SENYUMAN ANNA ANTARA DUBAI CITY DAN HONG KONG!

ANNA RAZALI bukanlah calang-calang wanita. Apabila dia berjalan di hadapan sekumpulan lima orang lelaki, boleh dikatakan kelima-lima mereka akan menoleh lebih sekali padanya dengan mulut berdecit dan mata hampir terbeliak. “Fuyoo…!” Kata pula mereka yang lebih miang.

Anna biasa sahaja. Sekurangnya dia puas hati, mungkin kerana semburan Diornya pagi tadi berjaya menghambat dada lelaki-lelaki itu. Atau mungkin skirt labuh yang baru dibeli di Pavilion, Ahad lepas menambah lagi keyakinannya untuk melangkah. Mungkin juga beg sandang dengan laptopnya itu semakin menjadikan dirinya berwibawa.

Dia selamba sahaja meneruskan segala urusannya seharian, ke hulu dan ke hilir, turun naik kereta membereskan segala urusan dalam pejabat dan luar pejabat. Sama ada di kaunter pejabat swasta ataupun menghadiri mesyuarat penting di jabatan kerajaan itu lumrah baginya. Orang senyum dia senyum. Orang bertanya, dia menjawab.

Pernah sekali Datuk Munir menegur Anna; “You ni cubalah cool sikit… you bukan tak boleh buat semua itu tetapi ikutlah kesesuaian, slow and steady,” kata lelaki itu.

Gambar: Hiasan

Anna hanya tersengih. Kemudian lambat-lambat dia menjawab…”Saya ni Datuk, kalau disuruh melompat dan berlari pun saya memang sanggup. Itu cara kerja saya, pantang bertangguh. Tapi saya memang tak boleh melihat pekerja yang buat kerja dengan lembap dan penuh lemah gemalai,” kata Anna.

Datuk Munir tersenyum. “Yes… you are a good girl…” Selalu dia puji Anna begitu. Dia tahu Anna Razali akan bergerak pantas mengalahkan orang lain. Datuk Munir memang bangga dengan pencapaian Anna.

Malah ramai kawan-kawan bisnes Datuk Munir minta dikenalkan dengan Anna. Mereka mahu membawa Anna masuk ke dalam syarikat mereka. Mereka malah mahu lebih daripada itu. Misalnya kalau boleh…. Membawa Anna pergi makan malam, duduk berborak-borak, bersantai sambil berbual ringan.

“Eh, kamu jangan nak buat begitu dengan Anna…” Tegas Datuk Munir.

Datuk Halim termenung. Dia meraba-raba misai nipisnya. “Kenapa?” Soalnya pantas. “Bukankah Anna tu masih muda, mahukan perhatian, mahukan hiburan dan teman-teman gembira di sekelilingnya setelah penat seharian menguruskan hal pejabat?”

Datuk Munir tersengih sahaja.
“Saya ni Datuk, kalau boleh mahu pinjam Anna untuk mini pelaburan syarikat saya ke Dubai bulan depan. Boleh Datuk benarkan saya bawa Anna bersama?” Pinta pula Hanif Bobo, seorang tuan punya sebuah syarikat perkapalan.

Sekali lagi Datuk Munir tersenyum. Datuk Halim dan Hanif Bobo mengerut dahi. Kali ini Datuk Jalal pula menyampuk, “Ah Munir… janganlah kedekut. Pinjamkan Anna… saya pinjamkan you saya punya June. Bukan lama, sekejap saja.” Kata Datuk Jalal, penuh yakin dan amat berharap.

Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.

Datuk Munir menggeleng. Berkali-kali dia menggeleng. “Tak boleh. Saya tak akan benarkan Anna mengikut you all. Dia amanah bagi saya. Saya kena pegang amanah itu. Tak boleh…!”

“Kenapa? Apa salahnya? Saya hendak pinjam sekejap sahaja. Habis siap semua projek, saya pulangkan semula… Semua projek akan beres dalam tiga bulan sahaja. Nanti jika berjaya saya akan berikan juga sebahagian keuntungan projek pada you…”

Sekali lagi Datuk Munir menghela nafas panjang. “Tahukah kamu Anna tu dah kahwin, dah ada lima orang anak. Lagipun dia staf saya, bukan barang dagangan untuk ditukar milik.” Kali ini Datuk Munir terpaksa meninggikan suara.

Serentak itu Datuk Halim dan Hanif Bobo melopong. Datuk Jalal sudah angkat punggung, meninggalkan mereka bertiga. Seketika, Datuk Halim dan Hanif Bobor tidak berani bersuara. Mereka melihat raut wajah
Datuk Munir penuh teka-teki.

“Saya tahu ramai yang anggap Anna masih bujang. Maafkan saya… dia seorang ibu muda yang aktif. Dia berjaya dengan usahanya sendiri. Dia berjaya mengimbang antara kerjaya dan rumah tangga. Itu sudah cukup baginya. Tak perlu ada suntikan dari luar…” Datuk Munir menerangkan panjang lebar.

“An honest heart is an open heart… saya ikhlas. Semoga lepas ini tak ada salah sangka pada ibu kerjaya. Mereka betul-betul kerja untuk membantu keluarga, bukan main-main untuk menggoda lelaki,” jelas Datuk Munir lagi.

“Jangan samakan Anna kepunyaan syarikat saya itu dengan June atau Sally atau Mimie yang ada di pejabat kamu…” kata Datuk Munir, menyindir.

Bukanlah payah untuk berusaha
Namun seksanya jika kita menjaja setia

Coretan: Sri Diah (Majalah Nona)

Share
Published by
KR