
Kehadiran tahun baru membuatkan dunia kanak-kanak kembali sibuk dengan persekolahan setelah sekian lama bercuti. Namun, dalam pada kesibukan menyiapkan kelengkapan persekolahan terdapat juga kanak-kanak yang tidak bernasib baik terpaksa menghabiskan masa di hospital.
Menyedari tentang kehibaan kanak-kanak yang terpaksa tinggal di wad kanak-kanak telah mencetuskan idea kepada 3M Malaysia bergabung bersama kelab sukan 3M untuk melawat kanak-kanak di wad pediatrik di HKL.
Kehadiran mereka telah menceriakan kanak-kanak yang berada di sana. Ketika kunjungan ini berlangsung, Pengarah Pengurusan 3M Malaysia, Parameswaran Nair, telah mengedarkan 70 ‘Boxes of Love’ kepada kanak-kanak yang berada di wad tersebut. Kotak ini lebih bermakna apabila telah didekorasi oleh kanak-kanak dari Rumah Amal Kasih Bestari.
Di majlis yang sama Parameswaran turut menderma 3M™ Filtered Water Dispenser HCD-1A bernilai RM4,799 di wad tersebut. Mereka menyasarkan agar kanak-kanak yang menginap di sana berpeluang minum air yang bersih dan lebih sedap. Malah turut menghulurkan 2 kotak permainan yang telah didermakan oleh pekerja-pekerja 3M.
Sesungguhnya keprihatinan seluruh staf 3M membantu mereka yang memerlukan adalah suatu tindakan yang sangat terpuji. Menceriakan hati kanak-kanak dan membuat mereka tersenyum semula merupakan anugerah yang tiada nilai. Semoga lebih banyak lagi badan-badan swasta yang melakukan CSR demi kesejahteraan hidup rakyat Malaysia. Hamizatul Maizan Mohamed
Nikmati Menu Popular 13 Buah Negeri Dalam Sehari, Hanya Di Gembox @ Nilai

Gembox@Nilai merupakan sebuah projek konsep pasar malam moden yang menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Nilai, Negeri Sembilan. Gembox yang disifatkan sebagai Pasar Malam Kebudayaan Simbolik Malaysia akan menghimpunkan pelbagai barangan tempatan termasuk makanan, kraftangan dan budaya dari 13 buah negeri di seluruh negara dan beroperasi bermula pada 13 September 2022.
Kebanyakkan tempat atau negara mempunyai pasar malam yang tersendiri melambangkan keunikan dan keistimewaan seperti Chatuchak Market, Thailand, Pasar Malam Shilin,Taiwan dan Pasar Myeongdong Korea. Kini dengan adanya Gembox di Malaysia keluasan tanah keseluruhan sebanyak 14 padang bola sepak, ia akan menjadi salah satu tarikan utama yang setaraf dengan pasar malam terkemuka.
Malaysia sememangnya terkenal di seluruh dunia dengan aneka juadah makanan dari pelbagai kaum dan etnik. Namun demikian, setiap negeri turut mempunyai makanan tempatan masing-masing seperti Daging Salai Lemak Cili Api dari Negeri Sembilan,Ikan Patin Gulai Tempoyak, Laksa Utara dan Laksa Sarawak, Bak Kut Teh, Klang dan lain-lain. Kini, pengunjung dapat menikmati makanan popular dari 13 negeri dengan hanya berkunjung ke Gembox.
Penghimpunan makanan dari 13 buah negeri ada sebagai promosi gelombang pertama buat masa ini. Beberapa tarikan telah beroperasi iaitu Dataran Warisan, Malaysia Food Avenue, Gembox Food Avenue, Rainbow Night Market, 4-Trendy Trail dan juga Pacific Circus.
Seterusnya, akan terdapat pelbagai elemen keunikan Malaysia seperti barangan cenderamata, hasil seni kraftangan, buah-buahan tempatan serta barangan trendy semasa di Gembox.
Ini bertujuan memberikan lebih banyak peluang kepada para pengunjung untuk menikmati kebudayaan Malaysia.Ini juga membantu meningkatkan ekonomi, nilai budaya dan sekaligus memulihkan sektor-sektor tertentu termasuk perniagaan kecil dan sederhana serta sektor pelancongan.
Gembox juga telah mendapat sokongan dan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Melaka, Perak, agansi-agensi pelancongan dan lain-lain. Ini kerana Gembox berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan yang berpotensi tinggi.
Lokasi sungguh mudah untuk dikunjung kerana bersambung dengan Lebuhraya PLUS, Lebuhraya LEKAS, Lebuhraya ELITE dan lain-lain lagi. Gembox terletak di antara Kuala Lumpur and Putrajaya, dalam kira-kira 18km dari KLIA and KLIA2 boleh menjadi destinasi pertama buat pelancong ke Malaysia ataupun terakhir sebelum pelancong pulang ke negara masing-masing.
