Bukan satu kesalahan besar atau menjadi aib keluarga jika seorang wanita itu ditakdirkan menjadi ibu tunggal sekaligus berstatus janda. Ia bukan mudah kerana selain perlu melakukan semua perkara sendiri ia juga terpaksa berhadapan dengan persepsi negatif segelintir masyarakat.
Saat berhadapan dengan situasi ini seseorang itu perlu bersabar. Tetap fokus kepada keluarga dan biarkan masyarakat sekeliling melihat kebaikan melalui perbuatan-perbuatan anda. Laksanakan peranan sebagai ibu dan ayah buat anak-anak kerana itu lebih penting berbanding daripada terus memikirkan kata-kata mereka.
Kesimpulannya, menjadi ibu tunggal memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Lakukannya dengan baik dan amanah sehingga anak-anak mampu berdikari. Berikut cara terbaik agar anda mampu bertahan sebagai ibu tunggal.
KAWAL EMOSI
Tekanan hidup sebagai ibu tunggal adakala menguji kesabaran. Melayan karenah anak-anak serta bebanan kerja yang perlu diselesaikan tepat pada waktunya boleh menjadikan emosi tidak stabil. Ingat, kebahagiaan dan perkembangan emosi anak-anak dipengaruhi oleh tahap kebahagiaan anda menjalani kehidupan. Anak-anak melihat dan mampu merasai apa yang sedang anda alami.
RANCANG KEWANGAN
Ini kekangan utama yang sering dialami oleh ibu tunggal. Tanpa kewangan yang kukuh, keperluan keluarga tidak dapat dipenuhi sepenuhnya. Agar keperluan itu dapat dipenuhi anda perlu bekerja keras. Atur kewangan dengan bijak agar keperluan anak-anak sentiasa mencukupi.
JANGAN ATASI MASALAH SEORANG DIRI
Walaupun anda yakin mampu melakukan semua perkara termasuk mengatasi masalah, tiada salahnya meminta bantuan orang lain agar beban yang sedang ditanggung lebih ringan. Menjadi ibu tunggal yang pandai berdikari dan tegas sangat bagus namun kemampuan itu tetap terbatas. Dalam hidup perlu juga bantuan serta sokongan orang lain.
SOKONGAN
Bebanan hidup yang ditanggung oleh ibu tunggal kerap menjadikannya kesepian, sedih dan mudah putus asa. Perasaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan tekanan yang boleh memburukkan kesihatan. Saling berkongsi keluh kesah, memberi semangat antara satu sama lain bersama komuniti adalah bagus untuk kehidupan anda.
SENTIASA BERSYUKUR
Sentiasalah berfikiran positif dan membentengi diri dengan rasa syukur dan ikhlas sebagai ibu tunggal. Sentiasa ingat kepada Pencipta dan kuatkan kerohanian. Cari perkara-perkara baru yang lebih bermanfaat agar kehidupan anda dan keluarga menjadi lebih baik.
Datuk Nurul Zahid Sahut Cabaran Abah, Kini Bangga Sarung Uniform Pangkat LEFTENAN
Sejak kecil memang kita telah menyimpan hasrat apabila dewasa kelak akan bekerja sebagai doktor, jurutera, peguam dan sebagainya. Ini yang dikatakan cita-cita. Namun cita-cita tidak hanya terhad ketika di bangku sekolah saja. Setelah dewasa, walaupun sudah mempunyai pekerjaan, kita masih boleh merealisasikan cita-cita yang lain pula.
Respek dengan Datuk Nurul Zahid atau nama sebenarnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, walaupun sudah mencapai usia 40 tahun tapi tetap mahu menjadikan cita-citanya kenyataan. Nampaknya isteri kepada Dato’ Saiful Nizam ini boleh tersenyum bangga menyarung uniform Rejimen Askar Wataniah hasil dari usaha gigihnya.
Kegembiraan anak kepada pasangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Hamidah Khamis ini telah dikongsikan melalui akaun media sosialnya. Kongsinya, “Masa ni, lepas pakai pangkat Leftenan terus call PA abah tanya dia kat mana.
Cari dia kat office dan kebetulan mak pun ada baru lepas majlis rasmi. Cakap kat Abah “Look! I Did it! I made it as a Lieutenant from my sweat and hard work NOT from your position!” (Abah, Kak Long berjaya memakai pangkat Leftenan daripada titik peluh dan usaha Kak Long melengkapi Kursus untuk pakai pangkat dalam Askar Wataniah BUKAN sebab Abah sesiapa dalam Kerajaan – ketika itu),” kongsi Datuk Nurul Zahid yang memperolehi ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari UPM pada tahun 2012.
Kalau kita berjaya mencapai sesuatu dengan hasil usaha sendiri tanpa bantuan sesiapa memang rasa bangga dia lain macam sikit. Faham sangat bagaimana perasaan Datuk Nurul Zahid ketika ini. Kongsinya lagi, “Semasa abah menerajui Kementerian Pertahanan sebagai Menteri, saya menyuarakan hasrat untuk menyertai Askar Wataniah.
Abah bagitahu “Eleh, boleh ker? Ingat latihan askar ni macam jogging ker?” Saya ambil kata-kata itu sebagai CABARAN. Kini, setelah 7 tahun berkhidmat (dah dua kali renew ROD), masa untuk melabuhkan tirai.
Kursus Askar Wataniah yang terakhir adalah G3 (untuk melayakkan pemakaian pangkat Kapten). Dah 3 tahun sejak kursus akhir tu,” coret Datuk Nurul Zahid yang pernah mengacara rancangan Air Tangan DiRaja terbitan ASTRO yang memaparkan menu masakan istimewa dari kerabat DiRaja.
Rupa-rupanya Datuk Nurul Zahid juga mempunyai serampang dua mata. Usaha untuk menguruskan badan juga salah satu sebab beliau menyertai askar wataniah ini. Kongsinya, “Sebab-sebab gigih nak kurus pun sebab nak pergi kursus-kursus tu semua.
Bersama Askar Wataniah jiwa dan kekuatan mental terutamanya lebih terurus. Dalam tentera, saya diajar untuk terima arahan dulu baru fikir boleh ker tak? Kalau tak boleh pun kena bagi boleh!” kata Datuk Nurul Zahid. Bukan calang-calang wanita mampu melepasi latihan ketenteraan sepertinya.
Bagai memahami apa yang difikirkan pembaca Datul Nurul Zahid telah bercadang nak kongsi pengalamannya dalam sebuah buku. “Banyak cerita dalam Askar Wataniah ni yang best. Nanti la nak share dalam buku. Apapun, sapa nak ikut jejak langkah Kak Long (panggilan Datuk Nurul Zahid) boleh. Tapi kena tahan segala macam cabaran hidup. Allah uji sebab Allah sayang. Simple,” coretnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Nurul Zahid juga telah berkongsi tentang ujian ke atas dirinya apabila baru saja mengalami fasa keguguran. Kongsinya, “Baru ada rasa nak share. Kejadian bulan March. Dapat la rasa dalam 2 minggu. Kembar. Allah Maha Mengetahui. Alhamdulillah tak la sedih beriya. Percaya dan yakin Allah nak beri lebih baik. Tolong doakan saya ya? Semoga Allah kurniakan rezeki lagi. Biiznillah,” kongsinya. Semoga Datuk Nurul Zahid dikurniakan cahaya mata dan dipermudahkan segala urusan.
Foto: Instagram @nurul.zahid
“Kami Tidak Pernah Rasa Segembira Ini!”. Hasrat Tiga Beradik Terima PhD Serentak Tercapai!
Tiga beradik ini sememangnya membanggakan kedua ibubapa mereka apabila berjaya memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) serentak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.
Adik-beradik ini merupakan anak kepada pasangan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Dr Mohd Marsin Sanagi, bekas pensyarah Sains Kimia dan Pensyarah Sains Fizik, Dr Noriah Bidin.
Mengambil semangat ibu bapa yang berkelulusan doktor falsafah (PhD), tiga beradik ini nekad menyambung pengajian pada peringkat PhD sebelum sama-sama memahat kenangan indah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-66, semalam.
Faridah Mohd Marsin, 39; bersama dua adiknya, Jamilia, 36; dan Aishah, 32; berkongsi kegembiraan itu apabila hasrat menamatkan pengajian dan bergraduasi bersama-sama tercapai. Faridah yang juga anak sulung enam beradik berkata, ia majlis graduasi paling manis buat dia dan keluarga.
