Jika anda pernah berkunjung ke London mahupun Hong Kong, antara destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan termasuklah kunjungan ke Madame Tussauds. Ia merupakan muzium lilin di London dengan cawangan di beberapa bandar-bandar utama di seluruh dunia. Ia diasaskan oleh pemahat lilin Marie Tussaud.
Madame Tussauds adalah satu tarikan pelancongan utama di London, memaparkan hasil kerja lilin orang terkenal antaranya termasuklah pemimpin negara, selebriti dan sebagainya.
Agnez atau nama penuhnya Agnes Monice Muljoto, 36 tahun mengakui amat teruja dan berbesar hati apabila mendapat pengiktirafan untuk menjadi sebahagian daripada personaliti dunia yang diabadikan dalam muzium berkenaan.
Melalui laman Instagram milik penyanyi ini, dia turut menzahirkan rasa terima kasih terhadap Madame Tussauds Singapura.
“Terima kasih Madame Tussauds kerana mengiktiraf gadis kecil ini. Saya berasa begitu rendah diri dan berbesar hati,” katanya di laman Instagram miliknya.
Memetik laporan Kompas, perasmian patung lilin penyanyi itu telah dilancarkan pada 5 Oktober lalu bertepatan dengan ulang tahun ke 30 penglibatan Agnez dalam dunia seni.
Bercerita mengenai patung lilin tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Matahariku ini turut berkongsi momen ‘indah’ sepanjang proses pengukuran bagi menghasilkan patung lilin miripnya.
“Saya terpaksa menahan ‘pose’ selama lima jam bagi membolehkan pihak muzium melakukan proses pengukuran bagi menghasilkan patung mirip diri saya,” ujar Agnez yang menzahirkan rasa teruja walaupun terpaksa melalui proses pembikinan yang panjang, namun hasilnya, patung lilin tersebut benar-benar mirip dirinya.
Sebelum ini, Presiden Indonesia pertama. Soekarno, Rudy Hartono, Joko Widodo dan Anggun C Sasmi turut mendapat pengiktirafan diabadikan sebagai patung lilin di Madame Tussauds seluruh dunia.
This website uses cookies.