Tosai, Capati, Roti Canai dan Vadey. Kalau hendak senaraikan menu popular masyarakat India memang tidak terkira. Selain terkenal dengan ramuan rempah-ratus, juadah India juga terkenal dengan rasa manis. Salah satu jenis manisan yang wajib anda cuba adalah Kesari. Begitu juga sajian puri yang mempunyai rasa lembut dan empuk seperti roti canai.
Sempena Deepavali hari ini, apa kata anda cuba dua resipi berikut.
PURI
Bahan-bahan:
Ads
2 cawan tepung gandum
1-2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil susu tepung (untuk dijadikan puri lembut & berlemak)
½ sudu kecil gula
½ sudu kecil garam
Air suam secukupnya
Cara membuat:
Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam, gula dan minyak masak ke dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan supaya rata. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung sehingga menjadi doh yang licin dan tidak melekat pada tangan. Rehatkan doh selama 20 minit dan pastikan doh ditutup dengan kain lembap. Bulat-bulatkan doh sebesar bola golf. Titiskan minyak atas papan canai dan leperkan doh puri mengikut ketebalan roti capati. Sesudah itu, panaskan minyak dalam kuali dan goreng puri hingga berwarna keperangan.
Ads
KESARI
Bahan-bahan:
Ads
2 cawan tepung suji
1 cawan gula
3 sudu besar gajus & kismis
3 cawan air
4 sudu besar minyak sapi
5 biji buah pelaga (dihancurkan)
Pewarna kuning
Cara membuat:
Panaskan dua sudu minyak sapid an goreng gajus hingga keperangan. Dalam minyak yang sama, masukkan tepung suji dan goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan sejukkan. Sesudah itu, panaskan kuali dan masukkan air, gula dan pewarna kuning. Biarkan mendidih dan masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil kacau. Masukkan pula gajus, kismis, serbuk buah pelaga dan dua sudu minyak sapi. Perlahankan api. Kacau hingga kesari tidak melekat pada kuali dan tutupkan api. Akhir sekali, masukkan kesari dalam loyang dan ratakan. Angkat dan sedia untuk dinikmati.
Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semua orang makan setiap hari. Kalau berpuasa pun mesti ada makanan untuk berbuka. Makanan penting untuk kelangsungan hidup. Makanan yang kita makan setiap hari dikatakan boleh membunuh secara senyap tanpa disedari. Boleh dikatakan hampir setiap makanan ini menjadi hidangan yang perlu dalam pengambilan makanan seharian. Oleh itu, cuba elakkan makanan ini sebaik mungkin dalam pemakanan seharian.
1. Sos Tomato Dalam Tin
Sumber sos tomato dalam tin mengandungi gula yang tersembunyi yang tidak pernah terfikir oleh anda merangsang kepada risiko obesiti, diabetes, jantung dan masalah gigi. Bagi mengatasi masalah ini guna buah tomato yang dilenyek atau dikisar untuk menggantikannya. Puri yang dibuat sendiri tanpa lebihan gula dan garam. Malah anda boleh meletakkan sendiri beberapa rempah yang dikehendaki. Atau boleh juga memilih jenama yang kurang gula dan sodium.
2. Air buah dalam kotak Air buah yang dikisar sendiri dengan air buah di dalam kotak berbeza daripada segi kandungan gula, pewarna dan bahan pengawet. Nutrisi yang terkandung dalam buah-buahan tersebut juga mungkin hilang ketika proses pempasteuran.
3. Air karbonat
Air berkarbonat merupakan musuh utama. Kandungan gula yang tinggi boleh mempengaruhi kulit, kadar gula dalam darah, hormon dan juga mood seseorang. Lebih parah lagi apabila minuman tersebut menggunakan bahan pengawet yang tidak dibenarkan.
4. Garam Peranan penting dalam merangsang tekanan darah tinggi adalah garam. Jika anda makan terlalu banyak garam, anda akan mendapat tekanan darah tinggi dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular yang menjadi penyumbang utama kepada kematian di dunia. Jadi ambil garam hanya yang diperlukan oleh tubuh sahaja dan jangan mengambilnya secara berlebihan.