“Kami tidak pernah rasa segembira ini. Kami dapat sokongan ibu bapa dan merekalah inspirasi kami.
“Memang kami dah rancang harap-harap dapat konvo bersama. Memang kami ‘push’ (sokong) untuk sama-sama selesaikan tugasan Viva dan Alhamdulillah, akhirnya kami dapat tamatkan pengajian dan hari ini bergraduasi bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di UTM Skudai di sini, hari ini.
Sementara itu, Jamilia pula berkata, sejak kecil mereka adik-beradik sentiasa menyokong antara satu sama lain bukan sahaja dalam soal pembelajaran, tetapi juga hal keluarga dan anak-anak.
“Kita memang ada berbalah dan berbeza pendapat kerana biasalah adik-beradik, bagaimanapun kami tetap akan menyokong antara satu sama lain.
“Tetapi, pendorong utama kami dalam menyambung pengajian sudah pasti ibu bapa kami yang penting ada minat dan kesungguhan untuk belajar,” kata anak kedua itu.
Ibu bapa tiga beradik itu, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Dr Noriah Bidin, masing-masing pernah bertugas sebagai pensyarah Pensyarah Sains Kimia dan Pensyarah Sains Fizik di UTM Skudai, namun kedua-duanya sudah bersara.
Faridah mencapai PhD Kimia Analisis, Jamilia pula PhD Seni Bina, manakala Aishah berjaya dengan PhD Kejuruteraan Bioproses.
Bagi anak kelima, Aishah, cabaran mereka tiga beradik sepanjang pengajian apabila perlu menyeimbangkan masa antara belajar, keluarga dan kerjaya.
“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak seramai tiga, empat dan lima orang. Tetapi, itulah cabaran kami apabila perlu menyeimbangkan kesemuanya antara belajar, keluarga dan bekerja.
“Kami perlu kuat semangat sebab kadang-kadang memang ada sampai tahap penat kerana banyak pengorbanan yang perlu dibuat, sebab itu perlunya sokongan keluarga,” katanya.
Tiga beradik itu antara 539 graduan yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana pada sesi pagi majlis konvokesyen itu.
Sumber: Sinar Harian.
“Pernah Difitnah, Reputasi Tercalar Namun Saya Bangkit Pertahankan Maruah..” DATO‘ SRI NANCY SHUKRI Seru Wanita Berjuang Demi Hak
Aura kepimpinannya jelas saat dirinya melangkah masuk ke pejabatnya di ibu kota. Sikap keibuannya terserlah saat dirinya melontarkan rasa dan pendapat. Mendekati figura politik hebat ini sememangnya membuka mata dan minda, yang wanita di era zaman kini sudah boleh berdiri sama tegak, dan duduk sama rendah dengan kaum adam.
Kini, wanita tidak lagi lemah. Wanita bukan lagi hanya mendengar dan mengikut telunjuk. Begitulah hebatnya kuasa wanita! Benarlah apa yang dikata, jangan dicabar tangan yang menghayun buaian, bisa mengoncang dunia.
Memegang Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM – Universiti OHIO (1998) serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Hull, UK, Dato’ Sri Nancy Shukri memulakan karier politiknya sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong (2008-PRU13), kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada 2020. Dan selepas kemenangan besar Perikatan Nasioanal pada PRU15 tahun lepas, Dato’ Sri Nancy Shukri dilantik mengemudi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakt.
Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 yang disambut hari ini, NONA berbesar hati mendekati insan hebat ini. Ikuti tembual eksklusif kami bersama dengan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat bertanyakan tentang cabaran kaum wanita berhadapan perolehan dunia masa kini.
NONA: Pandangan Dato’ Sri Nancy Shukri tentang cabaran yang harus dilalui seorang wanita di era digitalisasi dan moden masa kini?
DATO’ SRI NANCY SHUKRI : Wanita mesti mengambil peluang dengan perkembangan era digitalisasi dan moden masa kini untuk terus memperkasa diri khususnya dari segi kerjaya dan ekonomi. Perkembangan teknologi ini sebenarnya banyak memberi manfaat kepada kita golongan wanita contohnya sekarang dengan perkembangan perniagaan e-dagang, wanita boleh menceburi bidang perniagaan dengan modal yang kecil hanya dengan beroperasi dari rumah. Begitu juga dengan wanita yang bekerjaya boleh menfaatkan perkembangan tekonologi telekomunikasi masakini untuk urusan mesyuarat dan pelaksanaan kerja dari rumah.