Keunikan Gembox telah menerapkan elemen adat dan budaya Malaysia ke platform pasar malam moden. Ia menghimpunkan 600 buah gerai yang menawarkan lebih daripada 10,000 barangan tempatan dari 13 buah negeri di seluruh negara. Ia juga akan menganjurkan lebih daripada 100 aktiviti kebudayaan dari semasa ke semasa. Pengasasnya ingin memberikan setiap pelancong perasaan “WOW” apabila mengunjungi Gembox. Beliau percaya, Malaysia yang kini berada dalam fasa peralihan ke era endemic, Gembox akan menjadi lokasi pelancongan pilihan terutama.
Gembox adalah destinasi pelancongan baharu yang akan sentiasa memberikan berbagai kejutan kepada pengunjung dan membolehkan mereka merasai “Malaysia Truly Asia, Gembox Truly Malaysia”. Segala urusan perniagaan di Gembox akan dijalankan dengan kaedah tanpa tunai dan Waktu perniagaannya adalah bermula pada pukul 5 petang hingga lewat malam setiap hari.
Di samping itu, bersempena dengan bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, pihak penganjur akan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bertema “Wow Malaysia” supaya pelancong dari dalam dan luar negara dapat menikmati makanan tradisional serta menghayati kebudayaan Malaysia. Aktiviti pertama, iaitu Pacific Circus akan membawa hiburan yang menakjubkan kepada pelawat Gembox, Setiap Isnin hingga Ahad, pada pukul 8.30 malam selama 90 minit, Persembahan Pacific Circus termasuk Nyanyian, tarian, aksi, akrobatik, Roda Kematian dan banyak lagi! Aktiviti ini pasti akan menghiburkan keluarga dan anak-anak sepanjang malam.
Maklumat lanjut sila layari www.gembox.com.my ataupun ikuti Facebook (facebook.com/gemboxnilai) dan Instagram (Instagram.com/gembox.malaysia) kita.
Pernah Jadi Juara Qariah, YUKA KHARISMA Tak ‘Ponteng’ Kelas Mengaji Masa Belajar Di Acheh!

Yuka Kharisma… namanya mungkin tidak segah Datuk Rossa, Krisdayanti, dan beberapa selebriti Indonesia yang popular di Malaysia. Namun bakat yang dimiliki Yuka tidak perlu dipertikai lagi. Lontaran suaranya cukup matang dan mengagumkan hingga ada yang menyamakan kelunakan vokal Yuka seperti penyanyi negara jiran yang terkenal di peringkat antarabangsa, Anggun.
Disifatkan sebagai selebriti yang mudah didekati, keistimewaan Yuka tidak hanya terletak pada bakat nyanyian bahkan ibu kepada Ahmad Avisenna ini juga memiliki keperibadian yang sangat ‘mahal’. Menjadi penghias Majalah Nona Oktober 2019, secara eksklusif Yuka mendedahkan sisi kehidupan yang pernah dilaluinya kepada pembaca setia Nona. Tujuannya hanya satu! Mahu menjadikan kisah hidupnya sebagai inspirasi dan suntikan semangat buat wanita di luar sana. Paling tidak disangka adalah dia sebenarnya pernah bergelar juara qariah!
Bertahun-tahun menyimpan ‘rahsia’ menjuarai pertandingan menghafaz Al-Quran daripada pengetahuan umum, Yuka tanpa berselindung membuka kisah hati. “Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya terus menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai impian mereka. Kalau tanya adakah cita-cita saya menang untuk jadi penyanyi? Sebenarnya, tidak.
Cuma pada saat itu, saya tak ada pilihan dan kerana hobi suka menyanyi… jadi teruskan sajalah. Dulu cuma fikir hendak cari wang untuk keluarga. Sehinggalah saya bernikah, ternyata ada banyak lagi yang harus dicuba dan suami sokong. Jadi saya baru berani buat yang lain. Jujurnya, cita-cita saya ialah hendak jadi usahawan.”
Ujar Yuka lagi, dia pernah belajar dan tinggal di Malaysia sekitar tahun 2004 kerana mengikuti bapanya yang bertugas di Kedah. Bagaimana pun dia terpaksa bergelut dan menyesuaikan diri untuk memahami loghat serta sistem pendidikan yang jauh berbeza daripada negara kelahirannya sendiri. “Sewaktu mengikuti papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Sungai Petani, Kedah. Saya ingat lagi nasihat cikgu kaunseling masa saya masih belajar di sana.
