“Semua Wanita Dilahirkan Cantik” YUNI SHARA Di Usia 49 Tahun, Kekal Stylish & Jelita!

Siapa yang tak kenal dengan Yuni Shara, kakak kepada diva pop Krisdayanti. Raut wajahnya saling tak tumpah seperti adik kesayangannya itu. Sama cantik, sama-sama tak kalah dalam berfesyen!

Cantiknya Yuni Shara, kekal elegan pada usia 49 tahun!
Bersama adik kesayangan, Kris Dayanti (kanan).
Hubungan adik beradik ini memang akrab sejak kecil lagi.

Apa yang menariknya tentang pelantun lagu ’50 Tahun Lagi’ ini, biarpun usianya bakal menginjak 49 tahun tetapi Yuni Shara sering tampil elegan dan gemar berkongsi OOTD di Instagram. Bukan saja penampilan, Yuni Shara juga amat menitikberatkan soal kecantikan.

Yuni Shara (kanan) ketika menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Kris Dayanti baru-baru ini.

“Semua wanita dilahirkan cantik. Paling penting wanita perlu mengenali dirinya sendiri,” ungkap ibu anak 2 ini.

Yuni Shara bersama dua anak lelakinya.
Memiliki kulit mulus tanpa kedutan hasil amalan petua yang diamalkan.

Baginya, faktor kerjaya turut mempengaruhi agar sentiasa menjaga penampilan diri. Salah satu gaya Yuni Shara yang sering menjadi perhatian ialah gaya kasualnya yang ringkas tapi stylish. Contohnya, padanan celana ripped jeans yang menyerlahkan ‘sisi muda’ Yuni Shara.

Berikut rutin utama yang diamalkan Yuni Shara agar kekal sihat dan cantik.

PETUA DAUN LIDAH BUAYA
Salah satu rahsia awet muda Yuni Shara ialah menjadikan daun lidah buaya sebagai masker. Seperti kita tahu lendir daun lidah buaya mempunyai khasiat yang sangat baik untuk kulit wajah. Salah satu kebaikannya membantu melambatkan proses penuaan.

Menurutnya, masker daun lidah buaya dapat mencegah kedutan termasuk jerawat jika diamalkan secara konsisten. Selain digunakan sebagai masker, Yuni Shara turut memakan isinya pada setiap pagi yang dicampur bersama madu.

RAJIN BERSENAM
Satu lagi rahsia wanita jelita ini ialah tak pernah meninggalkan rutin senamannya setiap hari antaranya yoga dan pilates. Namun sejak pernah mengalami kecederaan, Yuni Shara kini hanya melakukan senaman ringan seperti push up, sit up dan plank.

Yuni Shara turut berpesan kepada wanita-wanita di luar sana agar mengubah mindset tentang senaman.

“Ubah mindset, senaman bukan semata-mata untuk kurus atau awet muda tetapi untuk sihat,” kongsi Yuni Shara atau nama sebenarnya Wahyu Setyaning Budi.

KONGSI TIP MOTIVASI DI INSTAGRAM
Bagi Yuni Shara, untuk nampak awet muda bukan hanya bergantung kepada amalan petua saja. Berfikiran positif dan saling memberi motivasi juga salah satu rahsianya. Hal yang kecil tetapi besar manfaat dan ganjarannya bukan saja buat followers

bahkan dirinya sendiri.
Yuni Shara sering berkongsi kata-kata motivasi di Instagram miliknya.
Dikelilingi insan-insan yang baik dan positif juga salah satu rahsia awet kerana jiwa kita sentiasa happy dan bahagia.

Justeru, Yuni Shara sering berkongsi content yang positif termasuk kata-kata motivasi di Instagramnya.

Kredit Foto: Instagram @yunishara36

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad