Jiwa penyayang Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin terhadap kucing sememangnya sudah diketahui rakyat. Sebelum ini baginda telah beberapa kali berkenan berangkat ke majlis yang melibatkan haiwan comel tersebut dan membina sebuah kediaman khusus buat kucing-kucing terbiar seperti yang disiarkan laman rasmi Selangor Royal Office pada November 2019.
Terbaharu, perutusan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengenai haiwan terbiar sekali lagi menarik perhatian umum. Nona pasti ia menjadi khabar gembira buat semua pencinta haiwan!
Memetik kenyataan di Facebook Selangor Royal Office bertarikh 23 Januari lalu, DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menitahkan sekalian rakyat jelata khususnya di negeri Selangor agat tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan-haiwan terbiar (stray) khususnya kucing dan anjing.
Ini kerana baginda berdua terkilan dan dukacita memandangkan masih ada lagi individu dan pihak tertentu yang sengaja berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan ini dan masih tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka, khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Sedih akan situasi tersebut, Baginda bertitah adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada di dalam habitat sendiri.
Difahamkan, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya. Ini termasuk Snowy iaitu seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman DYMM Tuanku Sultan empat tahun lalu untuk mencari makanan namun diambil sebagai haiwan angkat di atas insiatif Baginda sendiri.
Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan DYMM Tuanku Sultan dan menjadi peneman setia Baginda. Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan.
Selain Snowy, Tengku Permaisuri Selangor yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For the Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar yang kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh Baginda sendiri. Manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat.
Menurut Baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat (adopt), haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan pelihaaraan yang bersih dan menyenangkan jika kita memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.
Selain memberi pendedahan mengenai cara melindungi haiwan terbiar, DYMM Tuanku Sultan turut menitahkan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih proaktif dan bijak dalam menangani isu haiwan terbiar secara holistik dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.
Justeru, Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi. Baginda berdua juga amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan terbiar di samping mengambil berat mengenai hak serta kebajikan haiwan seumpamanya.
Ternyata, titah Baginda ini melegakan hati pencinta kucing yang amat mengharapkan haiwan comel ini diberi layanan sewajarnya walau pun sekadar kucing jalanan. Apatah lagi, keganasan terhadap haiwan masih berlaku dalam kalangan masyarakat.
Kredit: Facebook Selangor Royal Office
This website uses cookies.