Bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 esok, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menaja 60 pasangan suami isteri untuk menerima rawatan kesuburan dari Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) bulan depan.
Titah baginda, kesemua pasangan tersebut dipilih sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60 tahun… yang jatuh pada tanggal 30 Julai bersamaan pada hari esok!
Titah baginda lagi, niat itu tercetus apabila baginda pernah merasai pengalaman sukarnya menimang cahaya mata memandangkan baginda terpaksa menunggu selama hampir 10 tahun untuk menimang cahaya mata pertama.
Tanpa berselindung, Tunku Hajah Azizah turut mengakui baginda terpaksa mengharungi rawatan kesuburan IVF selama 17 kali sebelum dikurniakan zuriat sulung baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
“Alhamdulillah TAFF banyak memberi sokongan. Banyak juga yang menolong saya. Saya hanya nak memberi balik apa yang Allah telah kurniakan kepada saya. Ini kebesaran Allah SWT.”
Sebelum ini yayasan tersebut terpaksa menghentikan tajaan buat sementara kerana ketiadaan dana. Bagaimana pun Tuanku Raja Permaisuri Agong mendapat ilham untuk menubuhkan yayasan tersebut selepas pelancaran buku masakan baginda.
Baginda turut memahami prosedur fertiliti in-vitro (IVF), bukanlah satu rawatan yang murah kerana satu rawatan sahaja boleh mencecah sehingga RM20,000. Dalam pada itu, hasil jualan buku masakan baginda disumbangkan 100 peratus bagi membantu pasangan yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata melalui TAFF.
Sehingga kini, seramai 115 anak dilahirkan selepas menjalani rawatan di TAFF. Titah Tunku Hajah Azizah lagi, anak sulung TAFF kini sudah berusia 13 tahun.
Sumber: BERNAMA