Inspirasi

Sentiasa Berpijak Di Bumi Nyata, Muabellaz Tak Lupa Asal-Usul Anak Nelayan & Pernah Hidup Susah

Sentiasa berpijak di bumi nyata, Muabellaz atau nama penuhnya Nur Nabilah Zulyadaini tak lupa asal-usul dirinya sebagai anak seorang nelayan dan pernah hidup susah.

Sentiasa terbuka berkongsi keperitan hidup dengan jutaan followers, Bellaz juga sering mengimbas kembali momen sebelum berjaya agar tidak hanyut dengan kesenangan yang dinikmatinya hari ini.

Berusia 33 tahun, penerima Ikon Belia Negeri Kedah 2018 itu cukup tersohor di media sosial. Bagi peminat dunia kosmetik dan kecantikan, nama make-up artist dan pempengaruh tersebut sememangnya tidak asing lagi, Perjalanan karier Bellaz yang merupakan anak jati Tanjung Dawai, Kedah itu juga mencipta fenomena tersendiri sekaligus menitip inspirasi kepada golongan wanita muda di serata Malaysia.

Seorang yang mesra dan menyenangkan, Bellaz seringkali memberikan komitmen tinggi terhadap setiap pekerjaannya. Karakter wanita ini di depan dan di belakang kamera tiada berbeza, sekaligus menciptakan suasana santai, sama seperti melihatnya LIVE di platform Facebook dan TikTok. Lebih mencuit hati, kepetahan Bellaz berkomunikasi dengan loghat utara yang pekat membuatkan personaliti influencer ini terasa rapat bagai kenalan lama.

Instagram @muabellaz

Bellaz mula serius mendalami dunia solekan sejak hamil anak pertama kira-kira 14 tahun yang lalu. Bermula dengan sesi LIVE tutorial mekap di Facebook menggunakan akaun Make Up by Bellaz, namanya kian meningkat naik sehingga mengumpul lebih 3 juta followers organik, masing-masing di platform media sosial Facebook dan TikTok serta 2.5 juta followers di Instagram.

Populariti ini turut mendorong pelbagai jenama kosmetik tempatan untuk melantiknya sebagai duta, bahkan Bellaz sendiri menubuhkan empayar syarikat Bellaz Beauty yang menjual barangan mekap dan makanan lazat seperti karipap dan aneka desserts. Tidak cukup dengan itu, fenomena Muabellaz semakin membahang setiap kali mereka turun padang membuka gerai di tapak pesta, bayangkan peminat datang berpusu-pusu semata-mata mahu bertemunya!

“Saya menceburi media sosial ni sejak tahun 2010. Masa tu tak mahir lagi, masih belajar-belajar buat account dan post semua. Seingat saya, content pertama yang dibuat adalah demo mekap, diikuti sharing aktiviti harian seperti memasak, suasana kampung, minum apa hari ni, mekap apa hari ni. Yang rakam pula semestinya suami saya.

Saya perasan video-video content yang dimuat naik mula mencanak ketika hamil anak kedua, Aidil Mikhail. Suami saya naik hairan, dari mana saya dapat tenaga untuk buat LIVE sampai pukul 1 pagi? Sebenarnya mula dari situlah banyak orang mula follow saya. Mungkin juga sebab mereka suka tengok tutorial yang ditunjukkan, contohnya cara lukis kening sebab tak ramai yang tahu caranya. Satu lagi faktor, mungkin kerana celoteh-celoteh saya dalam loghat Kedah,” akui Bellaz tanpa berselindung.

Berjiwa dermawan dan tak culas bayar zakat perniagaan setiap tahun, Bellaz dan suami rupanya ikhlas dan bukan sekadar buat content…

Turut dikenali sebagai Ratu LIVE kerana kerap bersiaran langsung sepanjang malam, kata Bellaz, dia jarang ke udara pada waktu siang kerana sibuk menguruskan bisnes, keluarga dan rumah tangga. Tatkala ditanya tentang content yang mana paling mendapat views tertinggi, wanita jelita ini kelihatan berfikir sejenak.

“Rasanya sewaktu saya buat LIVE mekap sempena sambutan anniversary perkahwinan dengan suami dan waktu hari jadi saya, saya request nak mekapkan dia. Video suka-suka saja isteri mekapkan suami dan suami pun mengikutlah sebab hari jadi isteri. Dia macam reda, ‘Hah, birthday hang hari ni aku ikutkan je…’ Tup-tup tinggi views! Memang tak sangka,” cerita Bellaz sambil tertawa.

Instagram @muabellaz

Sambung wanita berusia 32 tahun itu, dia bersyukur kerana kehadirannya sebagai pempengaruh diterima baik. Segala kejayaan adalah berkat rezeki-Nya, doa orang sekeliling dan sokongan followers yang tidak berbelah bahagi. “Saya hanya bergantung kepada rezeki Allah. Saya buat video yang orang suka, beri manfaat dan bagi semangat positif kepada orang sekeliling.

Dengan cara itu mereka akan ingat Muabellaz dan Nur Nabilah Zulyadaini ni selalu. Saya tahu dah ramai yang buat LIVE mekap sekarang, sampai kadang-kadang saya terfikir, ‘Isy, bagaimana kalau followers jemu tengok muka saya?’

Tapi alhamdulillah berkat rezeki anak-anak juga, masih ramai yang suka tengok video content saya. Terutamanya kalau melibatkan anak-anak macam Wara dan keletah mereka,” cerita Bellaz yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Anuar Ahmad sejak tahun 2012. Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Iris Alisya, Aidil Mikhail, Ean Yusof dan Nur Aisywara Nealofa.

Terus mengumpul jutaan followers di media sosial, kini Bellaz mengembangkan ‘content’ yang dihasilkan melangkaui sekadar ilmu solekan. Beliau banyak menyuntik motivasi melalui perkongsian realiti hidupnya dari seorang anak nelayan, kisah jatuh bangun perniagaan, kehidupan tenang di kampung, momen anak-anak membesar, amal kebajikan yang dilakukan serta pelbagai aktiviti seharian.

Anak Nelayan

“Abah saya seorang nelayan sahaja. Kerja siang malam cari rezeki nak bahagiakan anak-anak dia. Dia tak makan tak apa asal anak dia dapat makan. Abah beritahu dia tak pernah lupa doakan anak dia. Walaupun berjauhan dia sentiasa doakan saya sentiasa dilindungi dan dimurahkan rezeki,” ujar Bellaz yang memiliki darah campuran Melayu-Turki.

Lantaran kemiskinan dan keadaan rumah kampung yang serba kekurangan, Bellaz pernah berhasrat untuk menghubungi penerbit program ‘Bersamamu’ untuk berkongsi kehidupan yang dilalui.

“Betul, macam nak panggil mereka datang tengok rumah saya! Sofa takde, peti ais takde. Hidup kami memang serba susah, kalau dapat api (elektrik) pun satu rahmat. Apabila abah masuk pulau (menangkap ikan), dalam dua minggu baru balik rumah. Waktu dua minggu itulah kami sekeluarga betul-betul struggle. Sekolah pun saya jarang pergi sebab masalah duit, siang saya kerja jemur ikan bilis, malam pula kerja kedai makan,” kongsi Bellaz.

Sentiasa berpijak di bumi nyata, Muabellaz atau nama penuhnya Nur Nabilah Zulyadaini tak lupa asal-usul dirinya sebagai anak seorang nelayan dan pernah hidup susah.

Masih teringat kenangan team Majalah Nona bertandang ke kediaman Bellaz sewaktu bulan Ramadan 2023 yang lalu. Rumah banglo dua tingkat miliknya berlatarkan sawah bendang dengan pemandangan Gunung Keriang yang tersergam indah.

