“Semangat Ibu LUAR BIASA. Pernah Jual Kuih & Menoreh Getah Demi Sesuap Nasi” PUAN SRI NORMALA

Benarlah, pengalaman hidup menjadikan siapa kita pada hari ini. Banyak yang kita belajar maka banyaklah juga pengalaman yang akan kita dapat.

Puan Sri Normala Samsudin yang masih jelita dalam usia 57 tahun.

Puan Sri Normala Samsudin, 57, yang terkenal dengan gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ kini bahagia menjalani kehidupan peribadi membawa status isteri kepada bekas ahli politik, Tan Sri Azmi Khalid.

Bersama suami tercinta, Tan Sri Azmi Khalid.

Siapa pun dirinya kini, Puan Sri Normala sentiasa menyantuni ibu yang kini berusia 84 tahun. Baginya doa dan restu ibu amat penting dalam kehidupan seorang anak.

Seronok melihat keakraban Datin Sri Normala dan ibunya yang dipanggil ‘Mak’ walaupun kini mereka terpaksa berjauhan disebabkan kekangan COVID-19. Pun begitu, mereka sentiasa berhubung melalui panggilan video setiap hari untuk melepaskan rindu.

Keakraban Puan Sri Normala dan ibunya yang kini berusia 84 tahun.

“Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana Mak yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga. Saya melihat Mak seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan Mak demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.

Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.

Saya kagum dengan Mak kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini. Antara kata-kata Mak yang paling terkesan dalam hidup saya ialah tentang hikmah perceraian. Ketika saya pernah gagal dalam perkahwinan, demi menjaga hati saya, Mak berkata soal jodoh Allah yang tentukan. Semua yang terjadi ada hikmah dan kita kena sabar. Ringkas saja kata-katanya tetapi penuh makna tersirat.

PEREMPUAN KENA RAJIN KE DAPUR

Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk. Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.

Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.

Siang Mak menorah getah, malam pula sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual. Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil. Lagi pun niat saya bantu Mak buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.

NASIHAT
Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi. Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.

Ibu dan anak sama cantik! Puan Sri Normala bersama anaknya, Dr Ruhila.

Wanita zaman dulu lebih banyak bertenang dan sabar. Selalunya orang-orang yang lebih tua akan sentiasa ada untuk memberikan nasihat. Contoh Mak saya, walau macam mana pun kehidupannnya dalam rumahtangga ibu tidak pernah bising atau tunjuk depan anak-anak. Tidak bercerita sana sini.

Detik bahagia Dr Ruhila ketika sah bergelar seorang isteri.

Sebaliknya pula yang berlaku pada zaman ini. Ada masalah sikit terus kongsi di media sosial. Ini sebenarnya satu ‘penyakit’ merbahaya. Bagaimana buruknya keadaan rumahtangga atau terguris hati dengan suami jangan sesekali memuat naik status di media sosial. Saya sendiri tak menyokong perbuatan ini.

Bagi saya tanpa ilmu seseorang itu tak akan mampu pergi lebih jauh. Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip ‘saya perlu bekerja’. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.

Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.”

Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad