Allah SWT menjadikan dunia dengan segala kemewahan, keindahan, suka duka, susah senang dan banyak lagi nikmat yang tidak mampu kita hitung.
Menurut Ustazah Sharifah Khasif, semua yang ada di dunia ini bersifat sementara. Tidak ada yang abadi melainkan apabila manusia itu dikumpulkan di akhirat yang kekal selamanya.
Syurga neraka juga ciptaan Allah SWT. Sifat ahli-ahli syurga ialah orang-orang yang sanggup bersusah-payah sewaktu hidup di dunia. Tidak hairanlah syurga itu sangat mahal dan bahagialah penghuni-penghuni syurga yang aman di dalamnya.
Manusia itu sifatnya lemah. Allah SWT memberi sedikit ujian kerana Dia sayang serta mahu melihat hamba-hamba-Nya bersujud dan menangis di hadapan-Nya.
Ujian itu adakala menjadikan manusia dekat dengan Allah SWT. Ada pula yang menjadikan ujian itu sebagai bencana dan bersangka buruk terhadap Allah SWT. Nauzubillah…alangkah ruginya manusia yang tidak melihat segala yang berlaku itu sebagai satu rahmat.
Sebab itulah banyak berlaku kes bunuh diri kerana kecewa, putus asa dan berdoa supaya mati cepat kerana tidak sanggup lagi melalui ujian dunia.
Hadis Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sesekali seorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: “Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)Hikmah Ujian
Semoga kita menjadi antara golongan yang sentiasa melihat pada hikmah di sebalik apa yang berlaku daripada melihat kesan buruk yang kita nampak dari mata kasar. Mudah-mudahan diberkati Allah SWT dan sentiasa menjadi orang yang sabar dalam apa jua keadaan.
This website uses cookies.