KPWKM melalui program Wanita Bangkit@KPWKM telah membantu ramai wanita memanfaatkan teknologi ini untuk menjana pendapatan keluarga dengan menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan e-dagang dan dropship. Setakat ini lebih 17,000 peserta telah mendapat manfaat daripada program ini.
NONA: Untuk tahun ini, apakah perancangan yang sudah disusun oleh Dato’ Sri Nancy Shukri dan KPWKM bagi memperkasakan kaum wanita?
KPWKM merangka beberapa strategi bagi memastikan keterlibatan wanita dalam pasaran kerja itu lebih efektif. Bagi mengatasi isu dan cabaran tersebut, KPWKM berusaha mewujudkan ekosistem yang kondusif agar wanita dapat terus terlibat aktif dalam pasaran kerja melalui inisiatif kemudahan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas peruntukan ini kerana bagi tahun 2023, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 15 juta bagi membolehkan lebih ramai pengusaha membuka TASKA. Ini secara tidak langsung membantu golongan wanita mendapatkan peluang pekerjaan atau menceburi industri pengasuhan yang dapat meningkatkan taraf kehidupan.
Bantuan subsidi sebanyak RM1.9 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut disalurkan kepada keluarga yang berkelayakan untuk menghantar anak mereka ke taska komuniti bagi membolehkan para wanita keluar bekerja. Subsidi yuran pengasuhan TASKA sebanyak RM2.9 juta turut disalurkan setiap tahun sejak tahun 2013 kepada keluarga berpendapatan rendah yang layak menerima subsidi ini dengan kadar RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak. Pelaksanaan Kursus Asas Asuhan PERMATA (KAP) yang diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh dapat memastikan kualiti asuhan dan jagaan kanak-kanak di TASKA terjamin.
Selain itu, KPWKM melalui LPPKN turut menganjurkan program yang dapat memperkukuh institusi keluarga melalui peranan lelaki untuk menyokong wanita mengimbangi kerjaya dan kehidupan bekeluarga melalui Program Pendidikan Kekeluargaan.
Kerajaan juga telah menyediakan beberapa insentif kepada majikan dan wanita yang ingin kembali bekerja seperti elaun kewangan dan pengecualian cukai pendapatan sehingga tahun 2023. Di samping itu, PERKESO juga telah melaksanakan pelbagai program perkhidmatan pekerjaan yang telah membantu 171,856 Wanita Kembali Bekerja ataupun Bermula Bekerja sejak penularan wabak COVID-19 hingga kini.
KPWKM turut memberi tumpuan terhadap usaha mengarus perdana gender dan menekankan kepentingan pemakaian lensa gender (gender lens) dengan perlantikan Gender Focal Point dan pelaksanaan program pembangunan kapasiti agar setiap dasar dan pelaksanaan program di peringkat Kementerian masing-masing lebih peka gender.
Pada dasarnya, dalam memastikan keterlibatan wanita dalam pasaran kerja lebih efektif, rangka dan strategi KPWKM dalam perkara ini boleh dirumuskan dalam dua (2) bentuk, iaitu meningkatkan sistem sokongan daripada aspek prasarana, dasar dan perundangan sewajarnya untuk menggalakkan wanita bekerja serta menambah baik pelaksanaan program bagi meningkatkan penjanaan pendapatan wanita
Isu pemerkasaan wanita dalam tenaga buruh dan kesaksamaan gender ini merupakan isu cross-cutting yang memerlukan penglibatan, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, khususnya sokongan kemahiran dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
NONA: Kes penderaan emosi dan fizikal wanita dan kanak-kanak seperti kes Jahidah dan Bella sudah cukup membuka mata orang ramai tentang isu tersebut, boleh Dato’ Sri Nancy Shukri ulas mengenai kedua-dua kes tersebut, dan apa pengajaran yang boleh diambil?
DATO’ SRI NANCY SHUKRI : Mengikut statistik, sebanyak 6,382 kes dilaporkan pada 2019 diikuti 5,858 kes pada 2020 serta 6,144 kes pada 2021 yang melibatkan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.
