Untung Zamani dikurniakan seorang isteri yang baik dan berperibadian murni. Menerima keadaan suami tercinta seadanya, kesetiaan Nur Juliana Abdul Rani menjaga Zamani ketika penyanyi kumpulan Slam itu diuji masalah kesihatan meraih perhatian ramai khususnya peminat seni.
Umum mengetahui, Zamani sebelum ini mengalami masalah tulang belakang yang membuatkan fizikalnya semakin kurus dan membongkok. Walau sedar situasi yang dialami itu, Juliana nekad menerima Zamani sebagai suami.
Namun November lepas, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis dan kini semakin beransur baik. Malah, dia juga sudah mampu berdiri sempurna seperti sedia kala.
View this post on Instagram
Pastinya insan paling gembira dan bersyukur dengan khabar tersebut ialah Juliana. Sentiasa berada di sisi menjaga dan melindungi Zamani, wanita berusia 39 tahun berkenaan turut berkongsi keadaan terkini suaminya di media sosial.
Menerusi salah satu posting Juliana bertarikh 4 Disember lalu, kelihatan Zamani semakin ceria dan sihat. Bahkan badannya tidak lagi membengkok seperti sebelum ini. Alhamdulillah!
Mengimbas kembali momen perkahwinan mereka, pasangan ini sah disatukan sebagai suami isteri pada 20 September 2019 selepas Juliana menanti jejaka pilihannya itu selama 14 tahun.
Zamani sebelum ini pernah mendedahkan enggan memikirkan soal kahwin namun mengenang kesabaran dan kesanggupan Juliana, dia akhirnya memutuskan untuk mendirikan rumah tangga, Beberapa hari selepas bernikah, Zamani dan Juliana mengerjakan umrah.
Semoga rumah tangga dan ikatan suci yang terbina di antara pasangan ini terus mekar serta berkekalan hingga ke Jannah.