Di sebalik sifat tegasnya, Tun Dr Mahathir juga sebenarnya seorang yang lucu. Selain kerap dilihat bergurau senda bersama isteri tersayang, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.. telatah Perdana Menteri Ketujuh Malaysia ini juga sering menjadi perhatian rakyat. Meskipun tanpa mengungkapkan kata-kata yang mencuit perasaan, namun mimik muka Tun M sudah cukup menggeletek hati ramai.
Terbaru, menerusi video kempen Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) sempena Aidilfitri yang menampilkan Tun M bersama Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook berjaya mencetuskan reaksi pelbagai daripada segenap lapisan masyarakat. Dengan jumlah tontonan mencecah hampir 1 juta di laman Facebook Dr Mahathir bin Mohamad, jelas terserlah sense of humour
yang dimiliki pemimpin kesayangan ramai ini.Usai membicarakan fokus utama tentang keselamatan jalan raya menjelang Syawal yang bakal tiba, jenaka Tun M pada akhir babak video tersebut bersama team produksi JKJR nyata menghiburkan. Lebih-lebih lagi apabila mereka mahu bergambar bersama.
Tun M: Did you vote for me?
Team JKJR: (Ketawa) Satu lagi soalan.. ambil gambar boleh?
Tun M: (Ketawa) Seorang sekupang
Pun begitu, misi utama video kempen keselamatan ini dihasilkan adalah sebagai panduan buat orang ramai untuk pulang berhari raya di kampung halaman kelak. Malah, ia turut mengetengahkan beberapa isu berkaitan kemudahan lalu lintas dan peraturan jalan raya.
Menjelas lanjut tentang pemanduan ketika berada di jalan raya, ini pesanan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. “Kalau mengantuk semasa memandu, berhenti. Pergi je tepi jalan, berhenti, tidur. Iyalah, sesetengah orang bila dah umur macam umur saya ini, kurang tenaga.
Biasanya orang 90 tahun tu usah bawa lah… Keseronokan saya ialah membawa kereta. Tapi saya dapat bawa kereta hujung minggu saja. Itu pun ada driver di tepi.”
Sementara itu, ketika mengulas tentang pembayaran saman, ini jawapan Tun M. “Kalau kita kena saman, kita kena bayarlah. Sebabnya kita kena bayar, sebagai satu tekanan ke atas kita supaya selalu ingat bahawa apabila kita buat sesuatu yang salah dalam memandu kereta, maka kita perlu membayar saman. Tapi kalau saman boleh diskaun, saya ingat dia tak jadi amaran kepada kita.”
Ini pula penjelasan Menteri Pengangkutan. “Tujuan kerajaan bukan nak menyaman orang. Bukan nak menyusahkan orang. Umpamanya baru-baru ini saya telah mengeluarkan perintah memperingatkan semua orang yang kena tukar air bag
dalam kereta yang telah recall, mereka kena tukar. Kalau mereka tak tukar, kena saman.Bagi saya yang pentingnya apabila kita memandu untuk balik kampung dalam fikiran kita kena ingat, kita nak balik berseronok dengan keluarga. Memandu tu kena berhati-hati. Kena bersabar,” ujar YB Anthony Loke.
Jadi, sebelum berangkat ke kampung nanti ingat pesanan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan ini. Usah terburu-buru dan sentiasa berhati-hati di jalan raya serta lakukan pemeriksaan kenderaan sebelum bertolak untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
This website uses cookies.