Kes yang melibatkan wanita dan kanak-kanak adalah antara kes terbesar yang diseliakan oleh KPWKM melalui Jabatan dibawahnya. Bagi kes melibatkan wanita kita ada Jabatan Pembangunan Wanita untuk menanganinya tapi untuk kes berkaitan kanak-kanak ia dibawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kita sedia maklum sudah mempunyai beban tugas dan tanggungjawab sedia ada yang sangat besar.
Menyedari perkara itu, saya telah mencadangkan kepada kabinet untuk menubuhkan Jabatan Kanak-kanak bagi menangani isu berkaitan kanak-kanak ini. Walaupun cadangan awal kami telah ditolak oleh kabinet kerana ia melibatkan bajet yang sangat besar, namun kami tidak berputus asa dan akan terus mendesak untuk menubuhkan Jabatan Kanak-kanak ini kerana kita tahu keperluannya dan kepentingannya demi menjaga masa depan kanak-kanak generasi pewaris kita ini.
KPWKM juga telah menambah bilangan Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berperanan untuk memberikan perlindungan serta perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar kanak-kanak dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak daripada penganiayaan, penderaan dan pengabaian.
Ini merupakan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dapat dilaksanakan dengan optimum.
KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga telah memperkenalkan program MATAHARI (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan IRIS (Literasi Perundangan dan Hak Wanita).
Program MATAHARI menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan kendiri wanita melalui aspek psikologi dan pemikiran positif. Program ini memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran daya tahan dan penyesuaian diri kepada sebarang perubahan kepada golongan wanita.
Program IRIS pula dibangunkan sebagai satu saluran bagi menyampaikan pengetahuan asas mengenai hak individu dari aspek perundangan untuk menangani isu keganasan dan diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat. Program ini dibentuk agar dapat memperkasa literasi perundangan dalam komuniti khususnya wanita dalam meningkatkan pemahaman mengenai hak-hak wanita. Selain itu, program IRIS berperanan memperkasa komuniti untuk bertindak dan memberi sokongan serta menyebarkan maklumat mengenai bantuan dan sokongan yang tersedia.
Bagi kedua-dua kes yang disebutkan tadi iaitu kes Puan Jahidah dan Adik Bella, saya rasa inilah tanggungjawab yang perlu digalas oleh KPWKM dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif antaranya MATAHARi dan IRIS dan banyak lagi serta mendesak penubuhan Jabatan Kanak-kanak supaya kes-kes sebegini dapat ditangani dengan berkesan dan kejadiannya dapat dikurangkan.
NONA: Figura politik juga tak terlepas dari kecaman. Bagaimana Dato’ Sri Nancy Shukri menepis semua kata-kata berunsur negatif dalam politik.
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Sebagai ahli politik, saya harus bersedia menghadapi apa jua situasi sama ada pujian mahupun kecaman. Di zaman teknologi dihujung jari ini kadangkala sesuatu perkara dihebahkan dengan cepat tanpa mengambilkira kesahihannya. Apa yang boleh kita lakukan adalah buat perkara yang betul namun jika orang ingin mengecam sebaliknya itu terpulang kepada mereka.
Saya pernah mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menaburkan fitnah kepada saya suatu masa dahulu. Ia bukan kerana saya berdendam tetapi ia mencalar reputasi saya sebagai wakil rakyat dan memberikan tekanan kepada saya. Alhamdulillah perkara tersebut berakhir dengan baik dan kami berkawan baik selepas itu.
Harapan saya supaya tiada lagi perkara sebegini terjadi kepada saya mahupun kepada ahli politik yang lain kerana kami di sini untuk berkhidmat kepada rakyat dan bersama-sama memajukan negara yang kita cintai ini.
NONA: Sudah pasti Dato’ Sri Nancy Shukri sibuk orangnya. Bagaimana Dato’ Sri Nancy Shukri membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga?
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Memang saya amat sibuk dengan tugasan. Namun sebagai sorang ibu dan juga seorang isteri, pengukuhan ikatan kekeluargaan amat penting. Apa bila balik Di hujung minggu, terutama pada waktu malam, saya memilih untuk makan bersama keluarga Di rumah. Kalau makan Di luar rumah pun, ianya merupakan keluar bersama keluarga.
