saya ni cukup baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya.
Tapi Tuanku tidak ajak saya kahwin. Tuanku beritahu ayahandanya supaya mengumumkan dia akan mendirikan rumah tangga dia akan mendirikan rumah tangga pada hari keputeraan baginda pada Oktober 1985, tetapi tidak cakap dengan siapa.

Ayahanda saya pula tidak tahu mengenai pengumuman itu. Apabila rombongan Pahang sampai, ayahanda saya tanya, adakah dia nak atau ini perkahwinan yang diatur? Jika diatur oleh ibu bapa, saya tidak terima. Kalau dia sendiri mahu, saya terima.
Selepas tiga hari, barulah ayahanda kata “Bah lupa nak tanya Azizah nak ke tak nak, tapi Bah dah terima,”. Saya bernikah pada Mac dan bersanding pada 19 Julai (1986). Antara Mac dan Julai, walaupun sudah jadi suami isteri yang sah, tetap tak boleh keluar. Saya di Johor, Tuanku di Pahang.

Majlis perkahwinan diadakan di Johor dengan penuh istiadat kerana anak Agong berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang. Titiek Soeharto selalu kata, itulah satu-satunya majlis perkahwinan yang berlarutan sampai jam 5 pagi. Pada hujung Julai ni, kami nak bersanding lagi,” titahnya.

“Saya tidak rasa kami ni romantik sangat. Media selalu rakam momen yang tidak kami perasan macam masa suapkan lauk. Bagi saya ia adalah perkara natural (melayan suami) seperti letakkan lauk untuk suami.

Kami tak adalah panggil Sayang, atau sebab kami dah kenal 13 tahun sebelum berkahwin, Tuanku panggil saya Ji (Zizi) dan saya pangil Tuanku ‘Alam’ atau ‘Lam’. Tapi saya rasa Tuanku suka bila saya panggil ‘Bah’ (Babah),” titah Raja Permaisuri Agong.
Pasangan diraja ini telah berkahwin pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan empat orang putera dan dua orang puteri;
- Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.
- Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.
- Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.
- Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Raja Permaisuri Agong bersyukur dikurniakan suami yang baik hati, sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan sepanjang 46 tahun mengenali Tuanku Abdullah, tidak pernah didengar baginda meninggikan suara.
“Tuanku ni baik. Hatinya cukup baik, tidak pernah gosip, ‘membawang’, tak pernah cakap orang jahat, tidak pernah komen, sentiasa bercakap lemah-lembut dan tidak kasar. Tuanku juga baik dengan semua orang dan layan orang tidak kira siapa pun mereka, terutama yang susah,” titah Raja Permaisuri Agong.
Sumber: Harian Metro & www.dirajapahang.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


