Mungkin bagi sesetengah orang berjaya menghabiskan menghabiskan 114 Surah dalam AlQuran adalah perkara biasa. Namun, tidak kurang juga yang berbangga dengan diri sendiri dapat khatam Al-Quran lebih-lebih lagi dengan bacaan dan tajwid yang betul. Ia merupakan suatu tanda aras pada diri mencapai sebuah kejayaan.
Kejayaan Erra Fazira khatam AlQuran baru-baru ini telah menyuntik inspirasi wanita lain untuk meneruskan bacaan walaupun dihambat dengan kesibukan tugas harian. “Alhamdulillah, happy moment! Setelah bertahun, akhirnya,” tulis wanita yang berusia 47 tahun ini di platform media sosialnya.
Tergambar riak ceria di wajah pelakon utama Drama Gerak Khas ini sambil mengalunkan bacaan AlQuran. Tambahnya lagi, “Kali ni mencabar nak selesaikan (bacaan AlQuran) sebab cuti lebih banyak. Terima kasih ustaz di atas segala ilmu dan kesabaran mengajar kami. TAHNIAH!! Let’s do this again...!!” coretnya.
Teringat saat menemubual Erra Fazira ketika membuat sesi penggambaran bersama Majalah Nona tentang kerap dilihat menghadiri kelas mengaji atau cenderung ke arah program spiritual, jelasnya, “Sebenarnya aktiviti ini sudah lama saya aplikasikan dalam kehidupan seharian.
Namun, kewujudan platform media sosial ini semakin memudahkan saya untuk berkongsi dengan peminat setiap aktiviti yang dilakukan. Seperti belajar mengaji Al-Quran saya lebih seronok mengajak teman-teman rapat untuk bersama-sama memperbaiki bacaan dan memperbetulkan tajwid.
Kadang-kadang timbul juga rasa malas untuk meneruskan pembelajaran tetapi kawan-kawan akan menjadi pemangkin menaikkan semangat untuk terus belajar. Namun, saya tetap menyimpan hasrat untuk mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna seperti yang tersemat dalam hati setiap insan yang bergelar Muslimat,” ucap pelakon filem Sembilu yang bergandingan dengan Dato Awie ini.
This website uses cookies.