Anak-anak sudah dewasa, maka Mobile phone sangat memainkan peranan penting dalam menghubungi Dan mengeratkan silaturrahim Di kalangan keluarga. Sama juga dengan keluarga seperti adik-beradik, kita sentiasa menghubungi satu Sama lain Melalui WatsApp. Oleh itu tiada Isu kesibukan menjauhkan kita dari keluarga.
NONA: Bagaimana pula dengan personaliti Dato’ Sri Nancy Shukri bila bekerja dan bagaimana pula bila di rumah?
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Secara umum personaliti saya memang nampak serious, pada masa yang sama diplomatik. Sebagai seorang ibu, saya tegas dan mendisiplinkan anak. Sehingga mereka dewasa, saya tetap ibu kepada anak-anak. Anak-anak sentiasa melibatkan saya dalam perancangan membeli rumah dan lain-lain.
Di tempat kerja saya lebih diplomatik dan serious dalam melaksanakan tugas. Pada masa yang sama saya memilih untuk memelihara perhubungan baik dengan Pegawai-Pegawai demi memudah kan pelaksanaan kerja.
NONA: Bagaimana Dato’ Sri Nancy Shukri membahagikan fokus menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan sebagai seorang menteri di kementerian, serta sebagai seorang ahli parlimen di kawasan Santubong Sarawak.
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Khusus kepada penduduk/pengundi di Parlimen Santubong yang juga telah memberi kepercayaan kepada saya sehingga menang dengan majoriti yang begitu besar sekali.
Tiada masalah untuk berkhidmat di kawasan atau kepada negara secara keseluruhannya kerana fokusnya sama iaitu membantu rakyat dan memastikan kesejahteraan mereka. Apabila kita sudah mengambil keputusan untuk menjadi ahli politik, fokus kita adalah membantu rakyat tidak kira dimana kita berada.
Kebiasaannya jika tiada tugas rasmi di tempat lain saya akan balik ke kawasan pada hujung minggu dan menyantuni masyarakat di kawasan saya di P193 Santubong. Jika saya tidak berkesempatan untuk pulang kerana kekangan tugas rasmi di tempat lain wakil-wakil saya sentiasa ada di kawasan untuk menyantuni dan membantu pengundi-pengundi saya di Santubong.
Pejabat Khidmat saya juga sentiasa terbuka menerima kunjungan sesiapa sahaja sama ada untuk mendapatkan bantuan atau untuk menyalurkan pandangan dan cadangan supaya kita sama-sama dapat menambahbaik tahap kesejahteraan rakyat di Santubong juga di Malaysia secara keseluruhannya.
NONA: Sebagai seorang ahli politik yang memimpin sebuah kementerian, apakah kerisauan paling utama Dato’ Sri Nancy Shukri?
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Sebagai seorang ahli Politik dan apabila saya dilantik menjadi menerajui sesebuah kementerian, sudah tentu banyak cabaran. Semasa saya menerajui MOTAC dulu perlu berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang melumpuhkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan. Apabila saya menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lain pula cabarannya yang mana KPWKM merupakan sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas seluruh masyarakat dari anak lahir sehinggalah akhir hayat manusia.
Kerisauan paling utama saya adalah untuk memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mungkin pada pandangan orang menjadi ahli politik ini satu keistimewaan tapi bagi kami ia satu tanggungjawab besar yang harus digalas dan dilunaskan.
Saya ada tanggungjawab kepada pengundi saya di Santubong, saya juga ada tanggungjawab pada warga kerja saya di Kementerian, saya juga ada tanggungjawab kepada rakyat Malaysia tak kira di mana mereka berada. Jika tanggungjawab ini gagal untuk dilaksanakan bukan sahaja pengundi dan rakyat akan marah malah sebagai seorang muslim kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Masalah dan cabaran tidak ada noktahnya. Hilang satu timbul lagi yang lain. Namun sebagai ahli politik yang dilantik menerajui sebuah kementerian perlu kuatkan hati, tabah dan terus kuatkan semangat untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat, ada kalanya yang kita bantu bukan warga Malaysia. Mereka manusia juga yang perlukan perhatian serta tindakan kami. Yang saya perlukan adalah sokongan dan doa daripada semua supaya saya diberikan kesihatan yang baik untuk terus memimpin dan berkhidmat untuk semua
NONA: Wanita seringkali dipersalahkan, bila bab penceraian, orang ketiga dan sebagainya mesti wanita menjadi mangsa keadaan, pandangan Dato’ Sri Nancy Shukri
DATO’ SRI NANCY SHUKRI: Secara individu, saya sebagai wanita merasa sedih jika masih ada wanita yang menjadi mangsa keadaan seperti ini. Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Ini kerana wanita ada sebuah kementerian yang khusus diwujudkan untuk meningkatkan martabat wanita di negara ini yang mana kementerian yang sama tidak ada untuk lelaki.
