Selepas Kemalangan, Anak Kesayangannya LUMPUH & CACAT KEKAL. Sebak Dengar Luahan Ibu Ini Yang Rindukan Suara Anaknya!

Mazulaiha Saidin yang berusia 55 tahun ini perlu menjaga anaknya yang bukan hanya lumpuh bahkan cacat kekal akibat kemalangan jalan raya. Berwajah tenang namun hanya Tuhan saja yang tahu rawan di hatinya.

Mazulaiha terpaksa menerima hakikat anaknya, Alif Hakimi Saharin yang kini berusia 15 tahun hanya mampu terbaring tanpa tindak balas normal.

Mazulaiha dan suami, Saharin Abu Talib, 45 tahun, reda dengan ketentuan Ilahi. Pasangan yang menetap di Banting ini hanya memiliki dua orang anak. Kasih sayang terhadap Alif Hakimi tetap tidak berubah. Anak sulung mereka iaitu Afiq Haikal Saharin, 17 tahun, sangat ringan tulang untuk membantu menguruskan adiknya setiap hari.

Saharin bekerja sebagai pembantu pentadbiran sementara Mazulaiha tidak bekerja. Mereka kini menduduki rumah sendiri dengan kadar bayaran RM1,000 sebulan di samping perlu membayar ansuran bulanan kereta (Perodua Alza) sekitar RM700 sebulan.

“Kisahnya, Alif meminjam motorsikal ayahnya yang baru pulang dari kerja. Tak sampai 10 minit kami dimaklumkan Alif kemalangan. Waktu itu sekitar pukul 7 malam.

Abangnya bergegas ke tempat kejadian dan amat sedih melihat keadaan Alif waktu itu. Katanya Alif masih sedar tapi darah banyak keluar. Mata dan hidung cedera. Abangnya turut menaiki ambulan hingga ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Sekitar pukul 12 malam, Alif dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bertemu pakar otak. Alif ditempatkan di wad ICU. Ketika itu Alif sudah tidak sedarkan diri. Doktor pula mengambil keputusan untuk menjahit matanya.

Hampir tiga bulan setengah Alif diwadkan. Selepas pembedahan membuka tempurung kepala, Alif lumpuh sehingga kini,” kongsi Mazulaiha yang turut membawa Alif berurut dan menjalani rawatan fisioterapi di hospital.

“Kini Alif hanya mampu membuka matanya. Walaupun tidur namun tiada respon. Alif berada di alamnya sendiri. Saya tidak pernah jemu untuk bercakap dengannya setiap hari.

Setiap malam kami sekeluarga bergilir-gilir menjaga Alif. Setiap hari Alif diberikan susu khas setiap tiga jam sekali serta lampin pakai buang.

Satu tin susu boleh tahan selama dua hari. Jika dulu minum ikut mulut tapi kini terpaksa pakai tiub di perut. Enam bulan sekali kena tukar tiub. Rutin lain ialah rawatan fisioterapi dan pemeriksaan mata di hospital. Alif dipantau 24 jam agar pengeluaran kahak, batuk dan muntah dapat dikawal. Jika tidak, akan mengakibatkan sawan,” jelas Mazulaiha yang berasal dari Perak.

Keluarga ini tergolong sebagai asnaf gharimin. Bermula Jun 2017, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan perubatan bulanan di samping bantuan susu khas dan lampin pakai buang.

“Alif bukan saja menjadi kesayangan kami sekeluarga bahkan orang-orang kampung di sini kerana sikapnya yang rajin, suka bergurau dan mesra dengan sesiapa sahaja. Saya rindu dengan suaranya yang selalu mengungkapkan kata-kata ‘Sayang Ibu’. Setiap kali teringat saya akan menangis.

Sehari sebelum kemalangan Alif bersikap pelik dan kuat merajuk. Dia beria sangat nak tidur dengan saya dan ayahnya. Hendak tidur tengah-tengah pula tu. Saya hairan dengan sikapnya. Tak sangka pula ia satu petanda kepada kejadian malang itu.

Tetapi saya bersyukur kerana Allah SWT masih panjangkan umur Alif,” ungkap Mazulaiha, biarpun mempunyai masalah paru-paru namun wanita ini tabah mengharungi ujian Allah SWT. Amy Mohd

Share
Published by
Norzalina