5. Gula
Jika anda merupakan seorang yang ‘pemanis’ terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menggantikan gula. Kehadiran gula dalam darah hanya akan menaikkan kadar gula dalam darah yang menimbunkan lemak di kawasan pembuluh darah. Akhirnya akan menyebabkan serangan jantung tidak tentu masa.
6. Sarapan bijirin Ramai yang mengambil bijirin setiap pagi sebagai mengalas perut. Sebenarnya bijirin ini tidak baik untuk pengambilan pertama hari anda kerana mengandungi kadar gula yang tinggi, bahan pewarna tiruan, bahan pengawet dan produk GMO.
7. Daging
Daging seperti salami, ham, bologna dan sebagainya kaya dengan nitrat, sodium, bahan pengawet dan bahan perisa. Segala bahan ini boleh meningkatkan risiko kanser, masalah jantung, diabetes dan masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak.
8. Makanan segera Memang ramai yang suka makanan segera kerana ia sedap yang cepat. Makanan segera merupakan pembunuh dalam senyap kerana mengandungi lemak trans, gula, garam, bahan pengawet, bahan perisa tambahan, bahan pewarna dan bahan kimia lain yang membuat makanan segera kelihatan menarik. Cuba hindar mengambil makanan segera dalam pengambilan makanan seharian.
9. Minyak sayur-sayuran
Kita selalu menggantikan minyak kepala sawit kepada minyak sayuran ini. Terdapat sebilangan minyak sayuran mengandungi GMO dan lemak trans yang akan merangsang penyakit kardiovaskular, obesiti, kanser dan alzheimer. Selalu melihat label sebelum membeli minyak sayuran ini.
10. Pengganti gula Tidak ada yang lebih baik selain daripada gula. Pengganti gula mengandungi sedikit kalori tetapi masih menjadi punca peningkatan risiko diabetes, tekanan darah tinggi, jantung, dan sindrom metabolik. Anda juga mungkin tidak perasan gula-gula getah mengandungi aspartame yang merupakan salah satu pengganti gula.
11. Kerepek kentang
Semua makanan yang digoreng menggunakan minyak yang banyak mengandungi bahan berbahaya yang dipanggil acrylamide. Bahan ini meningkatkan risiko kanser kolon, kanser payudara, kanser prostat dan kanser rektum. Sebaik-baiknya elak makan kerepek kentang yang dijual di pasaran.
12. Makanan diproses
Kebanyakan makanan diproses ini berbahaya kerana mengandungi terlalu banyak bahan pengawet yang tidak baik untuk kesihatan. Ditambah pula dengan sodium yang tinggi dan toksin yang boleh meningkatkan risiko penyakit kanser.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menyelerakan sungguh hidangan roti kerca air tangan Yang Mulia (YM) Tengku Datin Sri Zawyah. Tekstur roti yang lembut dan dilengkapi dengan sos istimewa memang terliur dibuatnya.
Berikut resipi tradisi yang dikongsikan YM Tengku Datin Sri Zawyah yang diajar bonda tercinta, Tengku Faizah.
Selamat mencuba!
Foto Koleksi Majalah Nona
ROTI KERCA
Bahan-bahan untuk roti:
1 kg tepung gandum
1 biji telur
1 sudu besar air kapur
Bahan-bahan untuk kuah:
½ kg daging kisar
1 biji buah pala (ditumbuk)
2 inci halia (dikisar)
3 sudu besar bawang merah
1 sudu besar bawang putih
1 peket rempah kari daging Adabi
1 tin Heinz tomato
1 biji kelapa – Santan
Foto Koleksi Majalah NonaFoto Koleksi Majalah NonaFoto Koleksi Majalah NonaFoto Koleksi Majalah NonaFoto Koleksi Majalah Nona
Cara membuat:
Untuk membuat roti, bancuh tepung gandum dengan air secukupnya. Masukkan sebiji telur dan air kapur untuk bancuhan seterusnya bersama garam secukup rasa. Tepung yang sudah dibancuh tadi kemudian dilenggang dan digulung panjang. Sebelum disajikan, roti perlu dipotong nipis secara menyerong.