Kami di KPWKM setiap hari memperjuangkan untuk kesejahteraan wanita yang mana menjadi kunci kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Sebagai wanita biarlah kita dikenali dengan kelembutan tingkah laku dan tutur kata namun gagah mempertahan dan memperjuangkan haknya.
Misi dan visi KPWKM adalah jelas yang mana antara objektif yang ingin dicapai adalah memperkasa wanita dan mengarus perdana gender bagi mencapai kesejahteraan bersama. KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited untuk mencapai objektif ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.
Kami giat melaksanakan Kempen We Eliminate Violence Against Women (WeVAW) untuk memastikan agenda menghentikan keganasan terhadap wanita dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh seiring dengan aspirasi di peringkat antarabangsa. Matlamat kami adalah membina kesepakatan dan perpaduan bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua. Keganasan terhadap wanita perlu ditangani secara menyeluruh kerana terdapat pelbagai bentuk keganasan termasuk penderaan fizikal, psikologi, emosi dan sosial.
Pelbagai usaha telah digerakkan oleh KPWKM dalam menangani isu keganasan terhadap wanita antaranya seperti penubuhan Skuad WAJA yang bertujuan untuk memperkasa komuniti melalui program bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti.
KPWKM menerusi Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga juga memperluaskan pelaksanaan program advokasi secara berterusan untuk meningkatkan tahap kesedaran serta pemahaman khususnya dalam kalangan wanita mengenai isu, hak, perkhidmatan dan tindakan yang boleh diambil berkaitan keganasan rumah tangga selain memperbanyakkan program kekeluargaan dan keibubapaan serta mempromosikan perkhidmatan aduan atas talian melalui Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-26 15999.
Bantuan sokongan seperti khidmat psiko-sosial, kaunseling dan nasihat dan perlindungan turut diberikan seperti penyediaan Tempat Selamat, Pusat Perlindungan, Pusat Transit dan Pusat Psikososial Setempat (PSSS) bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Dalam usaha untuk memperjuangkan nasib wanita agar terus dibela, Akta Antigangguan Seksual atau AAGS 2022 telah diwartakan pada 18 Oktober 2022. AAGS 2022 ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang selamat khususnya kepada wanita.
Program advokasi AAGS akan dilaksanakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat supaya hentikan segala bentuk gangguan seksual sebelum akta ini dikuatkuasakan kelak.
Pada 8 Mac setiap tahun kita akan menyambut Hari Wanita Antarabangsa. Acara ini adalah bagi memberi pengiktirafan kepada wanita atas peranan dan sumbangan wanita kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. KASIH WANITA dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita pada tahun ini bagi menterjemahkan mesej bahawa WANITA adalah insan yang perlu dihormati dan dikasihi atas jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan. KASIH adalah singkatan kepada nilai keluarga merangkumi kasih sayang, akhlah atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu dan harmoni.
Saya harap usaha berterusan KPWKM untuk mengangkat martabat wanita baik dalam sektor ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya akan berjaya mencapai objektifnya dengan sokongan dan kerjasama semua pihak. Setiap lapisan masyarakat perlu bersama-sama dalam usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita juga yang menjurus kepada penderaan mental dan emosi.
Saya juga menyeru orang ramai untuk tampil dan melaporkan kes-kes keganasan yang berlaku dengan menghubungi pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau Talian Kasih 15999 atau melalui Aplikasi Whatsapp di talian 019 – 2615999.
Ikuti tembual penuh santai kami bertanyakan 50 soalan pada Dato’ Sri Nancy Shukri menerusi pautan di bawah.
Penulis & Penyelaras: Wan Mohd Firdaus
Konsep: Kiffy Razak
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Ann Karim