Saya susah hendak belajar untuk SPM sebab datang ke Malaysia je terus kena ambil peperiksaan besar ni. Masa mula-mula datang tu memang teruk. Papa kerja di sana dalam tahun 2004 hingga 2005. Memang apa yang cikgu cakap, saya tak faham. Kebetulan pula mama terpaksa balik kampung dan saya tak pergi ke sekolah sebab stres. Ada satu bulan jugalah tak pergi sekolah. Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga waktu itu.
Paling kelakar, cikgu kaunseling beritahu saya… cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM sebab katanya saya lebih cenderung menjadi soerang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan! terang Yuka sambil ketawa.
Siapa sangka, di sebalik kesukaran berjuang menamatkan persekolahan, Yuka turut pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Mengimbas kembali momen bermakna tersebut empunya diri pun tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.
“Alhamdulillah dari kecil saya sudah dididik mengaji Al-Quran. Mama asalnya orang Acheh dan sebagaimana kita tahu, di Acheh pegangan agama mereka cukup kuat. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, cikgu agama di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tak sangka akan menang.
Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” akhirinya.
Apa-apa pun perkongsian Yuka dalam Majalah Nona kali ini sarat dengan kisah inspirasi. Dari saat dia terpaksa berdepan perpisahan kedua-dua ibu bapanya sampailah bagaimana dia berkorban kerja siang dan malam semata-mata untuk memastikan tiga adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian hingga ke menara gading.
[VIDEO] Kalau PKP Lanjut Sampai Ramadan, Dua Murabbi Ini Yakin Besar Hikmah-Nya!

Ura-ura menyatakan hari ini bakal diumumkan keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir 14 April, disambung atau tidak tempohnya. Kalau diteliti laporan kes COVID-19 terkini, barangkali kita pun boleh meramal, dunia luar masih belum selamat dari jangkitan.
Berita mendebarkan itu sudah tentulah ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia. Sana sini spekulasi bertebaran, ada yang gembira, ada yang berduka. Paling banyak dibincangkan adalah soal bulan Ramadan.
Salah satu dialog menarik adalah di antara Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) di IGTV. Kedua-dua murabbi kesayangan rakyat Malaysia ini saling berpendapat bahawa jika PKP dilanjutkan ibarat ‘dalam bala ada nikmat’.
Peluang di rumah sepanjang bulan puasa nanti seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jika sebelum ini kita terlalu sibuk dengan urusan dunia, cuba untuk kali ini saja, kita rebut sebanyak-banyak nikmat di bulan Ramadan.
Sebagai agamawan, Dr. Zulkifli selalu berkongsi pandangannya melalui platform media sosial. Antara isu-isu yang pernah ditegurnya adalah kontroversi tajuk drama Isteri Untuk Disewa dan status jantina usahawan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman (Nur Sajat) ketika menunaikan umrah di Mekah.
Dr. Zulkifli dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Kampung Goh Pauh, Kemaman, Terengganu. Sebelum ini beliau merupakan mufti Wilayah Persekutuan dan juga pengasas kepada Pondok Moden al-Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, tidak sedikit pun Tokoh Maulidur Rasul 2012 Peringkat Wilayah Persekutuan itu berbangga diri dengan jawatan tersebut.
![[VIDEO] Kalau PKP Lanjut Sampai Ramadan, Dua Murabbi Ini Yakin Besar Hikmah-Nya!](https://cdn.nona.my/2020/04/for-marriage-to-be-a-success-every-woman-and-every-man-should-have-her-and-his-own-bathroom.-the-end.-57-09_09_193962-1024x538.jpg)
![[VIDEO] Kalau PKP Lanjut Sampai Ramadan, Dua Murabbi Ini Yakin Besar Hikmah-Nya!](https://cdn.nona.my/2020/04/datin-mufti-09_47_381967.jpeg)
Gunakan Sebaiknya
Biarpun berpangkat besar, beliau sebenarnya seorang yang merendah diri dan sering mendengar pandangan agamawan lain.
Satu soalan Dr. Zulkifli yang menarik perhatian ramai, adalah sewaktu beliau bertanya soalan kepada UAI bagaimana kalau UAI dilantik memegang jawatan Menteri Agama Malaysia.
Jawab UAI, apabila seseorang individu mendapat kuasa atau pengaruh, gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya. Kelak nanti tanggungjawabnya akan dipersoalkan Allah.
Mula dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada 2014, Zulkifli menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama dan beliau turut menghasilkan beberapa penulisan buku keagamaan seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa dan Irsyad Usul Fiqh.
Kelantangannya mencoret nasihat-nasihat agama berkaitan isu semasa membuatkan rakyat semakin menyayanginya. Beliau dianggap seorang agamawan yang menegur tanpa sebarang prejudis, hanya mahu menegakkan hukum dan syiar Islam.
Semoga Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikurniakan kekuatan, kesihatan dan kesabaran memimpin kementeriannya kelak sekaligus mengangkat syiar Islam di Malaysia.