Setelah bertahun prosiding mahkamah berlangsung mengenai kemelut di antara pelawak, Ali Puteh dan kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali akhirnya keputusan mahkamah berpihak kepada balu Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan.
Menerusi perkongsian Hidayah di media sosial miliknya, ibu kepada Syed Uthman Hamzah Al-Juffery ini meluahkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan berharap kehidupannya bersama anak tersayang akan lebih baik selepas ini.
Dedah Hidayah, “Alhamdulillah syukur pada Allah, keputusan rayuan mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada Hidayah. Semoga pihak di sana tidak melengah-lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang telah ditetapkan.
Semoga Dayah dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas ini. Aamin.. Terima kasih semua yang mendoakan Hidayah dan Hamzah.”
Hidayah turut memuat naik gambar dirinya lengkap berbaju kurung ungu di hadapan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sebelum ini, mahkamah menolak rayuan Ali Puteh untuk mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen kira-kira 10 bulan lalu yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM60,000 kepada Siti Nor Hidayah kerana memfitnah wanita itu dalam Instagram dua tahun lepas.
Pada 18 Februari tahun lalu, Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah terhadap Ali Puteh serta membenarkan permohonannya mendapat perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.
Zulqarnain berpuas hati Siti Nor Hidayah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ali Puteh dan berpendapat, hantaran Ali Puteh dalam Instagram itu sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.
Kemelut antara Siti Nor Hidayah dan keluarga tersebut tercetus selepas kematian Abam Bocey pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.