Penyanyi tersohor ini sudah acapkali meraih pelbagai anugerah. Dayang Nurfaizah atau mesra disapa Dayang kini hadir dengan buah tangan terbaharu, sebuah album studio ke 10. Album terbaharu merupakan sekuel kepada album ‘Belagu’ yang dilancarkan pada tahun 2021.
Membawa maksud ‘menyanyi’ dari dialek Melayu Sarawak, album Belagu disempurnakan dengan lapan trak klasik Melayu. Kesemua lagu tersebut dipersembahkan dengan cara Dayang yang tersendiri dalam nafas segar hasil susunan muzik dan terbitan produser disegani ramai, Aubrey Suwito.
Menariknya, vokal dan muzik bagi album Belagu sebelum ini dirakamkan secara langsung yang mana Dayang diiringi oleh barisan pemuzik dibawah pimpinan Aubrey Suwito sendiri. Secara keseluruhannya Belagu mempersembahakan barisan lagu klasik dalam perspektif yang lebih segar.
Untuk rekod, ‘Belagu’ sebelum ini mencipta kejayaan yang membanggakan bila mana ia meraih beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
Demi memartabatkan lagu klasik agar ia kekal malar segar, Belagu II menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra (BSO), Hungary, manakala susunan muzik daripada pengarah muzik, Aubrey Suwito.
Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, dia tidak memikirkan soal keuntungan, sebaliknya berhasrat mengeluarkan album Belagu II demi kepuasannya sebagai penyanyi lebih dua dekad dalam industri muzik, selain niatnya mahu memperkenalkan lagu Melayu klasik kepada generasi muda.
Begitupun, wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, meskipun hanya memuatkan sembilan trek lagu, namun proses menyiapkan album Belagu II bukan sesuatu yang mudah dan penuh tekanan.
“Proses menyiapkan album Belagu II cukup rumit. Ia bermula proses pemilihan lagu kerana kami ingin memastikan lagu dipilih sedap didengar dan sesuai dibawa dalam persembahan saya.
“Saya bukan penyanyi lagu asli, jadi saya dan Aubrey perlu memastikan bagaimana mempersembahkan lagu bergenre ini dengan cara saya tanpa merosakkan keaslian lagu asal.
“Tambahan pula, lagu asli ada etika untuk didendangkan, bukan boleh main langgar. Sebab itu saya hanya memuatkan sembilan lagu, tetapi kepenatan rakaman vokal yang mengambil masa selama dua bulan ibarat menjayakan satu konsert,” katanya Dayang Nurfaizah yang amat mementikan kualiti album untuk para peminat tersayang.
Selain teruja berpeluang bekerjasama dengan BSO, album Belagu II turut memuatkan lagu baharu ciptaan Aubrey. Lirik lagu bertemakan pop klasik berjudul Rindu Menyapa itu ditulis oleh penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan.
Dayang berkata, dia sudah mengimpikan dapat mendendangkan lagu sentuhan Habsah, tetapi tiada peluang bekerjasama. Mungkin sudah tertulis rezeki Dayang untuk album Belagu II ini, akhirnya hasrat memiliki lagu bergenre pop klasik menjadi kenyataan.
“Saya selalu berangan-angan memiliki lagu pop klasik, tetapi saya hendak pastikan lagu ini dihasilkan dengan sepenuh jiwa. Saya tidak mahu dibuat ala kadar, tetapi tak sangka peluang datang secara tiba-tiba.
“Ketika mula mendengar lagu Rindu Menyapa di studio, saya tertarik kerana ia seakan kena dengan album ini. Penyanyi yang mempunyai kelunakan suara yang luar biasa ini turut mendapatkan khidmat Bob Yusof sebagai tenaga pengajar vokal bagi memantapkan persembahan vokal dalam album berkenaan.
Belagu II diterbitkan syarikat milik Dayang, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital membabitkan lebih 40 pemuzik di bawah naungan maestro muzik antarabangsa, Peter Illenyi.
Proses rakaman muzik berlangsung di salah satu studio ikonik Budapest, Rottenbiller Hall. Album Belagu II diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Untuk album versi digital ia sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.
This website uses cookies.