Wanita dan meja solekan tidak dapat dipisahkan kerana ia salah satu sudut yang paling digemari. Di sini bermacam jenis peralatan solekan disimpan seperti kosmetik dan produk kecantikan memenuhi ruang meja seperti bedak asas, berus, minyak wangi, lipstik dan sebagainya.
Jika anda seorang yang gemar mengumpul koleksi solekan dalam jumlah yang banyak, pastikan ia disimpan dengan rapi agar tidak merosakkan keindahan meja solekan serta ruang bilik tidur. Hendak mencarinya pun mudah jika disusun dengan cara yang betul. Berikut beberapa tip mudah untuk merapikan meja solekan.
GUNAKAN BEKAS
Bukan hanya menjejaskan pandangan bahkan ia juga boleh merosakkan produk itu sendiri. Sebaiknya sediakan bekas untuk merapikan koleksi barangan solekan anda. Contoh, boleh gunakan gelas untuk menyimpan berus atau peralatakan berbentuk panjang. Boleh juga menggunakan rak jenis acrylic.
MENGIKUT FUNGSI
Bagi memudahkan pencarian, susun peralatan solekan mengikut fungsinya. Produk yang jarang digunakan boleh diletakkan di bahagian belakang berbanding produk-produk yang sering digunakan.
JENIS
Mengasingkan produk mengikut jenisnya membantu anda agar tidak terbeli produk yang sama. Produk juga akan lebih terjaga. Contoh, produk cecair sebaiknya dipisahkan dengan bedak supaya jika ia tertumpah tidak akan merosakkan produk-produk lain.
SUSUNAN WARNA
Selain lebih kemas, cara ini juga dapat menjadikan meja solekan anda tampak cantik di samping mudah mencari warna yang dimahukan. Antara produk yang boleh disusun mengikut warna ialah lipstik dan pembayang mata. Warna yang tersusun rapi memberikan kesan artistik.
JAGA KEBERSIHAN
Habuk dan kotoran dari kosmetik boleh menjadikan meja solekan kelihatan bersepah dan tidak terurus. Sesibuk mana pun tiada salahnya untuk membersihkan meja solekan dan peralatan solekan secara teratur. Jangan lupa perhatikan juga tarikh luput produk. Jika sudah tamat tempoh sebaiknya dibuang terus. Meja solekan pun lebih lapang.
POSISI MEJA
Pencahayaan yang baik mengelakkan meja solekan daripada malap atau terlalu gelap. Letakkan meja solekan anda berhampiran dengan tingkap untuk mendapatkan pencahayaan yang maksimum. Anda juga boleh menambah lampu tambahan di meja solekan agar kelihatan menarik. AMY MOHD
This website uses cookies.