Kuku yang dirias tidak semestinya sihat dan kuat. Penjagaan rapi pada kuku juga amat penting kerana ia turut mencuri tumpuan saat berdampingan dengan orang lain.
Tentu ramai yang memilih penjagaan kuku paling mudah iaitu dengan berkunjung ke salun kecantikan dan mendapatkan khidmat medicure dan pedicure. Kalau ada bajet lebih, tak ada masalah. Tetapi, anda sendiri perlu rajin meneliti keperluan kuku anda,jangan hanya harapkan penata rias saja.
Setiap hari, perhatikanlah perubahan pada kuku anda. Gunakan kesempatan waktu yang ada untuk merancang rawatan kuku yang ingin anda lakukan pada hujung minggu nanti. Jom kita mulakan hari ini!
Sentiasa menjaga kebersihan
Sebelum mulakan rutin harian, sangat penting untuk anda pastikan kuku dan kulit sekitarnya bersih dari kotoran. Jika anda memakai pewarna kuku, bersihkan sisa pewarna yang comot pada jari dengan menggunakan pembersih kuku.
Atau, anda juga boleh mengambil berus gigi lama dan sabun. Gosokkan pada kuku dan kulit dengan perlahan untuk membersihkan kotoran serta menggalakkan pengelupasan kulit mati tanpa perlu menggunakan bahan kimia atau skrub mahal.
Sentiasa lembut
Kuku anda sangat halus. Membersihkan dengan cara yang kasar boleh menyebabkan kuku mudah rosak dan dijangkiti kuman. Anda tidak digalakkan menggunakan peralatan besi terlalu kerap di bawah kuku kerana ia boleh merosakkan kulit.
Trim kuku
Biasakan diri untuk trim kuku anda, sama seperti rambut. Luangkan masa sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk aktiviti trim kuku supaya kuku tumbuh cantik dan sekata.
Hargai kesihatan berbanding ukuran
Bagi sesetengah wanita, kuku yang panjang kelihatan cantik walaupun di sebalik cat warna itu, kuku anda merekah dan pecah! Kuku yang pendek sentiasa nampak kemas dan bersih. Ia juga membolehkan kuku tumbuh dengan lebih sihat dan cantic.
Tidak membuang kutikel
Tahukah anda kutikel pada kuku sebenarnya mempunyai fungsi untuk melindungi kawasan sekitar bawah kuku. Jika anda membuangnya, ia akan memudahkan bakteria untuk menjangkiti kawasan tersebut. Semakin anda membiarkan kutikel, semakin kuku anda menghargai anda.
Seminggu sekali selepas mandi, hanya tolakkan dengan perlahan kutikel dengan menggunakan kayu khas untuk kutikel dan sapu losen untuk membiarkannya lembut dan lebih kemas.
Kebersihan peralatan kuku
Penjagaan kebersihan pada peralatan kuku adalah sangat penting. Pastikan setiap kali membersihkan kuku, anda mencuci di celahan ketip kuku dan tweezer yang digunakan agar bakteria tidak membiak.
Sentiasa menjaga kelembapan
Setiap malam anda pasti tidak lupa untuk menyapu pelembap pada wajah kan? Begitu juga pentingnya kelembapan untuk melindungi kuku. Gunakan campuran minyak kacang almond dan avocado pada kuku dan kutikel agar ia sentiasa lembap dan berkilat.
Kawal diet
Tambahan vitamin dan supplemen seperti biotin, vitamin E dan minyak ikan dalam regimen harian anda boleh memberikan protein terbaik untuk kuku. Ada juga pakar berpendapat, kekacang dan ikan adalah sumber terbaik yang boleh anda amalkan.