Nama Farah Ann Abdul Hadi, 23, sekali lagi meniti bibir rakyat Malaysia. Kemenangannya meraih pingat emas dalam acara gimnastik kategori senam lantai wanita dalam temasya Sukan SEA 2017 hari ini cukup membanggakan negara.
Bukan hanya dikenali kerana kelincahan aksi di gelanggang tetapi gadis kelahiran Subang Jaya ini juga mempunyai seraut wajah manis yang sentiasa menjadi tumpuan penggemar sukan gimnastik tanah air.
Buat pengetahuan anda, Farah Ann dan adik-beradiknya telah diberi pendedahan sukan sejak kecil lagi oleh ibu bapanya, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon.
Memandangkan kedua ibu bapanya juga datang dari latar belakang yang sama, mereka berhasrat untuk menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.
“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi.
Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina sekarang merupakan atlet renang berirama negara.
Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” kata Farah Ann.
Kenapa gimnastik… “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.”
Kemenangan Farah Ann dalam temasya Sukan SEA 2015 di Singapura turut menjadi kenangan manis buatnya. Katanya, paling membanggakan tentulah melihat ayahnya sendiri yang merupakan pengurus pasukan pada masa itu.
“Tapi selain itu, kemenangan tahun ini melakar kenangan yang paling istimewa berbanding di tempat lain sebab emas ni saya dapat di Malaysia dan untuk negara kita.”
Tentang kenangan pahit? “Saya pernah mengalami kecederaan di bahu dan tulang belakang sewaktu menjalani latihan gimnastik. Ia memerlukan jangka masa lama untuk pulih sehingga menyebabkan saya terlantar di hospital hampir dua minggu serta terpaksa berehat di atas katil selama sebulan.”
Akui Farah Ann lagi, ada dua sisi lain tentang dirinya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya saya seorang yang pemalu dan clumsy,” katanya sambil tersenyum.
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.
Tip Kecantikan Farah Ann
This website uses cookies.