Sentuhan Magis Bulu Mata Palsu Serlah Penampilan Wanita

Mata adalah jendela hati yang sering menjadi pusat perhatian kepada wajah. Ada kalanya mata mampu membicarakan sesuatu. Kebanyakan jurusolek juga sering menekankan riasan di bahagian mata agar terkesan bicara itu sehingga membiaskan pesona yang memukau. Salah satu cara paling praktikal untuk memiliki bulu mata yang tebal, panjang dan lentik ialah dengan menggunakan bulu mata palsu. Selain menambahkan daya penarik, bulu mata palsu juga mampu merubah bentuk mata agar lebih menarik.

MATA SEPET TANPA KELOPAK
Bagi anda yang mempunyai bentuk mata yang agak sepet atau tanpa kelopak, pilihlah bulu mata palsu yang mempunyai helaian bulu yang rapat, panjang dan natural. Jenis bulu mata ini akan memberikan ilusi bentuk mata yang lebih besar.MATA BERBENTUK CEMBUNG
Apakah yang dimaksudkan dengan bentuk mata jenis cembung? Sekiranya anda mempunyai bentuk mata jenis cembung, maka anda disarankan untuk memilih bulu mata palsu yang lebih tebal serta panjang. Ini kerana mata anda akan kelihatan lebih dalam dan cantik.

MATA KECIL
Bagi anda yang memiliki bentuk mata yang kecil, usah terlalu risau kerana anda juga boleh mendapatkan bentuk mata yang lebih besar. Caranya ialah dengan memilih bulu mata palsu yang mempunyai helaian bulu yang panjang semula jadi supaya bentuk mata kelihatan lebih besar dan panjang.

BENTUK MATA TURUN
Buat si pemilik bentuk mata seperti ini, anda disarankan supaya mengaplikasikan bulu mata palsu yang mempunyai helaian bulu yang panjang di sudut luar. Bentuk bulu mata palsu jenis ini akan memberikan kesan mata yang naik.

MATA DALAM
Mata dalam atau bentuk yang terlalu cekung ini sangat sesuai menggunakan bulu mata palsu yang mempunyai ketebalan yang semula jadi. Tujuannya adalah untuk memberi penekanan kepada bahagian mata supaya terlihat lebih ketara.

MATA BESAR ATAU BULAT
Bagi anda yang memiliki bentuk mata yang besar dan bulat, cuba elakkan daripada memilih bulu mata palsu yang mempunyai helaian bulu yang tebal. Ini akan membuatkan bentuk mata anda menjadi lebih besar dan kelihatan tidak seimbang dengan bentuk wajah anda. Pilihlah bulu mata palsu yang mempunyai helaian bulu yang natural serta panjang di sudut luar supaya bentuk mata anda kelihatan lebih panjang dan cantik.

Share
Published by
Rosmah Idayu