Tidak sukar membayangkan mengapa Pengasas Bellaz Beauty itu enggan berpindah ke bandar raya. Kampung ini ada jiwa di dalamnya, jauh daripada hiruk-pikuk kota dan hingar-bingar dunia. Bellaz lebih puas membesarkan anak-anak di sini. “Saya seronok duduk kampung. Pahit manis, pengalaman hidup saya di sini. Bila dekat dengan famili saya rasa lebih selesa. Malah anak-anak pun saya ‘lepaskan’ mereka bermain, pergilah main selut, sauk ikan, lari-lari atas batas… biar mereka nikmati alam kanak-kanak macam saya ‘berlemuih’ dulu,

Saya ni tengok jer macam ni (gelak-gelak) tapi sebenarnya garang. Garang dan tegas yang bertempat. Sebelum anak nak keluar main, pastikan dulu kerja rumah dah siap kalau tak mahu dicubit. Anak-anak boleh dapat apa yang mereka nak, tapi tidaklah selalu kerana saya ajar mereka erti kesusahan untuk mendapatkan sesuatu. Saya tak ajar mereka bermewah-mewah malah selalu kongsi kesusahan hidup saya dulu.

Instagram @muabellaz

Dulu saya selalu ponteng sekolah. Kesusahan hidup masa tu sampai ke tahap terpaksa menjaga adik-adik seramai tiga orang ketika mak dalam pantang selepas bersalin. Sayalah yang memasak dan jaga adik-adik. Cikgu-cikgu pun faham, mereka pernah datang tengok situasi saya di rumah bila saya selalu tidak hadir ke sekolah.

Saya bertuah kerana ramai cikgu yang prihatin dan berpakat untuk membiaya persekolahan saya. Memang sedih kalau diingatkan, banyak sangat pahit manisnya. Mereka bagi saya belanja duit makan dan tambang bas sekolah. Hari-hari mesti pergi pejabat guru dan ambil duit belanja. Sehari RM3 sampai saya melangkah ke Tingkatan 5.

Sebenarnya orang yang suka gelak-gelak ni banyak memendam. Sebab tu saya suka alam, supaya saya ingat siapa diri saya. Kadang-kadang bila saya tidur dalam aircond sejuk, teringat nikmat-nikmat yang Allah bagi, dulu susah tapi sekarang alhamdulillah. Saya tanya diri saya, nikmat apa lagi saya nak? Semua dapat. Sampai menitik air mata sendiri,” kongsinya.

Meskipun hanya memiliki kelulusan SPM, Bellaz menolak stigma bahawa seorang pempengaruh tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya. Jawab Bellaz, “Hang terkenal macam mana pun tetap kena belajar. Tiada istilah buat LIVE sampai tak mahu ke sekolah. Inilah yang saya tekankan pada anak muda termasuk anak-anak sendiri, bakat yang ada perlu digilap dengan ilmu untuk berjaya. InsyaAllah orang akan hormat kita.”

Impian Bellaz untuk mengubah nasib keluarga pastinya tidak tercapai tanpa bantuan tulang belakang yang kuat. Kejayaan Bellaz selama ini disokong oleh suami tercinta, ibu bapa, mertua dan adik-beradik yang senantiasa menolaknya ke depan. “Mereka banyak bagi bantuan, motivasi dan sokongan moral tanpa berbelah bahagi. Contohnya bila dikecam netizen, merekalah yang tenangkan keadaan dan nasihat supaya jangan baca komen yang bukan-bukan. Begitu juga kalau saya terpaksa keluar bekerja, mereka juga yang jagakan anak-anak saya.”

Merancang supaya legasi bisnesnya dapat diwariskan kepada anak-anak, Bellaz sejak awal lagi sudah merancang strategi kewangannya sebaik mungkin. Untuk perniagaan, dia mahu sentiasa diingati sebagai usahawan berjaya. “Kita menangis kena menangis. Menangislah sepuas-puasnya tapi jangan lama-lama. Hidup hanya sekali, jadikan ia sebaik mungkin untuk diri kita dan orang sekeliling.”

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/bangga-lahirkan-ramai-student-phd-masters-jasa-saintis-profesor-datuk-wira-dr-raha-abdul-rahim-dijulang/

Share
Published by
Norzalina