Dari Dia kita datang, kepada Dia kita pulang. Begitu besarnya dugaan yang menimpa penyampai radio popular dan kesayangan ramai, DJ Lin apabila dirinya berkongsi berita pemergian abang kandungnya, Allahyarham Mohd Yusof Abd Majid yang disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat masalah pernafasan.
Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid berkata, Mohd Yusof, 59, sebelum itu mengadu kepada isteri dan anak-anaknya, bahawa dia mengalami kesukaran bernafas.
“Arwah abang disahkan meninggal dunia pada jam 5.10 pagi ketika ambulans dari Hospital Sultanah Aminah tiba di rumahnya dan pegawai perubatan melakukan pemeriksaan.
“Sebelum itu, sekitar jam 4.35 pagi, dia mengadu kepada isteri dan anak-anaknya bahawa dia sukar bernafas sebelum tak sedarkan diri lebih kurang lima minit kemudian.
“Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai, Johor Bahru,” katanya kepada Harian Metro.
DJ Lin yang terkenal dengan segmen Suria Cinta itu kini berada di Madinah berkongsi kesedihannya kerana tidak dapat menatap wajah abangnya itu buat kali terakhir di laman Instagramnya.
“Saya rasa sedih sebab tak dapat nak menatap wajah arwah abang yang saya panggil sebagai Usop buat kali terakhir. Saya hanya mampu mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh, dilapangkan kuburnya, diampuni segala dosa-dosanya dan tenang di alam sana,” katanya.
Lin berkata, pemergian Mohd Yusof yang juga anak keempat dalam keluarga, akan dirindukan seluruh keluarganya.
“Saya masih di Madinah dan hari ini, masuk hari kelima di sini. Saya dapat tahu berita kematian abang saya sebaik sampai ke bilik hotel selepas pulang menunaikan solat tarawih di Masjid Nabawi.
“Tak tahu nak gambarkan perasaan dalam hati ini, bagaimana sebab rasa sedih dan sebak akibat kehilangan arwah mak pada 24 Jun 2022, iaitu sembilan bulan yang lalu masih lagi terasa hingga ke saat ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
This website uses cookies.