Untuk membuat kuah pula, panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, sedikit bunga lawang, bawang merah, bawang putih, rempah kari dan daging kisar. Apabila sudah naik minyak, masukkan santan dan Heinz tomato. Akhir sekali, masukkan sedikit gula dan garam secukup rasa. Sedia untuk dihidang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jika anda bukan peminat setia makanan laut, pasti sukar mengenal pasti jenis kerang-kerangan yang ada di Malaysia. Apabila menyentuh perihal kerang, ramai yang membayangkan hidupan laut tersebut memiliki cangkerang. Itu adalah salah satu sifat fizikal kerang namun ada banyak lagi yang harus diketahui sebelum membeli hidangan laut ini.
Terdapat tiga habitat yang didiami hidupan laut ini iaitu di kawasan berlumpur, berpasir dan ada yang hidup dengan melekap di celah batu atau pangkal pokok. Antara jenis kerang yang mendiami kawasan berlumpur termasuk lokan, kerang dan mentarang. Sementara di kawasan berpasir pula seperti remis, pepahat atau dikenali dengan nama kerang buluh, etok, lala, retak seribu dan kekapis. Begitu juga tiram, kupang dan siput sedut yang hidup dengan cara melekap di sebalik batu dan pokok.
KATEGORI KERANG
Kerang-kerangan mempunyai cangkerang tetapi ia bukan ikan. Kebanyakan daripada kerang ini tergolong dalam kumpulan moluska yang menyerupai siput. Cangkerang melindunginya daripada panas matahari, ombak dan musuh. Hidupan laut seperti ketam, udang karang dan udang juga ada kalanya digelar kerang-kerangan walaupun ia haiwan krustasia dan bukan moluska.
Kerang
Kerang yang biasa dinikmati dan paling mudah didapati di Malaysia. Ada yang mengenali hidupan ini sebagai kerang darah atau kerang dara. Memiliki cangkerang berwarna putih kecoklatan, berbentuk seperti hati dan bersimetri serta tetulang di kulit luar. Lazimnya dimasak dengan cara direbus, kukus atau goreng dan mempunyai daging berwarna kemerahan di dalamnya.
Kerang bambu
Juga dikenali sebagai kerang buluh kerana cangkerang berwarna putih kecoklatan dan berbentuk panjang seperti buluh. Isinya berwarna putih dan dimasak dengan cara menumis.
Kupang
Kupang atau kerang hijau memiliki cangkerang hijau kehitaman dan isi berwarna oren terang. Saiz dan bentuk kupang lebih besar berbanding kerang. Sering menjadi sajian yang dimasak secara tumisan, goreng atau bahan pelengkap sup.
Tiram
Memiliki kulit cangkerang yang tidak sekata dan agak menggerutu. Dagingnya rendah kalori tetapi kaya dengan vitamin dan kalsium. Tiram juga mempunyai kulit cangkerang kelabu kehitaman dan isi tiram turut diproses menjadi sos.
Kekapis
Kulit cangkerang yang nipis, besar berbanding kerang dan rupa seakan kipas serta berwarna terang. Isinya berwarna putih atau oren terang selain dikenali dengan nama scallops.
TIP MEMILIH & MEMASAK
Ciri-ciri kerang yang segar adalah seperti tidak berbau busuk, tidak mempunyai lendir dan cangkerangnya masih tertutup rapat. Jika membeli kerang yang sudah dikupas kulit, pastikan isinya masih terasa kenyal.
Bersihkan kerang dengan merendamnya dalam air garam. Ia akan membuatkan pori-pori kerang terbuka dan kotoran pada kulit kerang dikeluarkan.
Pastikan kerang disimpan dalam bekas bertutup rapat dan diletakkan dalam peti sejuk bahagian beku jika tidak mahu memasaknya lagi.
Kerang boleh disimpan dalam dua minggu atau sebulan tetapi jangan menyimpan kerang dengan merendamnya dalam air kerana akan menghasilkan bau kurang enak.
Kerang yang dikukus hanya memerlukan masa selama 30 minit sahaja. Jangan kukus terlalu lama kerana boleh menyebabkan kerang lembik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!