Senang Je DATIN EINA AZMAN Buat Tepung Pelita, Patutlah Hampir Separuh Juta Orang Tonton Resipinya!

Alahai, kecur tengok air tangan Datin Paduka Eina Azman. Apa sahaja juadah yang disediakan selebriti cantik ini bukan sahaja membuatkan peminat terliur malah
perkongsian resipi beliau sangat mudah untuk dihasilkan. Jadi tidak hairanlah laman Instagram Datin Paduka Eina sering ‘dikunjungi’ peminat setiap hari. Rupa-rupanya
ia menjadi medan rujukan masakan buat para suri rumah. Lebih-lebih lagi waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sekarang.

Mengintai media sosial milik isteri Datuk Paduka Kaiser ini memang jelas terserlah betapa beliau meminati dunia masakan. Dari menu hidangan utama sehinggalah pencuci mulut, semuanya ‘tersimpan’ kemas di Instagram miliknya. Aneka jenis kek, pasta, spageti, lauk-pauk, kuey teow dan murtabak, semuanya ada. Yang pasti Datin Paduka Eina memang tak lokek berkongsi resipi.

Paling mengagumkan, setiap video masakan beliau memiliki jumlah tontonan tidak kurang daripada 200 ribu dan pernah menerima sehingga lebih 1 juta viewers menerusi resipi corn dog! Walau pertama kali beliau menyediakan sajian tersebut namun hasil air tangan Datin Paduka Eina tidak pernah menghampakan.

Terbaru, ibu kepada pasangan kembar Arianna Audrey dan Karl Kareef ini memuatnaik resipi kuih paling popular ketika musim bazar Ramadan iaitu tepung pelita. Menyedari orang ramai mungkin sukar untuk mendapatkan kuih tradisi tersebut memandangkan tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini ekoran wabak Covid-19, Datin Paduka Eina terpanggil untuk berkongsi resipi.

Biarpun baru memuatnaik video resipi tersebut tiga hari yang lalu namun sehingga kini ia telah mencecah hampir 400 ribu tontonan. Kongsinya, “Alhamdullilah today teringin nak makan Tepung Pelita. So terjadilah Tepung Pelitanya.” Tepung pelita air tangan Datin Paduka Eina sememangnya menyelerakan. Ditambah pula dengan hiasan daun pandan di atasnya yang menyerlahkan lagi aroma pandan. Makan sejuk-sejuk pun sedap.

Berikut resipi tepung pelita Datin Paduka Eina Azman. Selamat mencuba!

a) Bahan-bahan lapisan pandan (hijau)

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan air daun pandan
  • Air
  • Pewarna hijau
  • Perasa pandan
  • 1 cawan gula
  • Sedikit garam
  • Sedikit air kapur

b) Bahan-bahan lapisan putih

  • 4 sudu tepung beras
  • 2 cawan santan
  • Garam
  • Gula

Cara-caranya masukkan tepung beras, diikuti air daun pandan. Tuang air ke dalam adunan bersama pewarna hijau. Kacau dan kemudian masukkan perasa pandan serta gula. Kurangkan kuantiti gula jika tidak mahu manis. Seterusnya masukkan sedikit garam dan air kapur. Kacau hingga pekat. Di dalam bekas kukusan, tabur sedikit gula. Tapis air bancuhan tadi dan kukus. Sementara itu, sediakan bahan lapisan seterusnya dengan memasukkan tepung beras, santan, sedikit garam dan gula. Kacau hingga pekat. Tapis dan tuangkan ke dalam bekas berisi adunan pandan tadi. Kukus lagi 10 minit. Siap untuk dihidang.

 

Share
Published by
Suzi